Siapa Diri Kita Sebenarnya?

Posted: Wednesday, May 20, 2009 by WZWY in Labels:
0

Siapa aku sebenarnya? Persoalan ini sentiasa bermain dibenak kepala bagi yang cuba untuk mengenali siapakah dirinya sebenarnya. Sama ada seseorang itu guru, doktor, peguam, imam, peniaga atau apa sahaja pekerjaannya, ia belum menggambarkan siapa diri kita sebenarnya.

Mengikut buku Trading Chaos yang saya baca sebelum ini, penulis menyatakan bahawa jika ingin mengenali siapa diri kita sebenarnya, kita perlu melihat diri kita dicermin selama tiga puluh minit pada setiap hari dan tanya berulangkali siapakah aku sebenarnya? Insyallah selepas itu, lama kelamaan kita akan kenal siapa diri kita.

Walau bagaimanapun berdasarkan tulisan Hj Ahmad Salim Omar yang dipetik dalam majalah Solusi ialah yang menentukan siapa diri kita sebenarnya ialah hati kita dan perasaan kita. Itulah hakikat diri kita sebenarnya. Bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada segumpal daging bila keadaanya baik maka baik pula seluruh anggotanya dan bila rosak, rosak pula seluruh anggota badannya. Ketahuilah bahawa itu adalah hati".

Oleh itu, jika hati kita tidak merasai kebesaran kekuasaan Allah s.w.t, hati kita tidak dekat dengan ayat-ayat Al Quran, hati kita tidak rasa untuk berjemaah di surau atau masjid, hati kita masih lagi ingin melakukan perbuatan-perbuatan mungkar, hati kita masih ingin terus bergelumang dengan noda dan dosa. Maka dengan itu kita perlu segera bertaubat dan meninggalkan segala perlakuan dan perbuatan yang dilarang oleh-Nya. Semoga dengan usaha itu, kita akan mengenali diri kita dan seterusnya mendekatkan diri dengan Maha Pencipta kita.

Oleh itu, kita perlu memberi fokus kepada hati dan memastikan ia selaras dengan kehendak Islam. Jika hati kita bermuafakat dengan kehendak Allah, maka kehidupan kita akan lebih bermakna dan menemui jalan kebahagiaan. Segala kesukaan Allah menjadi kesukaan kita dan seterusnya setiap perbuatan kita menjuruskan kepada iman dan takwa.Dengan itu, segala pekerjaan dan tanggungjawab kita akan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya selaras dengan kehendak Islam tanpa berlaku apa-apa penyelewengan dan seumpamanya.

Kita adalah makhluk ciptaan-Nya, setiap pergerakan, percakapan dan apa jua yang kita lakukan termasuk dalam kekuasaan-Nya. Jadi, kenali diri dengan sebaik-baiknya, apa kehendak kita, apa kemahuan kita dan pastikan ia tidak berlawanan dengan kehendak ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Insyallah jika kita ikhlas dalam setiap perbuatan kita, maka ia akan dipermudahkan oleh Allah s.w.t dan menerima ganjaran yang setimpal.

Wassalam!

0 Komentar: