0
ALHAMDULILLAH dengan izin-Nya masih lagi diberi nikmat hidup oleh Allah SWT. Hari ini masuk hari kedua berada di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk menyiapkan satu tugas khas yang diamanahkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Entri kali ini saya ingin berkongsi projek terbaharu selepas manuskrip CIKGU, ANAK SAYA OK? sudah berada di tangan editor. Aktiviti penulisan diteruskan di samping tugasan rasmi yang perlu disiapkan dengan seberapa segera.
Sebenarnya kertas cadangan manuskrip MEREKA YANG BERTAUBAT sudah diluluskan sebelum manuskrip CIKGU, ANAK SAYA OK?. Cuma pada masa itu idea mencurah-curah untuk siapkan CIKGU, ANAK SAYA OK? menyebabkan manuskrip ini disorok buat sementara waktu.
Kali ini cerita tentang apa?
TAUBAT. Saya percaya ramai di kalangan kita sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT. Nabi Muhammad SAW yang maksum pun sentiasa memohon keampunan pada setiap hari, apatah lagi kita yang tidak sunyi dari melakukan dosa. Manuskrip ini diharapkan dapat menyedarkan saya dan para pembaca tentang kasih sayang Allah SWT yang sentiasa melimpah ruah untuk kita sebagai hamba-Nya. Sesungguhnya walau sebanyak mana dosa yang kita lakukan, Allah SWT sentiasa mengampuninya dengan syarat kita benar-benar mahu kembali kepada-Nya.
Sedikit perkongsian.
PENGENALAN
Pesan guru
saya, “Perbaiki hubungan dengan Allah, maka hubungan kita dengan manusia
akan menjadi baik.” Apakah rahsia yang terselindung daripada ungkapan
tersebut? Sebenarnya inilah kunci kekuatan atau kejayaan manusia dalam
kehidupan di dunia ini. Tanpa sedar, kita berusaha memenangi hati seseorang,
bekerja siang malam untuk mencapai target kehidupan yang lebih baik dan
berbagai-bagai-bagai lagi impian kita. Dalam kesibukan itu kita lupa tentang
pemilik diri kita yang serba daif ini. Kita lupa segala teguran dan ancaman-Nya
supaya kita jangan lalai dan hidup di dunia ini sebagai khalifah yang sebenar-benarnya.
Semoga kisah benar di dalam bab ini boleh dijadikan iktibar kita bersama.
KISAH
TAUBAT
HASHIM AKUR
KESILAPANNYA MASA LALU. Hashim sedar segala apa yang dilakukan sebelum ini
membuatkan kehidupannya kini dilanda badai yang sukar dia dan isteri hadapi.
Hashim tidak mampu untuk berpatah semula ke garis permulaan setiap apa yang
berlaku. Dia hanya mampu teruskan kehidupan sekarang dan lupakan masa silam.
Namun begitu, ia bukan semudah disangka. Kesempitan hidup kini membuatkan
hubungan dingin dia dan isteri. Hashim mampu melahirkan kekesalannya. Apakan
daya, semua yang berlaku itu adalah kesilapannya sendiri. Bagaimana mungkin dia
mahu mulakan semula sedangkan isterinya sudah berpatah arang. Sukar terima
kenyataan yang ditempuhi sekarang.
“Saya sudah tidak tahan dengan hidup
kita sekarang,” ujar Wani yang menahan sebak. Entah kenapa emosi Wani agak
terganggu sejak akhir-akhir ini. Dia akur Hashim sudah banyak berubah. Namun
apa yang diharapkan masih belum cukup untuk melupakan apa yang telah berlaku.
“Bersabarlah. Ini mungkin ujian
Allah. Abang sedar selama ini saya hanya kejar bayang-bayang semata-mata,”
jelas Hashim melipat semula slip gaji yang ditunjukkan oleh isterinya sebentar
tadi.
“Bagaimana mungkin selepas 10 tahun
bekerja, gaji abang semakin sedikit. Macam mana nak tanggung saya dan
anak-anak?” Tanya Wani lagi kecewa dengan perbuatan suaminya yang suka
berhutang.
