SIAPA KATA TIDAK BOLEH....

Posted: Friday, May 15, 2009 by WZWY in Labels:
0


" Sejauh mana kesungguhan anda untuk meneruskan cita-cita bergantung kepada betapa kuatnya keazaman anda untuk memilikinya "

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Hormat buat tuan/puan yang sudi singgah di blog ini. Sebagai pos pertama di blog ini, saya petik kata-kata di atas yang diambil daripada buku 'Keazaman Membara' hasil tulisan Dr Asrul Zamani. Sememangnya setiap individu yang bercita-cita tinggi memerlukan keazaman yang kuat bagi memastikan apa jua cita-cita yang dimpikan menjadi suatu realiti.

Bagi merealisasikan impian untuk menjadi salah seorang yang bergelar penulis, ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu dilakukan dan memerlukan pengorbanan bagi menggapai cita-cita tersebut. Oleh itu, siapa kata kita tidak boleh untuk mencapai apa jua cita-cita kita selagi kita belum bermula. Bagi menjadi seorang penulis, kita perlu menjadi seorang pembaca, dan bukan sekadar membaca apa yang kita minat sahaja tetapi dalam pelbagai topik dan bidang.

Pesan Pak Ya ( En Zakaria Sungib) seorang Editor Kanan di Galeri Ilmu Sdn Bhd, sebagai langkah pertama untuk berada dalam dunia penulisan, kita perlu memberi rangsangan kepada diri kita untuk menulis. Bina keyakinan diri dan keazaman yang kuat untuk menjadi seorang penulis. Dan ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan jika ia disertakan dengan minat dan usaha yang berterusan. Pasti kejayaan akan menjelma suatu hari nanti.

Tambah beliau, seorang penulis perlu bijak membahagikan masa dan sedia berkorban untuk mengubah rutin kehidupan biasa. Oleh itu apa yang perlu diubah? Jawapan yang boleh diberikan ialah segala perkara yang dilakukan selain urusan kerja, tanggungjawab terhadap keluarga dan urusan ibadah kepada Yang Maha Esa wajar dikurangkan dan penuhi masa tersebut dengan perkara yang berkaitan dengan dunia penulisan sama ada membaca, ,mengkaji atau pun menulis.

Saya masih tidak layak untuk memberi apa-apa pandangan kerana masih lagi mencari rentak apa yang perlu dilakukan untuk bermula sebagai penulis.Saya juga masih tercari-cari apakah bidang penulisan yang sesuai dengan diri saya. Apa yang saya tahu ialah mencari sebanyak mana informasi dan ILMU untuk menjadi seorang penulis. Hasil daripada ILMU itulah akan membimbing saya ke arah menjadi seorang penulis. Langkah awal yang telah dilakukan ialah membeli buku-buku yang berkaitan, mencari maklumat di internet dan berjumpa dengan mereka yang mahir dalam dunia penulisan.

Apakah langkah seterusnya? Izinkan saya lakukan dengan sempurna langkah-langkah awal tersebut.

Wassalam!

* sedang berusaha untuk menyertai bengkel/seminar penulisan seperti Bengkel Penerapan Nilai Islam Dalam Novel (GISB),Akademi Penulis, UNIKA PTS & Seminar dan Bengkel Penulis Bebas. Insyallah dipemudahkan oleh Allah SWT.

0 Komentar: