kerana 7 keping roti canai

Posted: Sunday, August 1, 2010 by WZWY in Labels:
0

Selepas selesai mengisi petrol di Mobil TTDI Jaya, Shah Alam.

"Oh, elok juga kalau beli roti canai." Saya berfikir sendirian.

Kebetulan ada satu kedai berdekatan iaitu Restoran Ami Kafe.

"Saya belum pernah singgah di sini. Boleh cuba roti di sini pula," bisik saya sambil mencari ruang untuk memarkirkan kereta.

"Bagi saya teh o dan bungkus 7 keping roti kosong." Pelayan restoran menulis di atas kertas tempahan dan saya meneruskan pembacaan akhbar hari ini.

Selepas membaca di muka surat terakhir. Saya melihat jam dinding di restoran berkenaan sudah melepasi 15 minit. Roti canai belum lagi muncul. Saya terus menapak ke arah penabar roti canai dan bertanya," roti canai bungkus 7 keping sudah siap?" Pelayan restoran yang mengambil tempahan saya sekejap tadi memaklumkan sudah ada di kaunter.

Bila sampai di kaunter, saya dimaklumkan pula." Roti encik belum siap. Ini bungkusan roti 3 keping."

"Okey." Saya kembali semula ke meja dan mengambil peluang menyambung pembacaan novel Mencari Locus Standi yang tertangguh beberapa kali.

Sebaik sahaja jam menunjukkan pukul 11.05 dan menandakan setengah jam berlalu menantikan 7 keping roti canai.

Saya ke kaunter semula. "Maaf encik, roti sudah habis."

Hati mula rasa semacam saja. Perasaan tidak pasti hendak tunjukkan tanda protes, marah atau apa sahaja yang terlintas ketika itu.
 

Cuma di dalam hati dan fikiran saya."Inilah selalu terjadi di restoran Melayu." Maaf jika ia agak kasar. Tapi itulah beberapa kali pengalaman saya. Mungkin tidak bagi anda.

Saya terfikir lagi sekiranya restoran ini memperlakukan perkara yang sama terhadap seorang pelanggan sehari. Ini bermakna mereka bakal kehilangan pelanggan baharu sebanyak 30 orang sebulan. Mungkin telahan saya ini silap.

Sekali lagi saya menyarankan pemilik dan pekerja di restoran ini membeli dan membaca buku tulisan Saudara Zamri Mohamad iaitu Rahsia Bisnes Mamak. Sebagaimana dicadangkan kepada sebuah restoran di entri sebelum ini.Bukanlah memuja bisnes yang dijalankan di restoran mamak. Cuma peniaga kita perlu belajar dan mempraktikkan apa yang mereka lakukan untuk menarik pelanggan kembali semula beberapa kali ke restoran mereka.

Saya masih teringat satu kisah apabila saya menelefon  pemilik sebuah kedai menjual perkakasan dan peralatan komputer di Subang Perdana. Apabila saya mengadu tentang harga dikedainya lebih mahal dan mencecah RM5.00 berbanding kedai bersebelahannya. Padahal barang dan model yang sama.

"Kalau encik mahu tolong sesama Islam. Bantulah kami. Mereka dapat murah daripada pembekal." Luahan hati pemilik kedai berkenaan.

Saya turut bersimpati dan faham ramai peniaga bumiputra hadapi perkara tersebut. Cuma apabila saya mengadu perkara ini dengan seorang sahabat. Rupa-rupanya dia pun ada satu kes yang berlainan dan di kedai yang sama.

"Saya pernah kena sebelum ini. Pekerja mereka silap fotostat apa yang saya minta. Lepas itu, ketua mereka minta saya bayar juga kertas yang telah difotostatkan itu."

"Habis tu, awak bayar?"

"Saya malas nak bertekak. Jadi saya bayar sahajalah."

"Tapi itulah kali pertama dan terakhir saya ke sana."

Ini bermakna kedai tersebut telah kehilangan dua pelanggan mereka. Jika ia berterusan di samping saingan perniagaan yang semakin sengit, siapa yang rugi?

Di dalam hati saya selalu terdetik. Jikalau kedai-kedai bumiputra ini dapat menyediakan perkhidmatan kelas pertama dan harga yang kompetitif. Saya yakin, bangsa lain sukar 'cari makan' di kawasan majoritinya masyarakat bumiputra.

* Hanya sekadar luahan sebagai pengguna. Jika tidak menepati citarasa pembaca, saya mohon maaf.


0 Komentar: