Bila Jauh Daripada Maha Pemberi

Posted: Saturday, October 22, 2011 by WZWY in Labels:
2

Lelaki ini bersendirian lagi di sini. Insafi segala dosa yang dilakukannya. Dan muhasabah diri. Ini yang lebih baik baginya. Renung kembali apa yang pernah dilakukannya. Namun saat dia sedar akan segala masalah menimpanya, Dirasakannya ia sudah terlambat. Kata orang, "bila nasi sudah menjadi bubur." Dia akui segala kesilapan silamnya.

"Mahu senang dan kaya."
"Huhhh...apa aku ada sekarang?"

"Semuanya palsu belaka. Yang ada hanya hutang berganda-ganda. Gaji bulanan pun tidak mampu tampung perbelanjaan keluarga dan diri sendiri."
"Entahlah, kenapa aku begitu bodoh dahulu. Cepat sangat buat keputusan. Hutang sana, hutang sini. Alih-alih aku merana sekarang. Terima gaji bagai bagai tiada erti lagi. Habis semua bayar bil, belanja dapur, bayar yuran dan akhir sekali nak makan pun tak lepas."

Lelaki ini terus mengomel sendirian.

"Apa lagi perlu aku lakukan sekarang?"

"Aku sudah hilang punca sekarang, Ya Allah! Aku sudah cuba sedaya upaya. Kerja sana kerja sini, kejar sana kejar sini, namun aku masih tidak berdaya."

"Adakah aku sendirian begini? Tapi aku yakin masih ramai sepertiku. Hutang tidak pernah habis. Gali lubang sini, tutup lubang sana."

$$$$$$

Itulah lumrah kehidupan. Masalah kewangan sering mencengkam sebahagian besar individu. Pada mulanya mahu hidup senang, tetapi tersalah jangkaan dan akhirnya menanggung hutang yang tiada penghujungnya. Bila terima slip gaji, potongan lebih banyak daripada gaji bersih. Alahai, sedih hati apabila menatap slip gaji sebegitu. Namun apakan daya, jika sudah tersilap langkah.

Firman Allah SWT dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud, "Aku mengangumi seorang mukmin. Bila beroleh nikmat, dia memuji Allah dan bersyukur. Bila diuji dengan kesusahan pun dia memuji Allah dan bersabar." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Jelas peringatan Allah SWT

Ayat di atas sudah terang lagi bersuluh bahawa hidup kita akan ada suka dan duka. Gembira dan sedih. Dan setiap daripada kita tidak dapat bersembunyi daripada menerima ujian dan dugaan Allah dalam pelbagai bentuk. Sama ada masalah kesihatan, masalah keluarga, masalah kewangan dan banyak lagi masalah berkaitan. Betulkan?

Orang mukmin sejati, apabila menerima kesusahan, dia akan merasakan bahawa Allah sedang mengujinya. Allah juga beri dia pahala kerana bersabar. Pahala sabar itu ialah 'bighairi hisab', tanpa dihitung-hitung. Kalau kebaikan biasa diberi ganjaran satu persepuluh atau paling-paling satu hingga tujuh ratus. Namun pahala sabar, Allah SWT mungkin balas dengan tujuh juta atau seisi langit dan bumi. Ia terserah kepada ketentuan Allah SWT.

Yang sudah biarkan berlalu

Kita lupakanlah apa yang sudah berlalu. Kita fokus ke depan. Apa yang perlu kita lakukan sekarang untuk atasi setiap permasalahan hidup kita. Rancang semula. Bincang semula dengan insan terdekat, isteri atau suami atau keluarga. Hutang tetap hutang, perlu dilunaskan pada setiap bulan. Banyak atau sikit, kita kena reda dengan perjanjian sebelumnya. Dan ingatlah bahawa setiap kejayaan akan datang adalah hasil daripada apa yang kita ciptakan sekarang. Maka janganlah berlengah.

"Ya Allah! Bukan mudah untuk atasi semua ini."

Memang begitu. Setiap masalah perlukan penyelesaian. Setiap masalah dengan dua keadaan iaitu persepsi kita terhadap masalah dan tindak balas kita hadapi masalah tersebut. Pertama sekali, jangan berkeluh kesah. Memikirkan kesilapan lampau. Dan ingat, jangan berputus asa. Putus asa ialah perasaan hilang harapan dan rasa buntu dalam menghadapi masalah. Kesannnya cukup buruk. Hindarilah ia sebaik-baiknya. Dan satu perkara lagi jangan lari daripada masalah. Ia tetap menjadi bayang-bayang hidup kita. Walau berjuta kilometer kita berlari, ia tetap menghampiri kita. Kita kena berdepan dan selesaikannya.

Harus bagaimana aku lakukan sekarang?

1) Kembali semula kepada Pemberi Rezeki

Kebanyakan manusia hari ini lupa bahawa setiap sen rezeki itu datang daripada Allah SWT. Mereka alpa dan kejar ke sana ke mari tanpa mempedulikan tanggungjawab kepada pemberi rezeki. Mereka ingat semua kekayaan atau hasil titik peluh itu adalah usahanya semata-mata. Apabila tiba ditimpa musibah, barulah dia teringat bahawa Allah SWT itu ada sebagai pemberi rezemki pada-Nya. Ketika itulah dia menadah tangan bermohon dilimpahi nikmat dan rezeki. Kita sama-sama muhasabah diri dan dekatkan diri pada-Nya. Berdoa dan bersujudlah pada-Nya. Paling afdhal ialah kita kuatkan semangat untuk berqiamullail. Solat malam adalah salah satu ibadah yang disukai dan digalakkan oleh Rasulullah SAW. Pada masa itu pintu gerbang doa terbuka luas. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengasihi hamba-hamba-Nya.

Ubahlah cara hidup sekarang jika ia berlawanan dengan perintah Allah SWT. Hindarilah diri daripada terjebak melakukan maksiat atau dosa pada-Nya. Ubah gaya percakapan dan tingkah laku kerana Allah SWT. Elakkan diri mendekati tempat-tempat maksiat. Lihatlah pada diri, adakah layak untuk berada di syurga Allah SWT?

2) Banyakkan MEMBERI.

"Ramai orang yang gagal dalam hidup kerana lebih pentingkan bagaimana untuk mendapatkan sesuatu, berbanding bagaimana untuk memberikan sesuatu. Sedangkan mengikut kajian, orang yang berjaya dlaam hidup ialah orang yang banyak memberi." Ini adalah petikan tulisan guru saya Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya Mukmin Profesional.

Jadi jelas kepada kita bahawa konsep memberi itu perlu difahami dengan sebaik-baiknya. Rasulullah SAW sendiri adalah orang yang paling banyak memberi. Walaupun baginda bukanlah tergolong daripada orang yang kaya raya sebagaimana sahabat-sahabat lain.

Jadi ubah semula apa yang gagal kita laksanakan dulu. Banyakkan bersedekah. Insya-Allah setiap sen yang kta hulurkan, akan diberi ganjaran berlipat ganda oleh Allah SWT.

Mungkin kita akan perolehi rezeki yang tak disangka-sangka daripada Allah. Siapa tahu?

3) Fokus PENYELESAIAN dan BUKAN PERMASALAHAN

Kita positifkan diri. Lihat segala permasalahan itu dengan sudut pandang yang positif. Ia semuanya adalah ujian Allah SWT. Ada sebab kenapa kita 'terpaksa' hadapi itu semua. Semuanya dalam perancangan Allah SWT.

Ia bukan mudah. Saya pun tahu perkara itu. Dan saya juga hadapi masalah sebagai mana orang lain juga. Contoh masalah kita berkaitan WANG. Tiada kesimbangan dua pintu, iaitu pintu pendapatan dan pintu perbelanjaan. Maka kita gunakan apa kekuatan atau kelebihan yang kita ada. Gunakan ia sebagai pintu jalan keluar permasalahan kita. Jika saya, selama ini tidak sedar apa yang ada dalam diri. Maka dengan izin Allah SWT berikan petunjuk disaat saya buntu. Dunia penulisan menjadi salah satu sumber rezeki selain tugas utama menyampaikan dakwah kepada khalayak pembaca.

Mungkin juga boleh ikuti nasihat seorang penulis motivasi terkenal iaitu Dr. Rusly Abdullah Ph.D. Beliau mengatakan bahawa setiap perniagaan yang mahu diceburi tanpa memikirkan sangat modal. Eh! betulkah. Ya, betul. Dia risau melihat ramai orang sibuk pasal modal. Padahal segala apa yang ada pada masa itu dijadikan modal. Ciontohnya, mahu berniaga goreng pisang. Gunakan kelengkapan sedia ada buat permulaannya. Ambil apa-apa perkakasan di dapur. Gunakan sebagai modal untuk menggoreng pisang. Itu contoh mudah diberikan oleh beliau.

Kata Chef Li, "Kenapa kita tidak kaya? Jawabnya kerana kita tidak memperkayakan diri kita sendiri. Setiap hari kita berusaha dan bekerja untuk memperkayakan orang lain."

Itu adalah pandangannya. Jika tuan-tuan rasakan ia benar dan mampu lakukan. Maka laksanakan sekarang. Terjunlah ke dunia perniagaan yang halal dan patuhi syariat Islam.

Paling penting kita fokuskan apa masalah dalam diri dan sekeliling kita. Kemudian kita duduk seketika. Berbincang jika perlu. Apa masalah dan cara penyelesaian terbaik yang wajar kita lakukan. Jika perlu kurangkan perbelanjaan, kita lakukan sekarang. Jika perlu kerja lebih masa, kita kerja lebih masa tetapi tidak abaikan ibadah pada-Nya serta kasih sayang dalam keluarga.

Allahu akbar! Banyak perkara yang mampu kita fikir dan usahakan. Saya juga sedang laksanakan apa yang perlu walaupun ada saatnya saya juga buntu. Kembali pada-Nya.Mohon pada-Nya. Dekatkan diri pada-Nya. Insya-Allah ada lorong-lorong rezeki untuk kita.

(bersambung)

2 Komentar:

  1. Anis says:

    Assalamualaik. saudara, izinkan saya mengambil artikel ini utk dikongsi dalam blog saya. terima kasih :)

  1. WZWY says:

    Silakan....saya sangat berbesar hati.