0
Robert Alain seorang warganegara Peranchis atau lebih dikenali "Spiderman' bukan manusia biasa kerana sifat degil dan keazaman tinggi membuatkan dia dikenali oleh seluruh penduduk bumi ini.
Keberanian dan kecekalan memanjat bangunan-bangunan tinggi bukan sesuatu yang mudah. Robert Alain berjaya menggunakan bakat dan kemahirannya untuk menakluk bangunan tinggi di serata dunia. Dan terkini dia dilaporkan berjaya menakluk bangunan setinggi 88 tingkat iaitu Menara Petronas. Setelah gagal dalam dua percubaan pada tahun 1997 dan 2007, maka pada tahun 2009 akhirnya impian terlaksana. Sebenarnya, apakah yang dicari oleh 'spiderman' ini? Adakah dia melakukan kerana nama, wang atau pun kepuasan diri.Walaupun apa yang dilakukan itu menyalahi undang-undang di dalam sesebuah negara, apakah nilai-nilai positif kita boleh ambil daripada manusia 'pelik' ini.
Saya teringat petikan dalam sebuah buku motivasi hasil tulisan Dr Asrul Zamani iaitu "Sebagai manusia, kita telah dijadikan supaya sentiasa berkeinginan dan untuk terus ingin lebih berjaya dari semasa ke semasa."
Pada hemah saya, begitulah yang berlaku ke atas Robert Alain. Dia tidak pernah puas dengan rekod peribadi dan akan terus berusaha mencipta dan terus mencipta rekod sebagai mana pelari terpantas dunia masa kini Usain Bolt yang baru saja memecah rekod peribadi 100M 9.69 kepada 9.58 saat. Sebelum ini tiada siapa menyangka bahawa ada pelari mampu melakukannya sehinggalah Usain Bolt membuktikannya. Dan tidak mustahil selepas ini rekod ini akan dipadamkan olehnya atau pun pelari lain pula. Begitulah fitrah manusia. Jika ke arah kebaikan dicari maka kita akan menemui kejayaan sejati dan begitulah sebaliknya.
Antara langkah-langkah Keazaman Membara yang boleh dikongsikan di sini ialah Percaya Bahawa Matlamat Anda Pasti Tercapai. Oleh itu, matlamat yang ditetapkan haruslah sesuatu yang boleh dicapai. Minda kita akan tahu sama ada sesuatu itu realistik atau pun tidak.Kepercayaan yang kukuh amat penting disemai dalam diri kita. Jika tidak, anggaplah cita-cita kita itu hanyalah khayalan semata-mata.
Semoga apa yang dibacakan di sini dapat memberi suntikan semangat untuk terus berjuang dan berusaha dalam apa jua lapangan yang kita usahakan. Insya-Allah, dengan iringan doa kita mampu mencipta kejutan untuk diri kita sendiri.