0
KALAU MAHU KIRA tugasan demi tugasan yang dilakukan, memang boleh tahan dan banyak yang perlu disiapkan. Semuanya bergantung bagaimana kita menguruskan setiap tugasan yang diamanahkan.
TUGASAN OUM
Sedar tidak sedar minggu ini adalah minggu terakhir tugasan perlu disiapkan dan dihantar. Ingat 10 Julai lambat lagi. Rupa-rupanya saya ada tempoh masa tidak lebih DUA hari untuk siapkan DUA tugasan. Satu tugasan perlu dihantar secara ONLINE dan satu lagi dihantar kepada tutor pada kelas tutorial keempat pada 10 Julai nanti. Dan Alhamdulillah, petang tadi bergegas ke Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya mencari buku-buku berkaitan. Lebih kurang satu jam di sana, saya bawa balik EMPAT buah buku yang boleh tahan tebalnya. Cuma yang tidak seronok apabila kena bayar denda lewat hantar buku pinjaman terdahulu sebanyak RM15.00. Kira-kira harga sebuah buku. Dan sehingga waktu ini, satu tugasan sudah berjaya disiapkan. Tinggal satu lagi untuk disiapkan pada esok hari pula. Itu belum dikira satu tugasan kajian lagi yang perlu dihantar pada 17 Julai nanti. Esok pula (10 Julai ) ada tugasan di sekolah. Program Tamrin Motivasi Solat Anak-Anak Asnaf yang dijadualkan berlangsung selama dua hari.
PROJEK NOVELET
Projek ini sudah beberapa minggu tergendala. Draf cerita sudah ada, cuma penulisan manuksrip perlu ditunda lagi kerana menyiapkan tugasan OUM dan beberapa tugasan rasmi. Maklumlah pada 13 Julai nanti, pihak PPD Petaling Utama akan datang memantau Unit Hal Ehwal Murid.
Jika dilihat kepada perancangan penulisan, saya perlu menyiapkan projek novelet ini pada bulan Julai ini. Insya-Allah. Cuma mungkin ia agak terjejas sedikit apabila Tuan Haji Zakaria meminta saya memikirkan satu projek baru dengan majalah ASUH. Ini pun satu cabaran baru buat saya. Saya sahut cabaran itu untuk mempertingkatkan lagi tahap penulisan saya. Semoga ianya diberkati dan dipermudahkan oleh-Nya.
HATI PERLU TENANG
Dalam apa jua ujian yang dihadapi HATI perlu TENANG. Saya selalu dinasihatkan oleh guru bahawa orang lain lebih hebat lagi cabaran yang dihadapi. Maka bersyukurlah dengan apa yang dihadapi kini. Bukan semua perkara menyenangkan hati atau membuatkan kita senyum sepanjang masa. Ada ketika Allah s.w.t memberikan satu atau dua atau lebih UJIAN HIDUP. Lihat sama ada kita mampu atau bagaimana mahu diselesaikan. Tidak ada lain cara selain terus mendekati-Nya. Jangan jauhi-Nya. Apatah lagi melakukan perkara-perkara berlawanan dengan syariat Islam. Nauzubillah. Tapi percayalah setiap ujian itu dapat kita tangani kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Pinta pada-Nya.
Banyak perkara akan terjejas bila HATI tidak TENANG. Semua perkara sukar dilakukan. Mahu buat itu tidak kena, buat ini pun rasa kurang selesa. Jadi, apa perlu kita buat?
Istighfar, Zikir dan kembali fokuskan fikiran dan hati kita pada-Nya. Perbanyakan amalan sunat dan membaca Al-Quran. Insya-Allah ketenangan akan menjelma jua dalam hati kita. Sesukar mana yang kita hadapi, ada lagi yang lebih sukar kehidupan mereka. Percayalah. Itulah yang sentiasa menjadi TONIK untuk kekuatan diri sendiri.
Salah satu faktor yang perlu saya lakukan ialah menjaga hubungan dengan Pencipta. Ini bagi memberikan semangat dan kekuatan dalaman. Permulaan agama ialah mengenal Allah. Semua orang tahu.Persoalannya bagaimana kita menjaga hubungan dengan Allah?
Sudah pasti menjaga hubungan ini kita perlu beriman kepada keesaan dan kekuasaan Allah. Pada masa sama kita perlu mengabdikan diri kepada Allah dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangan yang ditetapkan oleh Allah. Selain itu kita sebagai hamba perlu menanam dan menyuburkan sifat takwa di dalam diri dan sentiasa tabah, sabar dengan segala cubaan dan ujian ke atas diri kita. Dalam masa yang sama apabila kita mengalami dugaan, hanya Allah sebaik-baik tempat berlindung, berserah diri serta bertawakal.
Ini selari dengan kata-kata Allah dalam surah al-Qasas ayat 38 bermaksud, "Aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang Tuhan yang lain daripada-Ku."
Wallahualam. Bersua lagi nanti. Insya-Allah.