0
SUDAH MENJADI LUMRAH sifat manusia. Maksudnya saya, tuan-tuan dan orang lain lagi mungkin ada sifat salahkan orang lain dalam pelbagai hal. Mungkin bukanlah selalu, tetapi sesetengah situasi atau keadaan. Bila gagal sesuatu perkara kita salahkan si anu, kita salahkan masa, salahkan keadaan dan sebagainya. Pernahkah begitu?
Itulah helah bela diri. Tidak akui kelemahan diri, lantas menyalahkan orang atau perkara lain pula.
Perlukah kita yang katakan diri beriman dengan Allah SWT dan menyayangi Rasulullah SAW, tetapi masih ada walau sekelumit sifat salahkan orang lain atau mencari kesalahan orang lain semata-mata. Tidak bolehkah kita melihat dengan sudut pandangan positif pula. Kita perlu sedar, orang lain juga melihat diri kita. Kita pula tidak tahu apa pandangan mereka pada kita. Kita rasa diri kita semuanya betul dan hebat. Adakah begitu caranya?
Kisah Nabi Isa a.s
Satu kisah menarik yang boleh saya kongsikan apabila Nabi Isa a.s dan para pembantunya berjalan di sebuah padang pasir. Mereka terjumpa bangkai seekor anjing.
Salah seorang pembantu berkata, " Alangkah busuknya bangkai ini.."
"Lihatlah dagingnya yang reput dan berlendir," kata salah seorang pembantu Nabi Isa a.s.
Setiap orang melihat bangkai anjing itu dengan rasa jijik dan kotor. Nabi Isa a.s mendiamkan diri sahaja. Kemudian baginda berkata, " Alangkah putihnya gigi bangkai anjing ini.."
Semua pembantunya tersentak.
"Aku didik diriku untuk melihat kepada sesuatu yang baik walaupun pada bangkai seekor anjing. Apatah lagi pada benda-benda yang lain, pasti mudah bagiku melihat kebaikan daripadanya."
Kata-kata Nabi Isa a.s itu bagaikan mutiara berguguran dan memberikan petunjuk kepada para pembantunya dan diri kita sendiri tentunya.
Adakah kita melihat sedemikian?
Apa yang boleh kita belajar ialah Yang Pertama ialah OBJEK dan Yang Kedua pula ialah SUDUT PANDANGAN.
Maknanya bukan semua benda yang dilihat memberikan pandangan yang sama. Setiap orang punyai pandangan masing-masing. Daripada pandangan itulah lahir tanggapan, daripada tanggapan lahirnya pemikiran dan daripada pemikiran menjurus kepada tindakan. Justeru itu, untuk melahirkan tindakan yang baik, kita perlu bermula dengan pandangan yang positif.
Bila kita melihat seseorang itu dengan pandangan NEGATIF, maka sudah tentu apa yang dilakukan oleh orang itu akan dilihat yang BURUK sahaja. Nauzubillah!
Walaupun pada kesalahan kecil sekali pun, bagi kita ia sudah cukup besar dan tidak boleh dimaafkan. Dan paling menyedihkan ialah segala kebaikan yang telah atau sedang dilakukan orang tersebut langsung tidak dipandang walau sebelah mata.
Siapakah kita?
Dan terfikirkah kita, adakah diri kita ini begitu sempurna dan hebat? Patutnya kita juga muhasabah diri. Lihat apa yang mampu kita lakukan. Lihat apa pula kelemahan diri. Lihat juga siapa diri kita sebenarnya. Cermin diri kita pula, apakah yang aku lakukan selama ini disukai oleh orang lain?
Mohon maaf?
Bila kita melihat seseorang dengan sudut pandang negatif, maka untuk minta maaf daripadanya jauh sekali. Kenapa aku perlu minta maaf daripadanya? Siapa dia? Siapa aku untuk mengadap dirinya? Patutnya dia datang kepada aku. Maka syaitan akan bertepuk tangan amai-amai kupu-kupu. Kita sudah berjaya! Kita sudah berjaya!
Kita melihat seseorang itu pendosa. Maka kita juga pandang jijik padanya. Maka kita jauh sekali untuk melihat sesuatu yang positif pada diri orang sedemikian. Maka jauh sekali untuk hulurkan tangan persahabatan atau mohon maaf daripadanya. Perlukah begitu? Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Itulah yang berlaku pada hari ini. Tidak kira ia hanya di antara rakan sekerja, sahabat handai, rakan sekampung, jiran tetangga, rakan laman sosial, adik beradik, sanak saudara dan suami isteri. Masing-masing ego dan berdabik dada. Akhirnya yang ketawa riang ialah para syaitan dan iblis yang menjadi duri dalm daging di sebalik perpecahan atau perceraian dalam sesebuah rumah tangga. Nauzubillah!
"Ya Allah! Sesungguhnya dalam hatiku ini dipenuhi sifat-sifat mazmumah. Lupa dan lalai dengan perintah-Mu. Ampunilah aku Ya Allah! Berikan aku kekuatan untuk hadapi segala ujian dan dugaan-Mu Ya Allah! Berikanlah aku waktu untuk terus memohon keampunan dan mendekatkan diri dengan-Mu Ya Allah! Berikanlah kebaikan dan kebahagiaan dalam diri buat insan-insan yang hampir denganku Ya Allah! Kau berikanlah mereka kelapangan hati dan petunjuk-Mu Ya Allah! Sesungguhnya aku tidak pasti selama mana keizinan-Mu untuk aku terus bertahan. Mohon di penghujung lorong kehidupan ini kebahagiaan. Rezeki yang melimpah. Ketenangan diri.Dan diakhirat nanti dikurniakan keampunan-Mu dan berada dalam syurga abadi-Mu."