CINTA DI SEPANJANG ZAMAN

Posted: Friday, September 16, 2011 by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH semakin ramai yang sedar tentang perlunya mencintai Rasulullah S.A.W. Walaupun di luar sana masih ramai di kalangan umat Islam yang lupa segala pengorbanan Rasulullah S.A.W. Lupa mengikut segala sunnah baginda. Lupa untuk berselawat. Lupa mengingati atau membaca sirah baginda.

Hanya menyentuh beberapa perkara di sini sebagai renungan buat diri saya sendiri dan juga tuan-tuan selaku tetamu kehormat di blog ini.
Perjuangan

Rasulullah S.A.W berjuang di sepanjang umurnya. Berjuang untuk menegakkan kalimah Allah S.W.T di muka bumi ini. Berjuang untuk memastikan ajaran Islam tersebar luas. Oleh sebab itu, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :

"Demi Allah, wahai bapa saudaraku, sekalipun mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini nescaya aku tidak akan tinggalkannya, sehingga Allah memberi keputusan-Nya."

Hingga akhir hayat baginda terus berjuang. Segala harta benda, tenaga, fikiran, jiwa raga dan sebagainya dikorbankan sepenuhnya untuk suatu perjuangan yang dinamakan jihad fisabilillah.

Persoalannya, di manakah tahap perjuangan kita? Berada pada suatu zaman serba serbi mudah dan dikatakan aman damai.

Mendidik
Baginda tidak kenal penat. Tidak kira waktu dan di mana berada. Mendidik manusia kenali Allah dan menjadi hamba Allah yang taat perintah-Nya. Tanpa minta upah atau atas dasar kepentingan peribadi, Rasulullah S.A.W tidak kenal jemu untuk terus berdakwah. Mahu pastikan umatnya berada di landasan betul beriman kepada Allah S.W.T. Baginda sangat serius apabila memberi nasihat atau menegur sesiapa sahaja tanpa mengira darjat atau keturunan seseorang.

Muhasabah diri tahap kita memberi didikan kepada ahli keluarga, jiran-jiran atau masyarakat umum. Paling penting didikan untuk diri sendiri.

Akhlak : Pemaaf
Diceritakan bahawa ada seorang perempuan tua Yahudi yang tiap-tiap hari akan berusaha menyusahkan Rasulullah S.A.W dengan menabur duri dan najis di jalan yang dilalui baginda. Si tua itu sangat bencikan dakwah dan diri Rasulullah S.A.W. Satu hari ditakdirkan perempuan tua itu jatuh sakit. Satu-satunya orang atau jiran yang mengunjunginya ialah Rasulullah S.A.W. Bukan sahaja menziarah, baginda juga yang berusaha mencari ubat dan menjaga perempuan tua itu. Sifat pemaaf Rasulullah S.A.W yang agung itu menyebabkan perempuan tua itu akhirnya malu sendiri dan memeluk agam Islam.

Senarai semak pula dalam diri saya dan tuan-tuan. Sejauh manakah sifat pemaaf itu wujud. Kita banyak dikuasai hawa nafsu semata-mata. Bertindak tanpa mengambil kira siapa diri kita sebenarnya. Segala sunnah dilupakan. Hanya bibir sahaja mengungkap "Saya cinta Rasulullah", "Marilahlah kita mengikuti sunnah Rasulullah", tapi hakikatnya kita masih dibelenggu sifat dendam yang tidak pernah luput dalam hati kita. Masih mengungkit segala kesilapan tanpa diberikan ruang untuk orang lain berubah. Itulah yang terjadi dalam masyakarat apabila bekas banduan terus dilabel penjenayah semumur hidup walaupun telah insaf. Ini hanya sebahagian contoh sahaja.
Akhlak : Kasih sayang

Sikap Rasulullah S.A.W ialah akan bertanya dan mencari apabila seseorang sahabat itu tidak jumpa dalam tempoh dua atau tiga hari. Baginda sendiri yang akan datang menziarahi para sahabat. Baginda akan duduk bercerita, bersembahyang, makan dan duduk bersama-sama para sahabat. Pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W sendiri memimpin tangan seorang tua yang berkudis, hitam legam kulitnya, buruk rupa dan berair agar duduk di sebelahnya untuk makan bersama-sama. Masya-Allah, begitu agungnya kasih sayang Rasulullah S.A.W. Begitu juga sifat kasih sayang baginda terhadap isteri-isteri, kaum keluarga dan seluruh umat Islam.
Jadi, kenali diri kita sendiri. Hitunglah diri. Sejauh manakah kasih sayang kita terhadap rakan-rakan, kaum keluarga, jiran, dan paling utama terhadap pasangan dan anak masing-masing. Adakah menghampiri kasih sayang Rasulullah S.A.W yang kita agung-agungkan itu. Atau sekadar ungkapan semata-mata.

Akhir kalam, masih banyak lagi perkara-perkara berkaitan dengan diri Rasulullah S.A.W. Ini hanyalah sebahagian sahaja sebagai satu renungan bersama. Saya belum menyentuh lagi dalam bab ibadah dan banyak lagi. Allahu akbar! Tidak terhitung rasanya. Sama-samalah kita hayati kisah hidup Rasulullah S.A.W. Usahlah kita bertelagah sesama sendiri. Lakukan segala sunnahnya dengan kadar kemampuan kita. Dan terus berusaha memastikan hidup kita dan ahli keluarga menjadikan amalan hidup baginda sebagai rutin kehidupan.

Wallahualam.

0 Komentar: