0
Walaupun bukan memaksa tetapi saya masih YAKIN bahawa ada seseorang atau beberapa orang yang mahu membantu atau dengan kata lain diberi ruang lapang oleh Allah SWT untuk membantu setiap kebaikan yang kita lakukan.
Program Bengkel Keluarga Saa'dah
Program Bengkel Keluarga Saa'dah
Di atas keyakinan itu semasa Taklimat Program Bengkel Keluarga Saa'dah untuk anak-anak asnaf yang bakal dilaksanakan pada 1 Julai 2012 semalam ( 28 Jun 2012 ), saya memberi peluang kepada guru-guru untuk menerima atau menolak tugasan yang diamanahkan kepada mereka. Mungkin sesetengah individu merasakan kaedah 'beri ruang dan peluang' ini akan memungkinkan acara yang bakal diadakan itu terencat atau gagal dilaksanakan. Saya terima pandangan demikian. Ada benarnya.
Kebetulan program ini pihak sekolah sudah amanahkan kepada sebuah konsultan, maka keringat guru yang diperlukan adalah minima. Apa yang saya mahu ialah berkongsi ILMU dengan para guru berkaitan program berkenaan. Di antara slot menarik ialah IBU BAPA SUPER, sebagaimana modul yang dibekalkan oleh penaja program ini iaitu Lembaga Zakat Selangor. Para guru yang hadir dapat sama-sama mengikuti modul berkenaan dan dijadikan panduan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian sebagai ibu bapa dan pendidik.
Mendoakan Orang Lain
Mendoakan Orang Lain
Nasihat sahabat saya, "Mendoakan orang lain juga merupakan satu kaedah menjemput rezeki dan memberikan kebaikan yang tidak dijangka oleh kita." Sebagai pentadbir di sekolah, nasihat untuk diri saya dan juga rakan-rakan pentadbir agar sentiasa mendoakan kesihatan, kesejahteraan, keselamatan dan kemudahan untuk semua guru dan kakitangan sokongan. Secara tidak langsung, Insya-Allah doa kita dapat mewujudkan satu hubungan erat dengan mereka. Dan selain itu, setiap perkara yang kita laksanakan itu sentiasa dipermudahkan oleh-Nya. Secara mudahnya, apabila guru-guru dan kakitangan hidup dengan sejahtera, segala aktiviti dan tugasan rasmi mereka dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Insya-Allah.
Lihat Dengan Kaca Mata Positif
Lihat Dengan Kaca Mata Positif
Namun begitu, saya tidak boleh memandang negatif kepada guru-guru yang tidak dapat membantu menjayakan setiap program di hujung minggu ini. Masing-masing sudah mempunyai jadual dan urusan yang harus dilunaskan. Mereka juga mahu membantu tetapi kebetulan ada urusan keluarga yang perlu diuruskan juga. Walaupun begitu, jika tugasan itu dikategorikan WAJIB hadir dan arahan dari pihak kementerian pelajaran, maka pihak pentadbir juga harus bertegas kerana ia melibatkan tugas rasmi.
Berkat Dan Pahala
Berkat Dan Pahala
Bila kita menyentuh soal KEBERKATAN dan PAHALA, ia bukan sesuatu yang mudah. Kebetulan malam semalam saya mengikuti kuliah tafsir yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Lutfi di Surau Alam Suria, Seksyen U10. Beliau memberitahu bukan mudah untuk meyakinkan orang tentang balasan akhirat kerana ia sesuatu yang ghaib dan belum berlaku lagi. Sebagai contoh tentang kepentingan solat berjemaah di masjid. Walaupun masing-masing sudah membaca hadis sahih berkaitan gandaan pahala dan digambarkan bahawa manusia sanggup merangkak ke masjid untuk tunaikan solat berjemaah, tetapi masih ramai yang mengabaikannya. Ini soal iman dan keyakinan. Jika seseorang itu yakin bahawa sedekah, amal jariah, ikhlas dan sebagainya itu bakal menerima imbuhan besar daripada Allah SWT, maka masing-masing berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.
Komitmen Yang Jitu
Komitmen Yang Jitu
Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kerana usaha pihak pengurusan Hal Ehwal Murid kali ini masih mendapat sokongan dan bantuan guru-guru yang sanggup menerima amanah pada hari tersebut. Kalau dikira hukum matematik, jika seorang berikan jawapan "TIDAK", maka pasti yang lain akan berikan jawapan yang sama. Bagi saya, ia kiraan yang "SALAH" kerana kita masih ada ALLAH. Dia akan membantu setiap usaha baik yang kita kerjakan. Berdoa pada-Nya. Dan hasilnya masih ramai guru-guru yang mahu beri komitmen apabila diperlukan. Jazakallahu khair.
Semoga Program Bengkel Keluarga Saa'dah berjalan dengan baik dengan izin-Nya.