0
Ketika di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan sekarang yang sedang berlangsung iaitu Pesta Buku Selangor, saya lebih suka berada di booth Galeri Ilmu sebagai pemerhati dan pembantu. Sekali sekala saya akan bantu staf GISB.
Saya suka melihat gelagat para pembeli dari pelbagai peringkat umur ketika membelek buku-buku yang disusun rapi di atas meja dan rak. Dan daripada situ juga saya dapat mengetahui apa tabiat pembeli buku. Bukan sahaja mereka, malah ramai akan lakukan perkara sama.
Pertama, lihat siapa penulisnya.
Kedua, lihat pula muka depan buku (jika penulis yang tidak dikenali).
Ketiga, lihat pula kulit belakang.
Keempat, belek sikit dan lihat isi kandungan.
Kelima, lihat secara pantas kandungan buku.
Keenam, tengok harga buku dan kira harga selepas diskaun.
Ketujuh, pegang dulu buku jika berminat.
Kelapan, lihat pula buku-buku lain.
Kesembilan, kalau ada buku lain lebih sesuai, buku pertama tadi diletakkan semula. (lihat bajet).
Kesepuluh, bayar di kaunter.
Sepuluh langkah tadi tidak akan berlaku kepada para penulis tersohor seperti Ustaz Pahrol, Ustaz Hasrizal, Hilal Asyraf,Prof. Muhamad Kamil, Puan Roza, Puan Fatimah Syarha, dan ramai lagi yang telah hasilkan karya masing-masing di GISB.
Sepuluh langkah tadi berlaku kepada buku saya, SUAMI YANG TERUJI. Itulah hakikatnya dan saya akui kerana masih hijau lagi dalam dunia penulisan ini. Masing-masing mengerut dahi apabila membaca nama WAN ZAYUHISHAM WAN YUSOFF.
"Saya ingatkan buku baharu Ustaz Pahrol." Kemudian kakak itu letakkan semula buku SUAMI YANG TERUJI. Nasiblah ada nama sifu Ustaz Pahrol di muka depan. Sekurang-kurangnya ia mahu ditatapi oleh para pengunjung.
Satu lagi peristiwa yang saya saksikan petang semalam ( 1 Julai 2012 ). Sepasang suami isteri singgah ke gerai GISB dan mengambil beberapa buah buku termasuk buku SUAMI YANG TERUJI. Saya hanya lihat sahaja tanpa perkenalkan diri itu buku tulisan saya. Jika sahabat saya iaitu Tuan Fathuri ada di sebelah, pasti dia minta saya terus ke pasangan tersebut. Tapi, apa yang saya mahu ialah memerhati gelagat pengunjung pada hari ini. Suami yang memilih buku SUAMI YANG TERUJI terus berikan pada isterinya. Mereka membelek-belek beberapa buah buku lain lagi. Kemudian apabila hampir dengan kaunter, si isteri terlihat buku Transformasi Ramadhan, hasil tulisan Ustaz Hasrizal. Lantas isteri mengambil buku tersebut dan berbicara dengan si suami. Si suami hanya angguk dan letakkan semula buku SUAMI YANG TERUJI dan menukarkan dengan buku TRANSFORMASI RAMADAN. Mungkin juga 'mood' Ramadan semakin dekat, maka buku itu lebih menjadi pilihan. Penulisnya pula seorang yang dikenali ramai. Maka sekali lagi, SUAMI YANG TERUJI terus berada di meja gerai GISB.
Ini tidak bermakna tiada yang membeli buku SUAMI YANG TERUJI. Masih ada yang tanpa banyak bicara terus ambil dan bayar di kaunter. Kemudian saya akan tanda tangan autograf. Ini merupakan satu cabaran buat saya untuk menghasilkan sesebuah buku yang lebih baik daripada apa yang dihasilkan sebelumnya.
Masing-masing ada kekuatan tersendiri. Jika di GISB, buku-buku tulisan Ustaz Hasrizal, Hilal Asyraf, Prof. Muhamad Kamil dan Syed Alwi sentiasa menjadi pilihan pembaca. Mereka menjadi sebahagian penulis yang saya kagumi dan cuba untuk menulis sebaik mereka.
Namun begitu, saya memang akui bahawa masih banyak ilmu yang harus saya kutip di sepanjang tiga tahun penglibatan saya dalam dunia penulisan novel dan buku tarbiah. Saya bersyukur ke hadarat Ilahi kerana memberikan saya ilham dan kekuatan untuk menulis. Proses penulisan sesebuah buku bukanlah mudah. Saya perlukan masa yang cukup dan keadaan diri saya yang bersedia untuk menulis.
Hari ini tidak sempat ke Pesta Buku Selangor. Insya-Allah, esok saya ke sana sekejap dan bawa sesuatu ke sana sebagai salah satu usaha promosi. Sebagai penulis baharu dan tidak dikenali, kena kerja kuat. :)
Wallahualam.