0
SEGALANYA MILIK ALLAH. SEGALANYA KETENTUAN-NYA. SEGALANYA KEKUASAAN-NYA.
Kita tidak dapat nafikan semua perkara yang berlaku adalah di bawah kekuasaan Allah. Suka atau sebaliknya, ia ada hikmah di sebaliknya.
Oleh sebab itu, di dalam diri kita perlu ada RASA KEHAMBAAN kepada-Nya.
Rasa Kehambaan ini ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seseorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Inilah sebenarnya kekurangan kita. Atau sebenarnya kita tidak ambil tahu apakah yang perlu kita rasa di atas setiap berlaku. Apabila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seseorang yang memiliki rasa kehambaan akan nampak segala-galanya itu datang dari Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Katakanlah : Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan ( dengan kepercayaan itu ) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal."
( Surah al-Taubah 9:51 )
CINTA TIDAK KESAMPAIAN
Memang ia sesuatu yang sukar apabila insan yang dicintai tidak dapat dimiliki. Walaupun semua orang tahu bahawa pemilik sebenar cinta ialah Allah SWT. Hakikat ini sukar untuk diterima apabila apa yang dihajati tidak kesampaian. Berapa ramai remaja yang bercinta 'bagai nak rak', tetapi akhirnya cinta mereka berkubur di pertengahan jalan. Paling menyedihkan selepas mereka bergaul melebihi batas-batas syariat yang dibenarkan.
Kadang kala ujian rasa cinta itu hadir selepas bertahun-tahun kemudiannya. Dikala masing-masing sudah terikat dengan tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Di zaman era teknologi dunia global masa kini. Laman-laman sosial menjadikan perhubungan di antara sesama manusia tiada batasan lagi. Tidak terikat sebagaimana menggunakan kecanggihan telefon atau telefon mudah alih. Dalam sekelip mata kita dapat melihat seseorang yang lama tidak berhubung itu di depan mata.
Memang pahit apabila gagal untuk pertama kali. Dan ia bertambah derita apabila pertemuan kedua diakhiri dengan perpisahan juga. Begitu tidak adilkah perkara ini berlaku kepada kita? Itulah yang dikatakan oleh Imam Al-Ghazali bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah memberontak kepada Tuhan-Nya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya.
Jika tiada rasa kehambaan ini, kita boleh lupa siapa sebenarnya mengatur setiap langkah kehidupan kita. Biarkan cinta itu pergi dikala kita sudah ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Ia memang sukar diterima tetapi harus dihadapi oleh seseorang yang menjalinkan semula cinta lama.
"Cintailah apa yang ada, jangan cintai apa yang tiada. Keluar daripada kenangan lampau. Hadapi kenyataan hari ini."
"Memang sukar melupakannya."
"Mana sukar melepaskan yang sekarang daripada melepaskan cinta lama?"
"Kedua-duanya sukar."
"Hadapilah sesuatu dengan ketenangan. Fikirkan buruk baik di atas segala dilakukan."
"Melepaskan seorang dengan melepaskan tiga atau lima orang. Mana yang harus dipilih?"
"Maksud awak?"
"Melepaskan 'kekasih lama' dengan melepaskan isteri dan anak-anak."
"Tentulah yang seorang, kerana di sana pun perlu melepaskan tiga atau lima orang juga. Mana mungkin menzalimi orang lain untuk kebahagiaan diri sendiri."
"Jadi awak sudah ada pilihan sekarang. Tidak semua yang kita inginkan boleh kita perolehi kesemuanya. Hanya insan tertentu yang mungkin mampu hadapi semua itu."
"Kenapa sebelum menjalinkan hubungan semula tidak fikirkan semua itu?"
"Entahlah. Mungkin kerana desakan nafsu rasa cinta yang membuak-buak. Dan.."
"Dan rasa kesepian?"
"Mungkin juga."
"Paling baik. Berterus terang dengan pasangan. Katakan yang sepatutnya. Jangan biarkan rasa sepi, rasa terasing itu berterusan. Bukan ini cara penyelesaiannya. Itulah yang sepatutnya dilakukan."
Ini adalah sebahagian contoh realiti yang berlaku dalam masyarakat. Ujian datang secara tiba-tiba, tanpa disedari. Jika tiada rasa keimanan dan kehambaan pada-Nya. Kita boleh hanyut dan mengabaikan tanggungjawab sepatutnya. Ini adalah ujian. Ujian kehidupan untuk menaik tarafkan tahap keimanan kita. Atau mungkin untuk menyedarkan kita.
Andai dipertemukan juga pada suatu hari nanti. Ia adalah ketentuan-Nya. Kita harus redha dan mengakui tiada sesuatu yang mustahil boleh berlaku dengan keizinan-Nya. Percayalah.
Cinta itu indah. Lebih indah lagi kita mencintai yang UTAMA iaitu ALLAH SWT. Kita hanyalah HAMBA PADA-NYA. MOHON PADA-NYA. RATAPI SEGALA KEDUKAAN PADA-NYA. PASTI KITA AKAN TENANG KERANA KETENANGAN ITU MILIK-NYA.