“Abang sedang usahakan agar
kehidupan kita lebih baik. Tapi buat masa ini belum berhasil,” pujuk Hashim
lagi. Dia sedar kelalaiannya menguruskan kewangan diri menyebabkan dia
terperangkap dengan pelbagai tawaran pelaburan dahulu. Kekayaan yang dikejar
tetapi kesempitan hidup pula yang datang.
“Sampai bila harus saya tunggu.
Selama 13 tahun saya berkorban untuk keluarga. Selama itu juga jiwa saya terseksa
dengan abang,” jelas Wani lagi.
“Habis itu, apa yang mampu abang
buat sekarang kalau Wani tidak faham situasi abang sekarang?” Hashim mula
meninggikan suara. Dia semakin tertekan. Gaji yang diterima setiap bulan tidak
mampu menampung kehidupan mereka sekeluarga. Bayaran bil elektrik, bil air, bil
telefon dan bayaran rumah semuanya tertunggak. Itu belum dikira bil kad kredit
yang sudah lama disekat oleh pihak bank. Ditambah pula leteran isteri setiap
kali mereka berada di rumah. Fikirannya semakin kusut. Apa lagi yang harus
dilakukan lagi. Kerja-kerja di sekolah juga semakin menimbun. Tugas guru kelas
dan guru Tahun Enam yang bakal menduduki peperiksaan UPSR semakin membebankan
dirinya ketika ini.
Hashim merenung wajah kedua-dua
anaknya yang sedang lena dibuai mimpi indah. Fareez dan Fairoz belum mengerti
apa itu kehidupan. Fareez sedang belajar di darjah empat dan Fairoz pula di
darjah satu. Mereka bersekolah di sekolah yang sama tempat dia mengajar.
Sekolah Kebangsaan Taman Puteri, Shah Alam. Manakala isterinya pula berjawatan
penolong pengurus di sebuah syarikat swasta berpangkalan di Bandar Diraja
Klang. Jika dibandingkan dengan pendapatannya, jauh ketinggalan dengan jumlah
pendapatan Wani yang saban tahun menerima kenaikan gaji yang lumayan.
“Saya rasa lebih baik awak lepaskan
saya.” Tiba-tiba Hashim gagal mengawal perasannya. Keegoannya benar-benar
teruji. Dia menangis. Tidak mampu menyusun kata apabila isterinya tekad membuat
keputusan.
“Sabar! Kita masih mampu ubah semua
ini,” pujuk Hashim lagi. Masih mengharapkan sinar bahagia hubungan mereka.
Masih cuba bertahan.
“Rasanya sudah terlambat,” tegas
Wani pula.
“Jangan emosi,” pujuk Hashim tidak
berputus asa.
“Saya tahu, abang tak sanggup
lepaskan saya kerana tidak mampu untuk hidup berdikari sendiri. Abang
mengharapkan pemberian saya selama ini,” Hashim terus tersentak. Bagaikan batu
besar yang jatuh dari puncak bukit menghempas dirinya ke tanah. Statusnya
sebagai seorang suami tercabar. Mana hendak dia letakkan air muka ini lagi.
Wani semakin bertegas untuk ambil jalan perpisahan.
“Baiklah!”
****
Kini Hashim bersendirian. Hidup
bagaikan tiada erti. Dia terpaksa memilih jalan yang dipinta oleh isterinya.
Dia rela hati keluar dari rumah yang mereka beli bersama lima tahun yang lalu. Hidup
bersendirian setelah 13 tahun berkeluarga bukan sesuatu yang mudah. Dia
terpaksa menyewa di sebuah rumah flat tujuh belas tingkat. Dia berada di
tingkat lima. Dua tiga orang rakan bujang ajak tinggal bersama. Dia menolak
kerana fikirkan pada setiap hujung minggu dia mahu bawa kedua-dua anaknya
tinggal bersama. Habiskan hujung minggu bersama anak-anak.
Wani pula teruskan hidup bersama kedua-dua anak mereka. Kedua-dua
anaknya dipindahkan ke sekolah berhampiran tempat kerjanya. Wani sedar selama
ini banyak bersabar dengan kerenah suaminya. Namun begitu, ada juga kekesalan
dalam dirinya. Dia tahu bahawa selama ini dia juga banyak berdosa dengan
suaminya. Setiap malam dia akan ber’chatting’ dengan rakan laman sosial
yang bukan muhrim. Dia menceritakan semua perkara dalam rumah tangganya tanpa
batas. Dia juga berkongsi cerita dengan rakan sepejabat tentang segala
keburukan Hashim selama ini. Dia tidak pasti selama ini Hashim sedar atau sebaliknya.
