0
Tanggal 05 September 2012, saya dan dua orang guru telah mengambil keputusan untuk mengunjungi rumah beberapa orang calon UPSR yang gagal hadir ke sekolah.
Saban tahun itulah tugasan tambahan Setiausaha Peperiksaan dan Guru Penyelaras Tahun 6. Ziarah murid terutama mereka adalah calon UPSR. Bukan sekadar bertanya khabar, tetapi pihak sekolah mahu mengetahui apa masalah yang murid-murid itu hadapi sehingga gagal hadir ke sekolah dalam tempoh tertentu. Apa yang merisaukan pihak sekolah ialah jika ketidakhadiran mereka tanpa pengetahuan ibu bapa.
Pada hari ini, saya, Cikgu Safiza dan Cikgu Norafishah akan mengunjungi tiga buah buah rumah di blok A dan blok B, Taman Putra Damai, Lembah Subang. Rumah pertama yang kami kunjungi berada di aras 6, Blok A.
"Saya baru nak ke sekolah sekejap lagi."
"Kenapa puan?" Cikgu Safiza bertanya.
"Sebenarnya Hidayah (bukan nama sebenar) telah dimasukkan ke wad Hospital Sg. Buloh."
"Sakit apa?" Kami terkejut.
"Doktor kata apendiks. Kemungkinan dia perlu pembedahan," beritahu ibu itu tenang.
"Baiklah. Nanti kami akan maklumkan pada pihak PPD. Jika dia masih di hospital sehingga minggu depan, kemungkinan dia akan mengambil peperiksaan di wad."
"Oh! Begitu. Saya ingatkan dia tak dapat ambil periksa. Terima kasih banyak-banyak cikgu kerana sudi datang, " sayu suara ibu itu.
*******
"Allahu Akbar!" Itulah lafaz yang terdetik di dalam hati apabila kami melangkah masuk ke dalam rumah murid kedua di blok B pula. Kami berada di aras 8. Lif di blok ini sudah lama rosak. Hanya untuk naik ke tingkat atas sahaja, Jika mahu turun, terpaksa menggunakan tangga.
"MInta maaf cikgu. Rumah kami macam ini." Ibu murid menyambut kedatangan kami.
Murid kami kali ini diberitahu sudah sakit selama beberapa hari. Kami dimaklumkan murid ini mengalami masalah pernafasan (pneumonia). Saya teringatkan dua anak saya pernah mengalami perkara sama sekitar tahun 2004 dahulu. Pada masa itu saya dan isteri tidur di wad kerana kedua-dua anak kami terpaksa di masukkan ke hospital pada masa yang sama.
Apa yang menarik perhatian saya ialah keadaan rumah ini yang agak dhaif. Saya yakin jika tuan-tuan yang belum pernah mengunjungi rumah flat PPR tidak dapat bayangkan keluasan rumah mereka. Dan agak menyedihkan apabila sesebuah rumah itu didiami lebih daripada lima orang. Namun begitu, itu sahaja kemampuan mereka. Terima dan reda.
Sebenarnya, ibu ini pernah mengunjungi saya di pejabat beberapa kali sebelum ini. Dia merupakan ibu tunggal, anak enam. Kesemua anak dijaga oleh beliau. Baru-baru ini dia juga telah menjalani pembedahan pangkal rahim. Dan sekarang dia tidak mampu bekerja. Sebelum ini bekerja di sebuah pasaraya terkemuka.
Bayangkan tiada sumber pendapatan. Sara enam anak. Nasib baik ada jiran yang sudi membantu.
"Petang ini saya kena hantar Dahlia (bukan nama sebenar murid) ke hospital."
"Siapa yang jaga anak-anak yang lain?" ( anak-anak lain masih kecil sekitar 2 tahun hingga 11 tahun ).
"Jika jiran tiada, saya terpaksa bawa mereka semua ke hospital."
Saya melihat kesemua anak ibu ini demam dan batuk-batuk. Memang timbul rasa simpati dalam hati kami. Bila saya melihat keadaan di dalam rumah dan sepinggan maggi di atas lantai, saya teringat kata-kata ibu itu sebelum ini semasa kami berbual di pejabat sekolah.
"Biasanya bila saya tiada duit, saya akan masak maggi sahaja untuk anak-anak."
Allahu Akbar! Apa yang mampu saya katakan lagi. Kemampuan saya hanya terhad. Tidak mampu membantu selain memilih anak-anak ibu ini menerima bantuan sekolah yang disalurkan kepada keluarga yang layak.
Kami bertiga terpaksa menamatkan misi hari ini sebelum pukul 11 pagi kerana saya ada temujanji dengan pihak Maybank pula di sekolah. Satu projek besar pihak sekolah dengan pihak bank terkemuka ini pada penghujung bulan ini.
Apa yang saya pelajari hari ini?
Bersyukur.
Memang apabila saya memandang ke atas. Saya melihat diri saya yang lemah. Saya rasa rendah diri berbanding mereka.
Namun, hari ini.
Saya berasa tenang dan insaf dengan segala yang diterima. Sesungguhnya setiap manusia itu akan diuji oleh Allah SWT. Hidup kita memang untuk diuji.
Semoga perkongsian kisah benar ini mampu membuatkan kita rasa BERSYUKUR dengan rezeki yang kita terima selama ini.
Insya-Allah.