Jangan Begitu...

Posted: Thursday, November 8, 2012 by WZWY in Labels: , ,
0

"Itulah, ibu suruh rajin-rajin belajar."

"Mengaji pun masih belum khatam lagi. Harap ayah kamu tahu nak anak saja. Tak boleh ajar mengaji."

Si ayah yang sedang memasak di dapur hanya diam sahaja. Hatinya terkesan dengan kata-kata isteri. Isterinya memang mahir dalam bidang al-Quran. Si ayah pula kebetulan seminggu dua ini sanggup ke dapur apabila melihat isteri yang kurang sihat. Nampaknya segala apa yang dilakukan selama ini bagaikan tidak dihargai. Bukan mudah untuk seorang suami masuk ke dapur walaupun jahil dalam masak-memasak. Sanggup pula cetak resepi di internet. 

Tapi.....dia berasa hampa. Setiap kali menasihati anak, dirinya dijadikan sandaran. Tanpa melihat segala kebaikan yang dilakukannya.

"Sungguh sukar, jika seseorang itu masih dibayangi hidup silam berbanding apa yang dilalui sekarang." Si suami merenung kembali saat-saat yang berlalu dahulu. Memang dia kurang memberi perhatian terhadap keluarga.

"Tidak mengapa. Lebih baik aku koreksi diri sendiri. Biarkan apa juga sangkaanya. Allah tahu apa yang aku fikir. Allah sahaja tahu apa yang aku lakukan sekarang," keluhan lemah si suami.

___________________________

Situasi yang bukan pelik dalam sesebuah rumah tangga. Tak kiralah di pihak isteri atau suami, kedua-duanya perlu ambil berat perkara ini. Jangan hanya melihat kekurangan pasangan tanpa menilai inci demi inci kebaikan pasangan.

"Cinta ialah kita banyak memberi". Nasihat guru.

Kebiasaan orang selalu mengomel dia tidak dapat itu, tidak dapat ini. Dia sepatut diberikan itu dan ini. Tanpa sedar apa pula yang dia telah berikan untuk pasangan. Sama ada berbentuk fizikal, mental atau emosi.

Kata-kata manis juga merupakan salah satu pemberian yang cukup mengesankan berbanding berwajah muram durja apabila berdepan dengan pasangan. Mungkin isteri merasakan dia mampu hidup berdikari dengan pendapatan yang ada, tetapi harus diingat bahawa sudah ramai para isteri kecundang dalam mengurus keluarga dan anak-anak apabila bersendirian. Memang ada yang sukses dan hidup lebih baik. Itu tidak dinafikan. Namun seramai mana miliki jiwa kental sebegitu.

Lebih molek saling hormat menghormati. Segala kekurangan ditampung dengan kelebihan yang kita miliki. Tambah baik hubungan agar ianya dirahmati Allah SWT. Bukannya terus diselubungi rasa aku di pihak yang benar.

Sedarlah...syaitan amat suka pasangan suami/isteri yang sentiasa bermasam muka. Mereka akan terus menghasut hingga hujung nyawa kita. Semakin jauh hubungan, semakin mereka bertepuk gembira.

Mahukah kita begitu?
Tewas dengan hasutan syaitan laknatullah.

Fikir-fikirkan. Tanya Iman.


Al-Faqir Wan Zayuhisham
Bantu aku, waktu aku jatuh.

0 Komentar: