0
Alhamdulillah, akhirnya dapat juga berguru walaupun di dalam jangka masa yang singkat dengan Novelis Thriller Tersohor Saudara Ramlee Awang Mursid (RAM) pada 18 Julai 2010 yang bertempat di Kompleks Belia Dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam.
Tempoh masa dua jam setengah berlalu dengan pantas dan padat dengan ilmu penulisan dan pengalaman Saudara RAM yang boleh dijadikan pedoman kepada para peserta bengkel.
Doa, Zakat Dan Syukur adalah pegangan dan amalan beliau di sepanjang meniti kejayaan sebagai seorang novelis yang telah menghasilkan 20 buah novel. Beliau juga menegaskan setiap individu ada kehebatan masing-masing. Oleh itu, ia menjadi kewajipan kita untuk mengenali diri kita sendiri dan seterusnya meletuskan kehebatan yang sudah lama wujud di dalam diri seseorang.
*********
Sepanjang saya menyertai pelbagai bengkel penulisan novel dan penulisan non-fiksyen, kebanyakannya akan menyentuh soal diri penulis. Pelajari teknik dan gaya penulisan adalah suatu kemestian tetapi perkara yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu ialah kenali diri kita sendiri.
Sebelum saya menyertai dunia penulisan pada Mei 2009 yang lalu, apa yang tergambar di dalam fikiran saya ialah jika mahu menulis, kita perlu belajar menulis semata-mata. Rupa-rupanya di dalam apa jua bidang yang kita ceburi, asas kejayaan ialah DIRI KITA SENDIRI. Begitu juga sebelum itu, saya terlibat dengan urus niaga mata wang secara online. Bill William yang merupakan pengasas Teknik Chaos menegaskan jika ingin berjaya sebagai seorang 'forex trader', seseorang itu perlu kenali diri dan mempunyai kekuatan dalaman.
Akhir kalam, terima kasih kepada pihak urusetia KEMUDI yang menganjurkan bengkel ini dan semoga diberi kekuatan untuk menyertai bengkel-bengkel akan datang. Sejujurnya saya bangga dengan apa yang telah dilakukan dan pencapaian yang dikecapi oleh Saudara RAM. Semoga beliau terus diilhamkan idea-idea baharu dan segar untuk hasilkan karya-karya yang lebih hebat.