bermula dari sebuah imaginasi...
Posted: Saturday, May 11, 2013 by WZWY in Labels: Kisah Saya, Motivasi Diri, Penulisan
0
" Apa yang kini sudah nyata dahulunya sekadar imaginasi." - William Blake.
SATU perkara yang biasa ditanya ialah bagaimana mahu menulis sebuah cerita atau sebuah novel?
Apa yang saya belajar dan tahu ialah sebuah cerita itu bermula daripada sebuah imaginasi. Semakin banyak kita berimaginasi, semakin berkembanglah imaginasi kita. Dan seterusnya, kita mempunyai banyak pilihan idea untuk kita menulis.
Jangan risau...dalam penulisan kreatif ini, kita bebas untuk mengembangkan daya imaginasi kita. Tulislah apa sahaja perkara yang terlintas di fikiran. namun begitu, sebagai orang Islam kita mesti bertanggungjawab di atas setiap patah perkataan yang kita tulis. Elakkan menulis perkara-perkara yang berlawanan dengan syariat atau apa sahaja perkara yang menyentuh sensitiviti orang lain.
Pada peringkat awal pengembangan imaginasi, kita tulis apa sahaja terlintas di atas kertas kosong atau buku nota. Saya telah membiasakan diri bergerak ke mana-mana dengan diselit sebuah buku nota kecil di dalam poket. Apa sahaja ilham yang diberikan oleh Allah SWT, saya akan cepat-cepat tulis.
Jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan di peringkat awal atau ketika menulis draf awal. Jangan fikirkan lagi tentang tatabahasa, gaya bahasa dan seumpamanya. Kita tulis sahaja atau dengan erti kata lain kita conteng apa sahaja idea yang datang.
Kata seorang penulis barat yang tersohor, Gene Fowler mengatakan "Menulis itu mudah; Apa yang perlu anda buat hanyalah duduk dan renungkan sekeping kertas kosong sehingga titisan darah terbentuk di dahi anda."
Novel-novel dan buku-buku saya juga bermula dari sebuah imaginasi yang kemudiannya digarap menjadi sebuah 'proposal' dan akhirnya disiapkan sebuah manuskrip yang diterima oleh syarikat penerbitan. Dan saya yakin tuan-tuan yang berminat menjadi seorang penulis, tentunya sudah sarat dengan pelbagai idea dan imaginasi. Doa saya agar tuan sukses dan seterusnya manuskrip tuan diterima oleh syarikat penerbit. Insya-Allah.
Jadi, bebaskan imaginasi kita.
Kongsilah pengalaman hidup atau yang dekat dengan kita sebagai modal awal manuskrip pertama kita.
Yang Faqir,
Wan Zayuhisham Wan Yusoff
Shah Alam.