Dia mengharapkan Hashim tidak tahu bahawa segala keburukannya diketahui oleh
kebanyakan rakan sepejabat dan rakan laman sosial.
“Aku tahu selama ini dia burukkan aku,” luah Hashim kepada teman
rapatnya, Suffian.
“Apa maksud kamu?”
“Wani tidak sedar aku pernah membuka laman sosialnya dan menyalin
setiap apa yang dia bualkan dengan rakan
‘chatting’. Dia juga dedahkan keaiban aku selama ini. Aku tahu aku
bersalah membuatkan dia menderita, tetapi adakah sepatutnya dia lakukan begitu
terhadap aku?” Hashim lahirkan kekesalannya.
“Entahlah Hashim. Setahu aku, kamu berdua masih lagi sah sebagai
suami isteri. Cuma kamu berdua tinggal berasingan buat masa ini. Dan aku yakin
kamu berdua akan bersatu kembali nanti,” kata Suffian memujuk agar Hashim
bertenang.
“Entahlah!” Hashim menggeleng.
“Apa yang kamu lakukan padanya sebelum ini? Aku pun hairan bagaimana
dia sanggup untuk berpisah,” tanya Suffian yang selama ini tidak suka
mencampuri urusan peribadi rakan baiknya. Kali ini dia terpaksa ketahui apa
sebab musabab perkara itu berlaku.
“Aku tak mampu sediakan nafkah zahir untuknya. Aku gagal berikan
sejumlah wang pada setiap bulan. Dan dia anggap aku jadikan dia hamba. Buat
kerja rumah dan sebagainya. Dia anggap selama ini dia tidak dihargai. Bukan
sebentuk cincin, malah seutas rantai gelang pun aku tak pernah belikan untuk
dia,” luah Hashim sugul.
“Kerja-kerja rumah macam mana?”
“Itu aku ada bantu juga, cuma aku ada masalah kewangan. Tidak mampu
berikan kebahagiaan kepadanya,” balas Hashim.
“Kebahagiaan bukan terletak pada wang ringgit,” nasihat Suffian.
“Memang betul, tetapi kalau selalu kesempitan wang dan tidak mampu
berikan sebagaimana orang lain mampu lakukan. Bagaimana? Setiap bulan
cukup-cukup untuk tampung hidup aku dan sedikit barangan dapur,” kata Hashim lagi.
“Memang benar. Aku tak nafikan semua orang perlukan duit untuk
hidup. Aku rasa kau perlu uruskan semula struktur kewangan semula. Mungkin ini
dapat membantu kau buat masa ini,” cadang Suffian.
“Cakap memang mudah. Hutang aku semakin bertambah. Bil semakin
tertunggak. Apa yang mampu aku buat lagi?” Tanya Hashim minta pandangan.
“Orang lain pun ada yang macam kau. Gaji bersih pun tak padan dengan
gaji kasar. Hutang bank sana, hutang koperasi sini. Aku pun ada berhutang
dengan sebuah bank,” kata Suffian sebagai menenangkan hati sahabatnya.
“Kau lain. Masa itu kau pinjam buat beli tanah. Sekurang-kurangnya
kau ada aset sekarang. Tapi aku, apa yang ada? Tulang empat kerat inilah yang
tinggal.” Suffian ketawa geli hati dengan kata-kata Hashim.
“Sabarlah Hashim. Kita fikirkan jalan terbaik,” balas Suffian.
“Bagaimana?”
****
Sebaik sahaja usai solat sunat
sunat ba’diyyah Maghrib, Ustaz
Shukri duduk di kerusi yang disediakan
di depan para jemaah. Hashim mengambil tempat di barisan depan sekali. Dia
semakin rajin turun ke surau yang berada berhampiran blok A yang didudukinya.
Dia bersyukur AJK surau flat perumahan ini aktif menganjurkan kuliah maghrib.
Selama ini Hashim leka dengan kesibukan dunia semata-mata. Akhirnya tiada apa
yang dia peroleh selain kegagalan mempertahankan keutuhan rumah tangganya.
Walaupun masih belum secara rasmi berpisah, hidupnya kini tidak ubah sudah
berpisah kerana masing-masing bawa haluan sendiri.
“Malam ini saya cuba selongkari
suatu isu yang sentiasa bermain di dalam kotak fikiran kita,” ujar Ustaz Shukri
memulakan kuliah maghrib.
Para jemaah diam dan masing-masing
keluarkan buku catatan. Hashim hanya menggunakan telefon bimbit untuk mencatat
setiap pengajaran di surau tersebut.
“Saya cuba perjelaskan
langkah-langkah untuk tambahkan rezeki kita di dunia ini. Saya bukan nak ajak
para jemaah melabur,” kata Ustaz Shukri tersenyum.
Para jemaah juga tersenyum dengan
gurauan Ustaz Shukri.
“Langkah pertama ialah luaskan
pengertian tentang rezeki. Maksud saya ialah erti rezeki itu bukan hanya
melibatkan wang semata-mata. Kesihatan, ilmu, keselamatan, masa lapang dan
seumpamanya juga bentuk rezeki anugerah Allah SWT,” sambung Ustaz Shukri lagi. Hashim
terpana seketika. Selama ini dia membuat pinjaman untuk melabur dalam pelbagai
perniagaan. Namun semuanya temui kegagalan. Dia juga jauh dengan kehidupan
sebenar yang dituntut oleh Islam. Dia selalu melewat-lewatkan solat. Kononnya
sibuk berdiskusi dengan rakan perniagaan. Pulang lewat jauh malam dan bangun
lewat pada hujung minggu hingga terbabas waktu solat Subuh.
“Langkah kedua ialah sambungkan
silaturahim. Bukan sahaja berbaik-baik dengan ahli keluarga dan kawan-kawan
tetapi juga dengan sesiapa yang memutuskan silaturahim dengan kita. Itu lebih
utama. Dan langkah ketiga ialah banyakan memberi. Maksudnya kita jangan kedekut
untuk bersedekah atau menyumbangkan tenaga untuk kemaslahatan umum. Contohnya,
kalau tidak mampu dengan kewangan, datang ke surau ini bersihkan kawasan
sekitar dan sebagainya,” kata Ustaz Shukri dengan penuh ketenangan membuatkan
para jemaah terpesona pada setiap rangkap ungkapannya.
“Subahanallah,” terpacul kalimah
suci di bibir Hashim sebaik sahaja Ustaz Shukri memberitahu langkah terakhir
ialah bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Kita perlu
bersyukur kerana ia akan memberikan ketenangan dan menambahkan rezeki.
Hashim benar-benar insaf dengan apa
yang dilakukan selama ini. Kegagalannya mendidik diri dan ahli keluarga
menepati ciri-ciri keluarga yang diredai Allah membuatkan dirinya berasa sangat
kerdil. Walau apa pun dia tidak perlu sesali apa yang sudah berlaku. Dia perlu
mara terus ke depan. Perbaiki semula hubungan dengan Allah. Dan kemudian menyusul
pula hubungan baik dengan isteri pula.
Dia sedar apa yang dilakukan isteri
selama ini berpunca daripada dirinya sendiri. Gagal membentuk keperibadian
isteri menepati ciri-ciri isteri solehah yang diimpikan oleh semua para suami.
Dia tidak harus menyalahkan isterinya semata-mata. Dia adalah ketua keluarga
dan seterusnya memimpin isteri dan anak-anak.
“Ya Allah! Ampuni segala dosa-dosaku
selama ini. Jangan Kau palingkan hatiku ini setelah Kau berikan hidayah ini
terhadap-Mu. Aku bermohon keampunan daripada-Mu Ya Allah!”
Tekad Hashim kini mahu kembalikan
keharmonian keluarga yang dibina selama ini. Lupakan episod silam. Tempuhi
kehidupan seterusnya dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Maha Esa.
****TAMAT****
Setiap bab dibahagikan EMPAT bahagian iaitu :
1) KISAH TAUBAT
2) MUHASABAH DIRI
3) INFO TAUBAT
4) KISAH TELADAN
Semoga manuskrip ini dapat diselesaikan dengan lancar. Mohon tuan-tuan yang budiman doakan saya ya?
Wassalam.
Al-Faqir Wan Zayuhisham
Regency Hotel KL