Do You have a Facebook?

Posted: Saturday, October 8, 2011 by WZWY in Labels:
0

SEJAK PULANG DARI BERBENGKEL BERSAMA GALERI ILMU SDN BHD, jari jemari ini sungguh gatal untuk mengetuk papan kekunci. Semoga diberi ilham atau idea untuk terus berkarya. Berkongsi pengalaman dan cerita.

Apa yang ingin saya kongsikan pada entri kali ini ialah penggunaan FACEBOOK atau MUKA BUKU.

Saya di antara yang agak lewat mengenali apa itu Facebook. Dan rasanya tuan-tuan juga sudah maklum bahawa Facebook atau FB ini semakin popular dan kebanyakkannya ada memiliki akaun FB. Perdana Menteri Malaysia juga memiliki akaun FB untuk rakyat berkongsi cerita. Dan ramai lagi ahli politik, ahli akademik, ahli agama dan lain-lain lagi insan-insan hebat mempunyai akaun FB mereka.

Manafaatkanlah!

Saya menggunakan akaun FB  sebaik-baiknya seperti menyambung kembali silaturahim dengan rakan taulan lama dan baru. Masing-masing ada cerita tersendiri. Maklumat juga cepat untuk disampaikan. Begitu pantas sekali walaupun jarak beribu-ribu kilometer. Di samping itu apa yang menarik ialah kita dapat saling pesan memesan satu antara sama lain melalui status FB kita. Cukup hebat teknologi masa kini. Mungkin kita tidak pernah terfikir. Itulah kekuasaan Allah SWT yang memberi ilham.

Di antara perkara yang saya suka lakukan ialah menghubungi insan-insan hebat di luar sana. Bukan mudah untuk kita berhubung secara terus dengan orang-orang tertentu. Waktu harian yang cukup sibuk. Apatah lagi untuk memiliki nombor telefon mereka.
Ramai di kalangan penulis di luar sana yang saya sempat hubungi dan bertanyakan perkara-perkara yang menjadi kemusykilan. Selain itu minta pandangan atau pendapat mereka. Alhamdulillah, dapat respon yang baik. Dan saya belajar daripada situ juga. 

Mudah bukan?

Media promosi

Salah satu perkara menarik berkaitan FB ialah kita dapat mempromosikan apa jua barangan. Ia sudah diakui sebagai satu medium terbaik masa kini. Ramai di kalangan ahli perniagaan ONLINE atau OFFLINE yang menggunakan FB untuk memasarkan perniagaan mereka. Saya juga dapat mempromosikan hasil karya terbaru melalui status di FB. Ianya percuma. Cuma kita perlulah berpada-pada dan tidak menimbulkan sesuatu yang kurang senang rakan-rakan FB kita.

Membina Komuniti

Ia sesuatu yang mudah dilakukan. Wujudkan satu grup atau kumpulan yang sama aliran minat atau apa juga perkara. Contohnya grup penulis, mereka boleh berkomunikasi secara terus sesama mereka. Begitu juga grup sama jabatan atau pejabat. Masing-masing akan dapat maklumat dengan cepat dan tepat. Kebetulan saya dan pihak GISB sedang berusaha mahu wujudkan satu komuniti penulis dan bakal penulis menggunakan kemudahan FB.

Latih kemampuan menulis, mengeluarkan pendapat atau idea

Tanpa kita sedar, keaktifan kita menulis status di FB telah melatih kita untuk menjadi seorang penulis. Malah kita bertambah yakin dengan idea atau pendapat kita. Perkongsian idea dan maklumat ini sungguh membantu. Kalau tuan-tuan biasanya menjadi pemerhati, cubalah sekali luahkan pendapat sendiri. Lihat isu berkaitan dan luahkan berdasarkan kemampuan kita.

Peti Simpanan Foto

Kita juga dapat berkongsi pengalaman dan cerita melalui gambar atau foto yang dirakam. Dan ia menjadi suatu kenangan terindah kita. Cuma elakkan menaik turun gambar-gambar yang melanggar syariat Islam. Nanti satu dunia lihat dan kita pula dapat saham. Bukan untuk bermegah, tetapi ia memberi motivasi kepada diri sendiri. Contohnya, gambar semasa konvo atau sedang menerima anugerah atau hadiah.

Akhir kalam

Entri kali ini saya tidak akan menyentuh tentang keburukan penggunaan Facebook. Rasanya tuan-tuan sudah arif dan banyak maklumat yang mudah didapati di ruang maya ini. Jadi, kita sama-sama menjaga akhlak kita walaupun di ruang maya ini. Jangan salah gunakannya. Buatlah sesuatu yang memberi manafaat. Kita dianugerahkan akal dan ilmu. Pergunakanlah ia sebaik-baiknya. Wallahualam.

0 Komentar: