0
ALHAMDULILLAH SYUKUR KE HADARAT ILAHI yang terus memberikan kekuatan dan kenikmatan hidup sebagai hamba-Nya di alam fana ini.
Kali ini cuba menyentuh sedikit tentang dunia penulisan kreatif. Sekurang-kurangnya sebagai ingatan buat diri saya juga. Kali ini saya cuba berkongsi dengan sahabat-sahabat pembaca tentang penulisan bab awal sesebuah manuskrip.
Kenapa bab awal?
Berdasarkan pengalaman saya mengikuti kursus-kursus penulisan novel, penulisan bab awal cukup diambil berat kerana ia akan menentukan sama ada manuskrip atau proposal kita diterima atau sebaliknya.
Macam mana?
Bab awal ini iaitu bab 1, bab 2 dan bab 3 merupakan tiga bab yang sangat penting kerana sesetengah penerbit meminta tiga bab ini untuk melihat sejauhmanakah kekuatan hasil karya kita. Jika tiga bab awal ini lemah atau kabur, harapan manuskrip kita diterima sangat tipis. Dan itulah yang banyak berlaku kepada bakal-bakal novelis.
Berdasarkan catatan nota oleh sifu penulisan yang saya kagumi iaitu Puan Maria Kajiwa, ada beberapa perkara yang harus diambil berat untuk menulis bab awal ini.
1) Watak utama.
Dalam bahagian ini sepatutnya pembaca sudah dapat kenal pasti siapakah watak utama yang akan memainkan peranan besar dalam sesebuah novel. Jika penulis sendiri kabur, maka apatah lagi editor dan khalayak pembaca.
2) Matlamat dan motivasi watak utama.
Apabila watak utama sudah dikenal pasti. Persoalannya pula ialah apakah kehendak, matlamat dan motivasi watak utama pula. Ini kerana ia menjadi asas sesebuah cerita. Jika dalam novel terbaru saya iaitu Ops Conteng (Siri Adib dan Adibah Penyiasat Cilik), matlamat watak utama adalah untuk menangkap orang yang bertanggungjawab menconteng dinding sekolah mereka. Nampak agak 'simple' sahaja. Itu sahajakah? Ia, memang itu matlamat watak utama. Saya mengadunkan plot-plot sukar untuk watak utama mencapai matlamat tersebut. Itu yang menjadikan sesebuah cerita itu hidup dan terus dibaca. Masalah juga apabila kita menulis tetapi tidak tahu apa watak utama mahu. Saya suka belajar dengan menonton rancangan-rancangan televisyen seperti CSI:Miami dan lain-lain. Kita dapat lihat dengan jelas apakah matlamat utama mereka episod kali ini. Dan mereka hadapi pelbagai kesukaran. Itu yang seronok. Kata pakar penulisan, menang itu membosankan. Jadi jangan biarkan watak utama menang dengan mudah. Berikan dia cabaran.
3) Insiden Pencetus.
Apa itu insiden pencetus? Pada peringkat awal saya diperkenalkan dengan penulisan novel, saya juga keliru. Tetapi tanpa sedar memang kita sudah tahu apa itu insiden pencetus. Contohnya dalam novel kedua saya Ops Menjejak Pencuri ( Siri Adib dan Adibah Penyiasat Cilik), kejadian kecurian yang menjadi-jadi di Kampung Buloh membuatkan Adib dan Adibah bertekad untuk memastikan pencuri ditangkap. Apatah lagi seekor kambing kesayangan nenek mereka dicuri. Nampak macam biasa-biasa sahaja. Tetapi itulah yang kejadian yang meletakkan watak utama ke dalam konflik. Insiden itu mestilah kuat berdasarkan cerita masing-masing. Jika novel dewasa, ia perlukan insiden yang sesuai. Insiden ini hendaklah meletakkan watak utama dalam situasi konflik tanpa pilihan (crusible).
4) Konflik utama
Ia adalah rentetan daripada insiden pencetus yang kita ciptakan tadi. Pastikan ia jelas kepada para pembaca. Jika tidak, sesebuah cerita itu menjadi lemah dan manuskrip kita akan gagal menarik perhatian editor.
5) Watak lawan
Watak lawan cukup penting untuk memastikan cerita sesebuah novel ini menimbulkan konflik. Jika semua watak baik. Maka tiada cerita. Pembaca pun akan bosan. Cuba lihat dalam novel Hero, hasil karya sahabat di GISB iaitu saudara Hilal Asyraf. Watak utama ialah Hero dan watak-watak lawan pula ialah seperti Akuma dan Eljurano Demase. Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Hero untuk menghadapi mereka.
6) Pertaruhan
Pembaca perlu jelas apa pertaruhan yang terlibat dalam konflik tadi dan menyokong perjuangan watak utama. Perkara ini cukup penting untuk menghidupkan sesuatu cerita.
Jadi, pastikan semua perkara di atas adalah jelas. Kemudian barulah kita berkira-kira untuk meneruskan penulisan kita di bahagian seterusnya.
Wallahualam.