SALAM RAMADAN

Posted: Monday, July 23, 2012 by WZWY in Labels:
0

KESIBUKAN SEMASA MEMBUATKAN blog ini tidak 'terusik'. Walaupun begitu, dalam suasana kita menyambut bulan Ramadan penuh berkat ini, saya mengucapkan SALAM RAMADAN buat semua teman-teman pengunjung blog ini.

Didoakan teman-teman pengunjung sentiasa sihat dan sabar mengharungi cabaran di bulan Ramadan ini. Nampaknya ruang solat di kebanyakan masjid dan surau penuh. Alhamdulillah. Kita tidak perlulah melihat rekod-rekod terdahulu.

"Ini seminggu awal sahaja. Lepas ni kosonglah surau ni."

Saya berpendapat, pandangan itu tidaklah perlu disuarakan. Lebih baik kita sama-sama berdoa agar ahli kariah kita terus subur rasa iman dan takwa, lantas mereka kekal berada dalam saf untuk sama-sama solat Isyak, solat sunat Terawih dan solat sunat Witir. Tidak kiralah solat sunat Terawih 8 rakaat atau 20 rakaat. Janji, kita konsisten dalam ibadah solat berjemaah ini.

Kuliah Subuh Ramadan

Ketika saya mengikuti satu kuliah Subuh pagi tadi ( 23 Julai 2012 ) di Surau Al-Ikhwan, penceramah menyebut tentang ibadah solat kita secara berjemaah ini bukan ADAT tetapi SYARIAT. Maksudnya, kita tetap konsisten untuk terus solat berjemaah di surau atau masjid apabila selesai menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Jangan hanya hadir ke surau pada bulan Ramadan sahaja. Selepas itu hilang entah ke mana. Sememangnya penceramah itu benar apabila menyentuh soal kehadiran ahli kariah pada waktu solat Subuh di surau pada sebelumnya agak berkurangan, walhal kuliah Subuh diadakan pada hari Sabtu. Ini adalah fenomena yang dianggap biasa di kebanyakan tempat. Namun begitu, sekali lagi saya katakan, ia perlu diperbetulkan semula. Tugas jawatankuasa masjid atau surau mengajak penduduk setempat mengimarahkan rumah Allah itu. Selebihnya terserahlah kepada Allah SWT, sama ada usaha-usaha yang dilaksanakan itu berhasil atau sebaliknya.

Akhir kata, kita sama-sama berjimat cermat semasa berbelanja di bulan mulia ini. Kawal nafsu agar tidak terpesona dengan pelbagai makanan yang dijual di bazar Ramadan. Paling penting biarlah ibadah puasa kali lebih tinggi darjatnya berbanding tahun-tahun sudah.

Wallahualam.

0 Komentar: