Firman Allah s.w.t :
"Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguh- nya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih."
(Surah At-Taubah, ayat:108)
"Sifar sampah!Kamu tahu apa maksudnya," tanya Guru Besar lantang kepada semua murid semasa perhimpuan pagi isnin semalam. Ini adalah arahan pihak sekolah sejak daripada awal tahun, melarang kelas mempunyai tong sampah dengan tujuan mendidik murid-murid agar tidak mengotorkan kelas dengan cebisan-cebisan kertas dan sebagainya.
Tapi, itulah hakikatnya, masyarakat kita perlu dididik sejak bangku sekolah lagi tentang kebersihan. Berdasarkan ayat di atas, ia sudah jelas menggambarkan kepada kita bahawa Allah s.w.t meminta kita sentiasa menjaga kebersihan. Tapi hakikatnya, cuba kita perhatikan di sekeliling sama ada di rumah, di tempat kerja, di masjid, di dewan, di perhentian bas, di restoran dan di mana-mana sahaja. Apa yang kita boleh buat kesimpulan?
Begitu juga yang berlaku kepada murid-murid di sekolah saya bertugas, terdapat dikalangan mereka yang masih tidak ambil peduli tentang arahan yang diberikan. Ia mungkin sesuatu yang normal bagi seorang kanak-kanak. Tapi ia memberi kesan kepada pihak sekolah jika gagal mendisiplinkan mereka.
Paling ketara apabila segelintir ibu bapa yang tidak segan silu mengarahkan anak-anak mereka membuang sampah melalui tingkap kereta. Kesian, anak-anak sudah dididik dengan cara yang salah.
Begitu juga berlaku di kawasan masjid terutama di dalam tandas. Apa yang anda alami sebelum ini? Pengalaman saya, ada sesetengah tandas tanpa ada penyelenggaraan kebersihan. Ini menyebabkan persepsi kurang enak apabila berada di kawasan Rumah Allah. Tapi sepanjang saya berada di Selangor ini, kebanyakan masjid dan surau mempunyai tandas yang bersih dan dijaga rapi.Alhamdulillah!
Semoga kita sama-sama menjaga alam sekitar dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan berdisiplin. Ada kelapangan nanti,kita berbicara soal kebersihan HATI.