JEMPUTAN BICARA BUKU
Posted: Friday, December 28, 2012 by WZWY in Labels: Kisah Saya, Penulisan, Umum
0
PETANG SEMALAM ( 27 Disember 2012 ) saya telah dijemput hadir ke Galeri Ilmu Sdn Bhd untuk berkongsi pengalaman kerja dan dunia penulisan saya dengan kakitangan syarikat ini. Dengan izin Allah SWT, buku seterusnya juga bakal diterbitkan oleh syarikat penerbitan ini. Maka saya diminta berkongsi cerita dan pengalaman menulis buku ini dan juga dunia perguruan.
"Cikgu, anak saya okey?" merupakan buah tangan saya keenam dengan syarikat ini. Insya-Allah bakal diterbitkan pada bulan Mac 2013 nanti. Doakan dipermudahkan penerbitannya. Insya-Allah.
Pelbagai cerita yang sempat saya kongsikan bermula dengan siapa saya sebelum terjun ke dunia penulisan ini dan seterusnya mencipta nama sebagai penulis sehingga sekarang. Sejujurnya saya berterima kasih kepada seluruh warga kerja syarikat ini yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk saya terus menulis terutama mentor saya, Tuan Haji Zakaria Sungib.
Dunia perguruan adalah dunia yang sudah sebati dengan diri saya.Subhanallah, saya sudah 15 tahun berkhidmat sebagai guru dan memasuki tahun kedua sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Maka apabila diminta oleh pengacara majlis berkongsi cerita tentang pengalaman ini, ia membuatkan saya begitu teruja dan banyak perkara yang sempat dikongsi bersama. Kisah suka duka kehidupan sebagai guru. Kisah pengalaman berdepan dengan karenah ibu bapa dan murid-murid juga sempat saya kongsikan.
Sesungguhnya kelahiran buku motivasi "Cikgu, anak saya okey?" itu nanti cukup besar ertinya bagi diri saya. Saya amat berharap buku ini dapat dimanfaatkan oleh para pembaca terutama di kalangan rakan-rakan guru, pentadbir sekolah, pegawai pendidikan dan ibu bapa.
Saya juga bercadang untuk berkongsi lagi dunia perguruan ini dengan para pembaca. Sebenarnya masih banyak pengalaman saya dan rakan-rakan yang boleh dikongsi dan diambil iktibar oleh semua. Moga-moga perkongsian ikhlas ini mampu memberi sesuatu yang bernilai buat para pembaca yang bukan di kalangan warga pendidik.
"Jika mahu melihat apa yang kita dapat, maka lihatlah apa yang kita beri." Ungkapan ini saya telah ulang beberapa kali kepada guru-guru di sekolah. Ini kerana jika seseorang guru itu memberikan perhatian dan kasih sayang terhadap murid-murid, maka mereka akan kasih dan hormat kepada guru tersebut. Ini lebih baik berbanding bertindak secara kasar atau memalukan mereka.
Terima kasih sekali lagi buat seluruh warga Galeri Ilmu Sdn Bhd kerana sudi mengundang penulis kecil ini. Semoga perkongsian saya itu dapat memberikan sesuatu yang baik. Insya-Allah. Sebagai mana yang saya sebutkan semasa program tersebut, "Saya sudah menganggap diri saya sebahagian daripada warga kerja GISB yang selama ini banyak membantu dunia penulisan saya. Kira-kiranya saya ini staf bersekutu berada di luar pejabat."
Saya mendoakan agar GISB terus utuh dan kukuh dalam menerbitkan majalah, buku dan drama yang berkualiti. Walau apa pun cabaran, jika diharungi dengan bijaksana, ia akan memberikan pulangan dunia dan akhirat sebagaimana yang diharapkan. Insya-Allah.
Al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.