0
Kalau sudah tiada rezeki. Di depan mata sekali pun belum tentu menjadi milik kita. Oleh itu, senantiasalah berdoa dan bersyukur di atas setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Usaha dan terus berusaha. Tidak perlu kecewa jika apa yang diinginkan itu menjadi milik orang lain. Mungkin itu adalah rezeki mereka. Insya-Allah, esok atau lusa kita pula mendapat limpahi rezeki Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih.
Nabi Muhammad SAW bersabda, "Allah menyukai pekerjaan yang dilakukan secara terus-menerus walaupun pekerjaan itu kecil atau pun sedikit." (Riwayat Bukhari dan Muslim ).
Walaupun begitu kita diingatkan oleh Allah SWT agar tidak sewenang-wenangnya mencari rezeki. Kita telah diperintahkan dan diberi amaran oleh-Nya supaya mencari rezeki daripada sumber yang halal.
Kebetulan malam tadi ( 7 Ogos 2010 ), dengan izin-Nya saya dan keluarga sempat ke majlis ilmu Kuliah Maghrib Perdana di Masjid Subang Perdana, Shah Alam. Kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus yang didatangkan khas dari negeri Terengganu. Selama ini hanya mendengar atau menonton kuliah beliau di you tube sahaja.
Di antara lain peringatan Ustaz Azhar Idrus ialah setiap sen duit yang datangnya daripada sumber yang haram akan dilaknati Allah. Segala ibadah solat kita tidak diterima. Apatah lagi ibadah-ibadah yang lain. Puasa, haji, sedekah dan lain-lain lagi menjadi sia-sia. Jadi, cuba bayangkan apa bekalan seseorang itu apabila berada di akhirat nanti. Apakah bekalan yang dibawa?
Ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam ayat 142, surah al-An'am bermaksud, "Makanlah daripada rezeki yang diberikan Allah kepadamu dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu."
Persoalannya pula apa kaitan entri rezeki ini dengan foto ayam panggang. Mentang-mentang dekat dengan ibadah puasa, foto ayam panggang jadi pilihan. Bukan begitu, sebenarnya ada perkara yang baharu saja terjadi berkaitan dengan ayam panggang. Bila sampai sahaja ke rumah, pantas masuk bilik dan ditekan papan kekunci ini. Ada sesuatu yang boleh saya kaitkan dengan peritiwa ayam panggang ini.
Al-Kisah, pada pagi tadi saya mahu ke kedai gunting rambut. Mata saya terpandang beberapa ekor ayam panggang sedang dibakar. Di dalam hati sudah pasang niat. Selesai sahaja sesi potong rambut dua anak lelaki dan saya sendiri nanti, saya akan singgah dan beli ayam panggang ini.
Bila tiba saat yang dinanti-nantikan, saya pun singgah di kedai ayam panggang. Wah! rezeki makan ayam panggang tengah hari ini. Telefon isteri, hari ini kita makan tengah hari berlaukkan ayam panggang.
Saya berhentikan kereta di depan masjid dan terus menuju ke kedai berkenaan.
"Saya mahu ayam seekor."
"Encik ada buat 'booking' ke?
"Booking?" Saya bertanya.
"Semua ayam ini sudah di'booking'."
"Saya belum 'booking' apa-apa," jawab dengan sejujurnya.
"Ayam sudah habis." Saya melihat jam masih awal dan belum masuk waktu Zuhur.
"Minta maaf ya encik. Sila datang esok." Tanpa tunggu lama saya beransur-ansur meninggalkan kedai berkenaan dengan perasaan hampa.
"Tidak merasa ayam panggang juga aku hari ini," desis sendirian.
Sebaik sahaja masuk ke kereta. Saya berfikir,"Kalau sudah tiada rezeki, di depan mata pun belum tentu dapat. Semuanya dengan keizinan Allah."
Saya juga tidak boleh menyalahkan jurujual berkenaan. Itu adalah hak mereka. Mungkin bajet mereka menjual 5-10 ekor sehari sahaja. Kebetulan pada hari ini permintaan berlebihan.
Bila saya fikir-fikirkan perkara ini. Ia ada hikmah tersendiri supaya saya berfikir dengan positif. Tidak perlu kecewa jika apa yang kita inginkan tidak kesampaian. Tidak kira perkara itu sebesar-besar projek mega atau sekecil telur ayam kampung sakali pun. Allah Maha Mengetahui dan ada perencanaan terbaik buat kita.
Akhir kalam, selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak. Pesanan saya, jangan kecewa jika satu hari nanti anda juga alami, "Minta maaf encik. Murtabak ini semua sudah ditempah. Kalau mahu, encik boleh tempah untuk esok pula."
Tersenyum sendirian.
Wallahualam.