Buat Apa Baca? Bukan Nak Periksa pun.
Posted: Friday, September 4, 2009 by WZWY in Labels: Motivasi Diri
0
Memang agak malang bagi seseorang individu menghabiskan masa yang diperuntukkan oleh Allah 24 jam sehari semalam tanpa membaca Al Quran atau pun sebarang buku berkaitan agama, motivasi pembangunan diri, ilmiah dan sebagainya seperti karya kreatif.
"Baca buku, buat apa?AKu bukan budak sekolah lagi nak periksa," Si A mengerut dahi menjawab pertanyaan Si B.
"Sejak bila fatwa katakan mesti nak ambil periksa baru baca buku?" Si A memandang Si B terkebil-kebil. Sejak bila pula kawannya begitu serius bercakap tentang isu ini. Biasanya bila keluar minum selepas solat Terawih, perbualan mereka hanya berkisar tentang isu semasa atau paling hebat pun mengenai Liga Perdana Inggeris.
"Kau tahu tak, bagaimana seorang penulis boleh bercerita tentang saham, tugas seorang doktor, peguam, ahli korporat atau pun ahli sukan? Padahal mereka hanya penulis sahaja dan tidak pernah pun bekerja atau belajar tentang apa yang aku sebut tadi," soal Si B.
"Dia orang lain sebab penulis, mesti tahu semua," Si A membela diri.
"Kau tahu tak ada penulis tahu tentang benda-benda tu dengan hanya masuk perpustakaan sahaja," Si A memandang tepat Si A.
"Ya, kenapa, tak percaya ka?" soal Si B lagi.
"Macam mana?" Si A mula berminat.
"Berapa kali kau masuk perpustakaan?" soal Si B.
"Mana aku tahu perpustakaan di sini dekat mana," Si A tersenyum malu.
"Itulah kau, kalau tiada modal hendak beli buku di kedai buku, kita masih ada alternatif ke perpustakaan. Macam kita di sini boleh ke Shah Alam sebelah muzium atau pun ke perpustakaan di Petaling Jaya bersebelahan dengan stadium hoki," jawab Si B.
"Aku bukan setakat perpustakaan, kedai buku pun masuk beli surat khabar sahaja,"
"Itulah kita kena ubah, setiap bulan sekurang-kurangnya sebuah atau dua buah buku kita beli dan baca,"
"Untuk apa?"
"Pengetahuan diri, sekurang-kurangnya kita lebih bersifat terbuka dan menjadi panduan hidup kita," Si B menyambung penjelasannya.
"Nampaknya aku kena tukarlah, duit aku pun setiap bulan habis beli benda ini boleh pula," Si A menunjukkan rokok dunhill kegemarannya dan menghembus asap bagai corong kilang sawit.
Si B mengangguk dan senyum sendirian dengan gelagat kawannya.
Itulah senario yang berlaku. Ia bukan suatu cerita kosong, tetapi orang kita suka bercakap kosong dan berborak lama-lama di kedai makan. Paling menyedihkan apabila ibu bapa hanya tahu membeli mainan untuk anak-anak tanpa dipimpin tangan mereka ke kedai-kedai buku.
Wallahualam.....