Muhasabah Diri
Posted: Saturday, September 22, 2012 by WZWY in
0
Seorang lelaki terkilan apabila kesilapannya 10 tahun lepas masih lagi diungkit oleh rakan-rakan. Padahal dia sudah pun bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT. Dia sedar apa yang dilakukan sebelum adalah salah dan memalukan dirinya sendiri. Tapi apa kan daya, manusia tidak akan pernah melupakan kejahatan berbanding beribu kebaikan yang dilakukan.
Seorang suami juga menderita emosi apabila kesilapan lampaunya terus diungkit oleh isteri. Dia berkali-kali mahu gagahkan semangat untuk terus membina kebahagiaan walaupun tampak sukar. Dia hanya mampu diam kerana tidak mahu keruhkan hubungan. Demi anak-anak. Setiap kesilapan akan terus dileteri dan ditinggalkan mesej istimewa. Dia merasakan setiap kebaikan dan perubahan diri sudah tidak dipandang baik oleh isterinya. Dia hanya mampu panjatkan doa pada Ilahi. Mohon diberikan kekuatan.
Dua kisah di atas bukanlah kisah luar biasa. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Apa yang mampu dilakukan selain bermohon pada-Nya. Kita kena akur setiap manusia tidak pernah lari daripada melakukan dosa. Siapa sahaja termasuk orang yang merasakan dirinya bersih dan suci kerana kagum dengan ibadah yang dilakukan saban waktu. Benarkah begitu?
Saya memperingatkan diri sendiri dan teman-teman. Sama-sama kita bermuhasabah diri. Lihat pada cermin. Lihat diri dengan mata hati. Siapakah kita. Jangan lupa, dalam surah Ali-Imran ayat 135, Allah memuji golongan yang sanggup kembali ke pangkal jalan. Biar pun dosa menimbun. Bertaubatlah. Pinta pada-Nya dengan hati penuh ikhlas. Insya-Allah, ia diperkenankan-Nya.
Bagaimana muhasabah diri?
1- Bertaubat pada-Nya. Mohon dan terus bermohon. Taubat nasuha. Taubat yang sungguh-sungguh dan tidak kembali mengulangi kesilapan lalu.
2- Berubah bukan sahaja dari segi perlakuan tetapi hati kena kuat untuk berubah. Bergaullah dengan orang-orang yang soleh. Dekatkan diri dengan tangga surau atau masjid. Apabila sentiasa bergaul dengan rakan-rakan yang baik, kita juga lama-kelamaan akan menjadi lebih baik.
3- Jadikan Al-Quran bacaan wajib pada setiap hari. Biarlah dalam keadaan merangkak-rangkak. Belajar dan terus berlajar daripada guru bertauliah. Baca selembar Al-Quran pada setiap hari adalah lebih baik sekali baca satu juzuk, kemudian lupa untuk belek semula Al-Quran selepas beberapa minggu atau bulan.
4- Sertai kelas-kelas pengajian yang banyak dianjurkan oleh masjid atau surau berdekatan. Lihat jadual ceramah mingguan mereka. Cuba sedaya upaya walaupun pada hari bekerja untuk hadirkan diri. Sediakan buku nota atau perakam. Duduk di depan sekali dan tekun mendengar kuliah yang disampaikan.
5- Banyakkan bahan bacaan dakwah. Beli buku agama, buku motivasi, novel dakwah dan seumpamanya. Dewasa ini banyak majalah yang dijual dan boleh dijadikan rujukan. Saya biasanyan akan cuba dapatkan majalah Q&A, Solusi, Anis, Al-Ustaz dan sebagainya untuk dijadikan rujukan.
6- Lihat balik sama ada kita selalu berburuk sangka dengan orang lain atau sebaliknya. Adakah kita suka mencari kesalahan orang lain. Ubahlah semuanya dengan hati yang benar-benar ikhlas. Jahuhilah diri daripada sifat buruk sangka tersebut. Berbaik dengan semua orang.
Sebagai penutup, kisah seorang perempuan yang mengaku berzina di depan Rasulullah SAW boleh dijadikan renungan. Beliau menyesal dan bertaubat kepada Allah SWT. Rasulullah SAW pun menghukum beliau. Kemudian perempuan itu meninggal dunia. Nabi melaksanakan solat jenazah ke atas mayatnya. Saidina Umar Al-Khatab berasa pelik dan bertanyakan hal itu kepada Rasulullah.
"Dia sudah bertaubat dengan satu taubat. Andaikata diagihkan taubat itu kepada 70 orang ahli-ahli maksiat di Kota Madinah (orang munafik), pasti ia mencukupi bagi mereka." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Maka siapa kita? Sama-sama kita bermuhasabah diri dan janganlah anggap kita suci bersih berbanding orang lain dan anggap dosa orang lain itu tidak diampunkan oleh Allah SWT. Sama-sama kita perkemaskan diri. Insya-Allah semuanya dirahmati Allah SWT.