Kisah Aku dan Marlboro

Posted: Thursday, July 9, 2009 by WZWY in Labels:
0

"Abang janji, lepas kahwin nanti baru berhenti," janji seorang teruna yang bakal memasuki gerbang perkahwinan.

"Betulkah atau janji palsu?" soal dara minta kepastian.

"Sum....kalau sumpah abang tidak berani tapi kalau sayang suruh abang telan apa saja nanti, abang ikut," kata teruna.

*******

"Abang, rasanya kita sudah lima tahun kahwin,"

"Anak pun sudah tiga," sambung Si Isteri lembut.

Si Suami tanpa memberi reaksi terus membaca akhbar semalam.

"Mana janji abang sebelum ini?" soal Si isteri menuntut janji.

"Bukan abang tidak mahu berhenti. Sekarang masih dalam proses berhenti," jawab Si Suami tenang.

*************
"Zali masih dalam ICU," beritahu Si Isteri dengan perasaan hiba. Sejak semalam Zali masih lagi ditahan di wad ICU kerana kompikasi paru-paru.

Si Suami turun ke warung sebelah hospital. Jiwanya tidak tenang sejak semalam. Rokok Marlboro tidak pernah berpisah dari mulutnya.

************

Zali semakin sihat. Si Suami dan Si Isteri bersyukur ke hadarat Ilahi. Tapi ia tidak lama. Selepas itu Zali terpaksa dikejarkan ke hospital semula kerana penyakit asma yang agak teruk. Dia ditahan diwad Pusat Perubatan Universiti Malaya. Sebelum ini telah dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Terengganu dan Hospital Besar Kota Bharu kerana kes yang sama.

Si Isteri terus berada di sisi anaknya. Si Suami terpaksa berulang alik dari rumah dan hospital kerana menjaga dua lagi anak mereka yang masih belum bersekolah.

Dalam perjalanan di lebuh raya.

"Kenapa aku masih lagi belum berhenti..," bisik hati Si Suami.

"Dada aku pun kadang kala terasa senak," bisik Si Suami sendirian sambil menghembus asap berkepul-kepul.

"Mungkin kerana tabiat aku ini menyebabkan anak-anak aku mengidap asma juga," fikir Si Suami lagi.

Ketiga-tiga anak lelakinya memang disahkan mengidap asma. Cuma Zali yang agak teruk. Zikry juga pernah dimasukkan ke hospital sebelum ini. Kata doktor, ia mungkin disebabkan keturunan sebelah dirinya.

"Aku tidak kira. Demi kesihatan anak-anak. Aku mesti berhenti juga," ujar Si Suami penuh yakin.

"Selamat tinggal, wahai sang rokok durjana. kau telah banyak menyusahkan aku," kata Si Suami dan membuang sekotak rokok yang baru dibelinya tadi.

*************

Kini sudah hampir lima tahun Si Suami berhenti merokok. Pada masa itu bukan kerana fatwa atau harga naik tetapi kerana kesedaran dalam dirinya tentang bahaya rokok. Dia bersyukur Allah membuka pintu hatinya untuk berhenti. Akhirnya dia sedar, dia berhenti kerana Allah SWT.

Alhamdulillah, kini suasana di rumah sudah tiada lagi kepulan asap walaupun dulu dia menghisap rokok di beranda. Sekurang-kurangnya dia menjadi contoh teladan buat anak-anak lelakinya. Kesihatan semakin baik. Zali pun sudah sihat sepenuhnya. Hanya Zikry yang masih memerlukan bantuan 'inhaler' pada masa-masa tertentu.

Tentu Si Isteri menarik nafas lega semasa dia membuat keputusan untuk berhenti merokok dulu. Mungkin berkat doa Si Isteri yang tidak putus-putus mendoakannya.Terima kasih teristimewa buat isteri tercinta.Kehadiranmu suatu anugerah tidak ternilai buatku.

Itulah secebis kisah benar Zayu Hisham dan Rokok Marlboro.

* Keputusan fatwa Warta Kerajaan yang keluarkan oleh Jabatan Mufti Selangor pada tahun 1995 yang mengatakan bahawa rokok itu HARAM.

0 Komentar: