0
1 SYAWAL YANG LEPAS SAYA, ISTERI DAN SELURUH KAUM KELUARGA DIKEJUTKAN DENGAN BERITA YANG MENYEDIHKAN. KAMI KEHILANGAN SEORANG LAGI BAPA SAUDARA YANG TINGGAL DI BESUT IAITU WAN MOHAMAD ATAU LEBIH MESRA DIKENALI DENGAN PANGGILAN AYAH MAT.
Sesungguhnya pemergian allahyarham amat mengejutkan kami. Walaupun kami tahu beliau agak lama menderita dengan penyakit kencing manis atau diabetes. Penyakit ini juga dihidapi oleh arwah bapa mentua saya Allahyarham Wan Abdullah.
Di atas adalah dua contoh ahli keluarga saya yang menderita penyakit diabetes ini. Dan sesuatu yang tidak mengejutkan dilaporkan masyarakat Islam di negara kita direkodkan antara peratusan tertinggi di dunia bilangan individu yang penghidap diabetes. Dan saya percaya tuan-tuan juga takut dengan penyakit berbahaya ini. Begitu juga saya sendiri secara jujurnya. Persoalannya apakah langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh kita?
Harga Gula Naik Lagi.
Rakyat di negara kita tidak peduli berapa harga gula semasa. Naik 50 sen atau 60 sen sekali pun, ia hanya 'bising' pada peringkat awal sahaja. Tuan-tuan boleh lihat senario harga barang naik di negara kita. Apa reaksi masyarakat?
Harga gula sahaja yang naik. Nafsu makan untuk memenuhi selera tekak tidak pernah insaf. Apa sahaja kemahuan hati dituruti. Pelbagai juadah kuih muih kebanyakannya manis dan melebihi kadar keperluan badan kita. Jadi, harga gula naik sekalipun ia tidak pernah menjejaskan kadar bilangan penghidap diabetes di negara kita.
Tabiat orang kita.
"Teh tarik satu."
"Roti kosong dua."
"Milo ais satu."
"Mamak! Kasi roti banjir satu. Kuah kari ikan."
Dialog di atas dirakamkan pada pukul 12.30 malam. Dan saban malam situasi sama berlaku di mana-mana kedai mamak di seluruh negara. Betul atau tidak? Angguk.
Wah! Hebat. Sebab itu rakyat Malaysia dikatakan ramai meninggal dunia kerana perut dan bukan peluru sebagaimana saudara kita di Palestin, Afghanistan dan lain-lain lagi.
Lepak. Minum-minum. Borak-borak adalah tradisi masyarakat kita tanpa mengira usia. Ya ka? hakikatnya begitulah. Saya sendiri terlibat sama. Mak Aih! Sekali sekala keluar minum teh atau kopi dengan rakan-rakan. Jadi, boleh lihat dengan jelas tabiat orang kiita terutama di bandar-bandar. Dan ada yang bawa anak-anak menjelang tengah malam untuk 'pekena' teh tarik dan roti canai.
Sedar atau tidak budaya ini menggalakkan penghidap baru diabetes di negara kita.
Apakah solusinya?
Kawal diri. Kuatkan semangat. Elakkan diri daripada menikmati apa-apa juadah berat sebelum masuk tidur. Lagi pun kita digalakkan makan malam sebelum masuk waktu maghrib. Sekitar pukul 6.30 petang - 7.30 malam sedang elok kita makan malam. Ia masih ada masalah kerana rutin jadual harian berbeza-beza. Masa itulah kebanyakan kita yang masih terperangkap di jalan raya. Jadi, fikirkan cara terbaik untuk kita dan keluarga. Pastikan elak makan malam di tengah malam.
Bersenam
Aktiviti ini yang agak kurang digemari oleh kebanyakan orang. Betulkah? Boleh tanya diri dan lihatlah di sekeliling kita. Saya sendiri pun selepas bulan Ramadan hingga kini masih belum menjejaki gelanggang tenis sebagaimana sebelumnya. Boleh 'joggin', apa salahnya. Inilah aktiviti yang kurang digemari. Padahal 'jogging' inilah salah satu aktiviti yang WAJIB dilakukan pada setiap minggu. Sekurang-kurangnya 2-3 hari seminggu. Kalau kita kira berapa kilogram makanan yang masuk dengan keluar. Pastinya ia tidak seimbang. Tambahan pula kita suka makanan berlemak dan manis. Jadi, marilah kita sayangi diri sendiri dengan bersenam walaupun sekejap.
Berat Badan Ideal
Bab ini memang saya salah seorang yang tewas. Maklumlah dengan ketinggian 170cm, saya mempunyai berat badan sekitar 90KG. Kalau ikut ukuran BMI, memang dikira berat badan berlebihan. Tuan-tuan pun sudah maklum perkara ini. Jaga berat badan untuk mengelakkan pelbagai jenis penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung. Sukarnya untuk kita menahan nafsu makan terutama di hujung minggu yang memenuhi undangan rumah terbuka pada bulan Syawal ini. Masa itu segala pantang larang dilanggar bulat-bulat. Nak ke Tak Nak, kita perlu tekad mengawal berat badan. Cakap mudah. Memang betul!
Semak tanda-tanda kencing manis.
1) Sering dahaga dan sering minum air.
2) Sering ke tandas.
3) Terasa badan lemah.
4) Berat badan turun dengan cepat
5) Penglihatan semakin kabur.
6) Terasa pening kepala.
Sama-sama kita kawal makan dan pertingkatkan tahap kecergasan badan dengan bersenam. Salah satu aktiviti popular sekarang ialah mengayuh basikal. Tuan-tuan boleh cuba.
Wallahualam.