0
HIDUP SEBAGAI SUAMI ISTERI BUKAN SESUATU YANG BOLEH DIAMBIL MUDAH. Kelak akan menimbulkan pelbagai konflik atau permasalahan yang sukar untuk dirungkaikan. Setiap orang yang berkahwin pastikan mahukan kebahagiaan. Bukan seketika tetapi biarlah berpanjangan hingga akhir hayat. Begitulah impian setiap pasangan baru.
Masalah adalah teman hidup
Masih terngiang-ngiang di cuping telinga ini. Kata seorang penulis, "Apa pun masalahmu ia pasti akan berlalu." Ayat yang ringkas tetapi penuh makna. Bagaimana?
Pastinya kita telah, sedang dan akan berdepan masalah. Apatah lagi hidup di alam rumahtangga. Saya dan juga tuan-tuan yang dihormati juga pasti mengimbau semula kenangan lama. Atau pun kini tuan-tuan sedang hadapi dilema tersendiri. Hanya Allah yang tahu. Apa perasaan kita tika ini. Masalah janganlah diselesaikan dengan suatu masalah lagi. Kenapa begitu?
Iya, setiap masalah yang dihadapi perlukan tindak balas. Persoalannya ialah bagaimanakah tindakbalas kita? Ada kalanya masalah kecil, tetapi tindak balas keterlaluan yang menimbulkan suatu masalah baru yang lebih berat. Contohnya, seorang suami marahkan isteri yang lupa gosokkan baju. Pagi ini mahu keluar cepat kerana hadiri mesyuarat. Kerana terpedaya bujukan syaitan, si suami terlepas cakap, "Aku ceraikan kamu sekarang."
Allahu akbar. Nauzubillah. Selepas itu si suami diam membisu. Isteri pula tangisi nasib diri. Adakah begitu kita mahu? Menggeleng.
Jejaki sikap Rasulullah SAW
Apabila suami menghadapi apa jua masalah peribadi, hendaklah bersabar, memaafkan dan menahan diri. Asiyah pernah menerangkan bahawa :
"Rasulullah apabila dihadapkan pada dua pilihan, pasti memilih yang paling mudah, selagi tidak mengundang dosa. Bila mengundang dosa, maka baginda akan menjauhinya. Rasulullah sama sekali tidak pernah membalas keburukan orang lain kerana masalah peribadi. Bila telah menyinggung kehormatan Allah, maka baginda akan membalasnya, yang balasan itu ialah mencari reda Allah." ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Aisyah)
Dalam satu riwayat menyebut bahawa, pada suatu ketika berlaku perselisihan faham antara Rasulullah dan Aisyah. Mereka pergi kepada Saidina Abu Bakar untuk menjadi orang tengah. Rasulullah bersabda kepada Aisyah, "Ya Aisyah, kamu yang berkata dahulu, atau aku dahulu mengatakan masalah kita?" Aisyah menjawab, "Katakanlah terlebih dahulu, asalkan yang benar!" Lantas Saidina Abu Bakar memukul mulut Aisyah hingga berdarah. Dia berkata, "Aisyah, adakah Rasulullah pernah berkata tidak benar?" Lalu Aisyah berlindung di belakang Rasulullah. Kemudian Rasulullah bersabda, "Ya Abu Bakar, aku tidak mendatangimu untuk melakukan hal seperti itu, dan aku tidak akan membalas hal yang demikian."
Lihatlah, saksikanlah dan renungilah sikap keagungan Rasulullah SAW. Begitulah baginda setiap kali hadapi masalah.
Dengan mencerminkan keperibadian Rasulullah, kita sebagai suami tidak wajar atau selayaknya bersikap marah-marah apatah lagi ia yang keterlaluan. Contohnya bila isteri lambat buka pintu, isteri lambat siapkan makan malam, isteri lambat siapkan teh dan sebagainya. Kenapa perlu begitu?
Masalah agama
Lainlah kalau melibatkan soal agama. Ia satu perintah Allah SWT. Maka wajib ke atas suami bertegas dan tidak boleh bertolak ansur.Contohnya dalam soal ibadah, menutup aurat dan seumpamanya.
Jika dibiarkan berterusan, ia mungkin menjurus kepada kecelakaan dalam sesebuah rumahtangga tersebut. Maka mahu atau tidak, suami perlu mendahulukan perintah Allah berbanding rasa cinta atau rasa kasih pada seorang isteri.
Tugas suami mendidik keluarga mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia menjadi satu dosa jika suami membiarkan isteri dan anak-anak terumbang ambing bergelumang dosa. Nauzubillah.
Cukup sekadar peringatan buat diri saya yang sering alpa ini, dan tuan-tuan yang dirahmati Allah SWT. Hidup ini perlu ada pesan memesan sesama sendiri. Barulah kita terjaga walau seketika.Sabar dalam bersabar. Itu pesan guru setiap kali mengadu. Sememangnya ubat paling mujarab menghadapi apa-apa masalah atau musibah ialah bersabar.
Sekian, terima kasih.