Masuk Wad

Posted: Friday, August 13, 2010 by WZWY in Labels:
0

10 / 08 / 2010

"Anak encik kena masuk wad."

"Kenapa encik?"

"Bila sebut masuk wad, 'ayah' nampak lemah." Gurau seorang doktor bertugas di Unit Kecemasan PPUM.

Saya tersenyum kelat.

Malam ini adalah malam pertama di bulan Ramadhan. 

Pada petang itu juga dengan sehelai sepinggang Wan Muhammad Zikry dimasukkan ke Wad Pedriatik di Tingkat 9, Menara Utama, Pusat Perubatan Universiti Malaya. Ini merupakan kali ketiga Zikry dimasukkan ke wad sejak disahkan mengidap penyakit asma ketika berusia 3 tahun.

Saya masih ingat apabila kali terakhir tidur di wad di PPUM ini pada 20 hingga 22 Januari 2009. Suasana biasa di wad kanak-kanak. Tangisan, rengekan dan ketawa berselang seli. Saya cuma melihat ketabahan para ibu kebanyakkannya bersekang mata menjaga anak-anak terlantar di katil.

Adakah anak-anak ini sedar akan pengorbanan ibu dan ayah mereka nanti? 

Kali ini emosi saya agak terkawal kerana Zikry masih cergas walaupun pernafasannya ada sedikit masalah.

Jika diimbau kembali 7 tahun lalu, apabila  Wan Muhammad Al-Ghazali, anak ketiga dimasukkan ke ICU di Hospital Besar Kuala Terengganu kerana masalah paru-paru. Dan selang dua minggu selepas itu Al-Ghazali dan Zikry ditempatkan pula di tempatkan di wad sama di Hospital Besar Kota Bharu. Pada masa itu gerak hati seorang ibu cukup hebat. Isteri saya meminta agar Al-Ghazali dipindahkan ke Kota Bharu. Kami bawa keluar Al-Ghazali dengan risiko ditanggung sendiri. Bila sampai di kampung saya di Setiu. Anak kedua, Zikry pula kelihatan lemah dan pucat. Mungkin inilah petanda kenapa gerak hati isteri mahukan Al-Ghazali dipindahkan segera.

Pada masa itu musim tengkujuh di pantai timur. Usai solat Asar kami bergegas ke kampung isteri di Bachok. Kami singgah di sebuah klinik di Jerteh apabila melihat keadaan Zikry makin lemah. Walaupun diberikan beberapa kali 'ventolin', keadaan Zikry masih tidak berubah. Kami mula cemas. 

Hari makin gelap. Hujan masih belum reda.

Di dalam kepekatan malam, sekitar pukul 8.30 malam saya nekad meredah sebatang jalan di Kampung Lampu, Kuala Besut yang sudah dinaiki air bah. Matlamat saya satu, kami sampai ke destinasi dituju.

Pada malam itu sekitar pukul 10 malam kami tiba di kampung halaman isteri. Pada malam itu kami tidak dapat tidur lena. Keadaan Zikry cukup membimbangkan. Begitu juga dengan keadaan Al-Ghazali yang masih belum sihat sepenuhnya.

"Kita kena hantar mereka ke hospital awal pagi esok."

Isteri resah angguk setuju. Tiada pilihan.
Keesokkan hari, Zikry dan Al-Ghazali di tempatkan di wad berlainan pada masa sama. Kami terpaksa berpecah dua. Anak sulung dijaga oleh ibu mertua.

Kami minta jasa baik kakitangan hospital agar anak-anak di tempatkan wad yang sama. Ia memudahkan untuk kami menjaga mereka. Syukur, permintaan kami ditunaikan.

Seminggu di hospital. Kami bergilir-gilir menemani anak-anak di wad. Ibu mertua dan arwah bapa mertua juga datang bantu.

Di sinilah saya melihat kekuatan dan ketabahan seorang bergelar ibu.

Saya akur. Tidak sehebatnya.

Itulah pengorbanan yang akan dilakukan oleh mana-mana insan bergelar ayah atau ibu. Kerana anak, sanggup lakukan apa sahaja. 

Sanggup bersekang mata berhari-hari. Janji anak selamat dan diberi layanan kelas pertama.

Setiap apa berlaku adalah kehendak dan ketentuan Allah SWT. Kita perlu akur dan redha. Ada hikmah disebaliknya. Bukan disesali.

Seorang ahli hikmah, Ibn Ataillah Askandari pernah berkata, "Sesiapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hatinya."

Tegasnya, apa jua takdir Allah menimpa seseorang itu pasti bermaksud baik walaupun kelihatan pahit.

Saya sedar. Saya percaya, anda juga sedar.

Semua yang berlaku merupakan Qadha dan Qadar Allah SWT.

Kita hanya mampu berusaha sebaik mungkin.

Ketentuannya hanya milik kekal Allah SWT.

Allahu akbar!

Semoga kita semua dirahmati dan diredhai.

Bersyukur di atas limpahan rahmat-Mu.
Kerananya aku sedar....siapa aku.


Pada tarikh 12 / 08 / 2010 pukul 2.30 petang, saya dan Zikry meninggalkan perkarangan PPUM.

Syukur..Alhamdulillah.






0 Komentar: