semakin MENJAUH?

Posted: Thursday, December 6, 2012 by WZWY in Labels:
1

ALHAMDULILLAH....syukur di atas segala nikmat limpahan-Nya. Moga kita akan menjadi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur pada saban waktu. Selagi kita diberi keizinan untuk terus menghirup udara percuma ini.

Satu dua hari ini ALLAH berikan ilham untuk menitip kata-kata di ruang 'facebook'. Maka dengan sedikit ilmu yang ada, saya cuba hiasi kata-kata itu dengan seadanya. Moga ia memberikan manfaat buat saya dan rakan-rakan di luar sana.

Sesungguhnya sebagai manusia biasa, saya dan saudara tidak boleh 'lari' daripada ujian-ujian hidup. Bezanya apa ujian dan bagaimana kita menyelesaikannya. Namun hakikatnya, semua itu diselesaikan dengan izin dan kekuasaan-Nya. Sungguh berat setiap dugaan yang datang. Hanya pada-Nya tempat berserah. Kita hanya manusia serba dengan kelemahan. 

Pesan sahabat,

Berserah pada Allah walau sebesar mana ujian yang datang.

Bersangka baik pada-Nya di setiap ketika.

Jadikan membaca Al-Quran itu amalan hidup seharian.

Basahkan bibirmu dengan lafaz zikrullah dan selawat.

Jadikan solat sunat Dhuha itu amalan setiap pagi.

Mendoakan kejayaan dan kebahagiaan orang sekeliling.

Memaafkan sesiapa sahaja yang pernah atau sedang menyakiti hatimu.

Bersedekahlah pada setiap masa dengan penuh ikhlas.

Yakinlah.....Yakinlah....Yakinlah....Allah sentiasa bersamamu.

Jagalah Dia.

Saudaraku,

Sesungguhnya perjalanan hidup ini memenatkan. Apa tidaknya semakin ke hujung semakin penat sedangkan beban bertambah berat.

Ingat lagi pesan guru, "Hidup selagi hidup. Jangan mati sebelum mati."

Oleh itu, kalau pun ada masalah di pertengahan jalan kehidupanmu, teruskan perjalanan itu. Hidup ini memang begitu. Ujian demi ujian kita akan tempuhi. Jangan marah....Jangan merungut....Kamu sedang diuji dan diuji.

Sedarlah...

Sesetengah ilmu itu tidak boleh diajar, tetapi hanya dipelajari. Tiada guru di sampingmu, tetapi hakikatnya kamulah pelajar sepenuh waktu. Pengalaman yang kamu tempuhi dewasa ini adalah sebaik-baik bekalan hidup di hari kemudian.

Semoga kita semua dirahmati-Nya. Jangan lupa untuk bersyukur pada-Nya. Ingat...NIKMAT itu UJIAN.

al-Faqir Wan Zayuhisham
Shah Alam.
 ___________________________________

Hanya pada-Mu aku berserah di atas segala ujian-Mu ini.
Aku tidak pernah menjauh....

1 Komentar:

  1. Jamal Ali says:

    Nasihat Cikgu teramat bermakna kepada saya. Terima kasih.