Buku Seorang Guru
Posted: Monday, July 1, 2013 by WZWY in Labels: Cerita Buku, Kisah Saya, Penulisan
0
ALHAMDULILLAH dengan segala limpah kurnia-Nya. Saya masih diberi kekuatan untuk berada dalam dunia yang tidak pernah saya impikan sebelum ini.
Empat tahun lepas saya hanya impikan menulis sebuah e-book. Tapi hingga sekarang, hasrat penulisan ebook itu masih menjadi impian yang belum tertunai.
"Tulislah sesuatu yang dekat dengan anda."
Itulah nasihat yang masih terngiang-ngiang di cuping telinga ketika menyertai kursus penulisan sulung saya di bilik mesyuarat Galeri Ilmu Media Group (GIMG).
Bermula dengan IMPIAN JUARA, ia adalah hasil pengalaman saya berada di SK Taman Medan dan ketika itu saya membawa cabaran pasukan ping pong sekolah di peringkat daerah.
Kedua-dua buah buku motivasi diri saya juga berputar di sekeliling kehidupan saya sebagai seorang pendidik. SUAMI YANG TERUJI adalah hasil pengalaman bertemu bual dengan para ibu bapa. Kemudian yang terbaharu CIKGU, ANAK SAYA OKEY? juga hasil pengalaman saya sebagai guru dan pentadbir di sekolah.
Pengerusi Redaksi Majalah Al-Maarif
Saya pasti ia bukan suatu kebetulan kerana sesuatu yang berlaku itu dalam penguasaan-Nya. Sekitar tahun 1990-1991 saya telah dilantik oleh Ustaz Mat Zin dan Cikgu Nik Ahmad Affendy sebagai penolong pengerusi dan seterusnya dilantik sebagai pengerusi Unit Redaksi Majalah Al-Maarif, Sekolah Menengah Agama Maarif, Kampung Raja, Besut Terengganu. Saya masih ingat pada masa itu saya bersama-sama sahabat karib Mat Rahimi Yusof yang sekarang bertugas di SMK Penarek, Setiu, Terengganu selama dua tahun terlibat dalam pembikinan majalah sekolah. Ia suatu pengalaman baru pada masa itu.
Apabila dikenang-kenang, rupa-rupanya Allah telah memberi ruang awal kepada saya terlibat dalam dunia penulisan ini. Cuma apabila saya mula memasuki maktab perguruan dan meneruskan khidmat bakti di seberang Laut Cina Selatan,dunia penulisan seolah-olah semakin menjauh dan jauh sayup-sayup sehingga tidak kelihatan lagi.
"Saya tak pernah baca novel."
Inilah ayat yang saya katakan kepada mentor atau guru penulisan saya, Tuan Haji Zakaria pada satu pertemuan pertama kami.
Mana mungkin saya mahu diajak menulis novel sedangkan saya sendiri tidak pernah dan tidak minat membaca novel. Sungguh, saya tidak pernah membeli novel kecuali ketika berada di aliran sastera di sekolah menengah dahulu.Itu pun kerana saya perlu duduki peperiksaan mata pelajaran tersebut.
Mahu atau tidak, saya mesti beli dan baca novel. Andainya masih bercita-cita menulis sebuah novel, saya mesti baca sekurang-kurangnya sepuluh buah novel.
"Arghhh! Sukarnya."
Dalam kepayahan saya sudah membaca lebih sepuluh buah novel dewasa dan remaja. Saya perlu tahu apa itu novel dan gaya penulisan sesebuah novel. Dan lama kelamaan ia semakin mudah. Saya pun mula mendaftarkan diri dalam pelbagai kursus atau bengkel penulisan di sekitar Lembah Klang.
Alhamdulillah, atas semangat 'burning desire' dan keizinan Allah SWT, novel pertama saya mula dipasarkan di sekitar awal tahun 2010.
Wah! Bangganya saya apabila melihat sebuah novel hasil tulisan sendiri sudah berada di atas rak buku kedai-kedai ternama. Sukar untuk saya ungkapkan di sini.
Sampai bila?
Hingga ke penghujung nyawa akan terus berjuang dalam dunia yang semakin sebati dengan jiwa saya ini. Insya-Allah. Itulah doa dan harapan besar saya. Moga ia diberi keizinan-Nya.
Kata saya pada Tuan Haji Zakaria suatu ketika dulu, "Saya mahu melakukan sesuatu yang boleh beri saham akhirat walaupun saya ditakdirkan sudah tiada di alam buana ini."
Akhir kata
Selamat berjuang kepada semua rakan penulis di seluruh negara. Bukan semua mampu berada di lapangan perjuangan ini. Andai ditakdirkan sudah ada jalan dan ruang di pintu dunia penulisan ini, teruskan...teruskan tanpa jemu.
Terima kasih buat semua pembeli dan pembaca buku-buku tulisan saya yang masih bertatih dalam dunia ini. Sokongan dan dokongan tuan-tuan mampu memberi kekuatan untuk saya terus berkarya. Insya-Allah.
'
Moga jumpa lagi.
Amin.