0
Alhamdulillah dengan izin-Nya, kali kedua saya di ruangan Galeri Buku. Pagi tadi semasa kelam kabut di pejabat dengan keputusan UPSR, saya menerima SMS daripada pengusaha kantin memaklumkan hal ini.
Terima kasih kepada wartawan Puan Nizha Periaswamy yang menghubungi saya pada suatu ketika untuk temu janji interbiu ini.
Apa yang penting ialah impak daripada hasil tulisan saya kepada para pembaca. Saya bersyukur kerana masih 'hijau' dalam dunia penulisan ini dan diberi kepercayaan oleh pihak penerbit untuk menghasilkan novel-novel awal remaja ini.
Suatu ketika saya masih tidak percaya dengan apa yang saya capai dalam bidang ini. Dalam tempoh hampir tiga tahun, sudah lima buah buku dihasilkan termasuk sebuah buku Tarbiah Rohani. Dan Insya-Allah bakal menyusul sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013, sebuah lagi buku motivasi saya bakal diterbitkan. Moga ia dipermudahkan-Nya. Tajuk sementara 'Cikgu, anak saya OK' merupakan coretan dan perkongsian yang boleh diambil iktibar oleh warga pendidik dan ibu bapa.
Satu perkara yang membuatkan saya terus bersemangat menulis ialah dengan dorongan mentor penulisan saya iaitu Tuan Haji Zakaria Sungib. Beliau banyak memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman beliau dalam dunia penulisan yang mencabar ini.
Kesibukan tugas rasmi saya sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid tidak pernah menghalang kemahuan saya menghasilkan sesebuah manuskrip. Walaupun agak memenatkan, saya tidak pernah merungut kerana apa yang saya belajar untuk menjadi seorang yang lebih daripada biasa, kita kena lakukan perkara yang 'luar biasa' berbanding orang-orang biasa. Saya pun lupa nak kira berapa kali saya tertidur di depan skrin semasa menyiapkan sesebuah manuskrip. Bangun-bangun, tengok jam sudah masuk pukul 3 pagi atau 4 pagi. Kebas kaki itu biasa.
Guru Besar saya dengan nada berseloroh, "Sibuk-sibuk pun sempat tulis buku. Kerja rasmi jangan lupa ya?"
Guru Besar saya dengan nada berseloroh, "Sibuk-sibuk pun sempat tulis buku. Kerja rasmi jangan lupa ya?"
Solat sunat dhuha, bersedekah dan mendoakan orang lain di antara rahsia yang diajar kepada saya untuk menjadi seorang yang cemerlang. Bukan sahaja sebagai penulis, tetapi apa sahaja bidang yang kita ceburi. Lakukan perkara-perkara tersebut. Tuan-tuan akan menikmati sesuatu yang berbeza dari sebelumnya. Cubalah dengan penuh yakin.
Sesungguhnya apa yang saya nikmati sekarang adalah amanah daripada-Nya. Doakan saya terus sukses dalam bidang ini. Dan seterusnya dapat menghasilkan karya-karya yang lebih baik. Insya-Allah.
Jika tuan-tuan berminat dengan dunia penulisan, bersedia untuk BERKORBAN dan BERHIJRAH.
Wallahu alam.
Al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.