0
DIPANJATKAN KESYUKURAN KEPADA ALLAH SWT kerana telah diberikan rezeki Allah. Hidup di muka bumi ini. Apatah lagi apabila dikurniakan suatu rezeki yang dilimpahi nikmat dan pahala berganda oleh-Nya. Sebuah perkahwinan yang menjanjikan suka duka dalam rencah kehidupan kita sebagai hamba-Nya.
Takut untuk berkahwin
Bunyinya mungkin lucu bagi sesetengah orang. Tapi sebilangannya ambil serius. Takut kahwin dengan pelbagai alasan tersendiri. Antaranya ialah sejarah keluarga mereka sebelum ini ada sejarah tersendiri. Dan ada riwayat mengatakan bahawa ada seorang perempuan yang berjumpa Rasulullah SAW tidak mahu berkahwin kerana tidak sanggup untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Namun begitu, apabila berpandukan sirah Nabi dan ajaran Islam, seseorang itu akan dididik secara tidak langsung sebagai seorang isteri atau suami yang taat pada perintah-Nya.
Takut kahwin juga mungkin disebabkan mereka dikelilingi rakan-rakan yang gagal dalam dunia perkahwinan mereka. Takut kahwin juga mungkin terpengaruh dengan drama atau filem yang mereka tonton. Pendek kata ada banyak sebab kenapa seseorang itu tak nak kahwin atau takut kahwin.
Di sini saya hanya mampu nyatakan beberapa riwayat sebagai panduan orang-orang bujang di luar sana. Insya-Allah.
Daripada Imam Ja'far bin Muhammad, " Dua rakaat solat orang yang dilakukan orang yang telah berkahwin lebih utama daripada seorang yang solat di malam hari dan berpuasa di siang hari sementara dirinya belum berkahwin."
Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud, "Tak ada bangunan dalam Islam yang lebih dicintai Allah SWT daripada bangunan perkahwinan."
Rasulullah SAW pernah bersabda, "Jika seseorang hamba kahwin, maka dia telah menyempurnakan separuh agamanya dan jagalah separuh-Nya yang tersisa."
Maka dengan itu bagi para pengunjung blog ini yang masih belum berkahwin, usahakan sesuatu dan melakukan persiapan untuk menempuh alam perkahwinan seadanya. Insya-Allah.
Dokumen penting bagi seorang suami
Ini sebagai panduan saya juga yang alpa dan 'berdosa' dalam menjalankan tugas sebagai seorang suami. Mohon rakan-rakan juga dapat manafaat. Ini adalah sebahagian yang mampu saya kongsikan.
1- Jadilah suami yang memiliki kepimpinan dan jalan fikiran yang lurus, kerana lelaki adalah pemimpin kepada golongan wanita.
2- Penghormatan kepada para isteri, ciptakan kasih sayang, saling mengerti dan memberi belaaian cinta kepada mereka.
3- Perhatikan segala pendapat isteri dan anak-anak dalam menanggahi pelbagai urusan dalam kehidupan. Allah SWT memang menyarakan musyawarah dalam segala urusan.
4- Usahakan agar suami dapat menyediakan keperluan rumah tangga walaupun ia dibantu oleh para isteri yang berkerjaya.
5- Bersikap tenang dan lebih banyak menampakkan kegembiraan dan tidak mudah marahkan para isteri.
6- Suami yang berjaya ialah suami yang bijak mengatur masa bekerja dan tanggungjawab di rumah.
7- Bertindaklah dengan penuh kewarasan dalam menanggani apa jua masalah dengan isteri.
8- Berusahalah melontarkan kata-kata manis kepada isteri. Berikan pujian dan ucapan terima kasih.
9- Suami yang hebat ialah suami yang memberi ruang untuk isterinya beristirehat setelah penah menguruskan rumah tangga mereka.
10- Suami yang hebat ialah suami yang jujur dengan isterinya.
11- Jangan lupa berikan hadiah sesekali pada waktu tertentu.
12- Suami juga perlu mengajak isteri dan anak-anak berkunjung ke rumah sanak keluarga bagi menguatkan ikatan silaturahim.
Ini adalah sebahagian perkara yang perlu diambil berat oleh saya dan juga para suami di luar sana. Kita lakukanlah satu persatu mengikut kemampuan kita. Insya-Allah usaha kita selepas ini diredai-Nya. Lebih baik usahakan walaupun sedikit berbanding langsung tiada usaha lakukannya.
Isteri solehah tunjang kekuatan suami
Rasulullah SAW pernah bersabda, "Yang taat jika suami memerintahnya, yang menyenangkan jika suami memandangnya, yang menjaga kehormatan diri suami dan hartanya."
Khadijah binti Khuwalid telah menampilkan teladan berguna untuk para isteri dengan mengorbankan harta, pemberian, perlindungan dan penebusan bagi suaminya hingga wafat. Beliau sanggup bersabar dengan segala ujian dan dugaan Allah di sepanjang kehidupan bersama baginda Rasulullah SAW.
Di antara sifat isteri solehah ialah :
1- Al-Bukhari berkata, "Rasulullah SAW melarang seseorang wanita berada dengan wanita lain dalam satu selimut, agar dia tidak menceritakannya kepada suaminya." Hadis ini jelas menegaskan agar para isteri tidak melihat dan mencari aib wanita lain. Tidak menceritakan keadaan tubuhnya yang ada disebalik bajunya. Bimbang akan diceritakan kepada suami mereka dan berminat pula kepada diri kita.
2- Isteri solehah tidak lekang dengan hijabnya apabila berada di kalangan lelaki bukan mahramnya. Rasulullah SAW melarang keras perkara ini dan perlu diambil berat oleh kita semua.
3- Isteri solehah juga berhias, bersolek dan mengenakan minyak wangi di dalam rumah untuk suaminya sahaja. Ini dapat mencegah suaminya melakukan kemungkaran di luar rumah pula. Isteri tidak boleh keluar rumah dengan bersolek dan berlenggok-lenggok untuk menarik perhatian lellaki lain.
4- Rasulullah SAW bersabda, "Jika wanita menjauhi tempat tidur suaminya pada malam hari, maka para malaikat melaknatnya hingga dia kembali." Ini kerana wanita solehah bersekutu dengan suaminya untuk menghadapi godaaan syaitan.
5- Isteri solehah juga tidak sama sekali mengutuk atau mengingkari nikmat yang diberikan oleh suami mereka. Sabda Rasulullah SAW, "Bersedekahlah kalian, kerana kebanyakan di antara kalian akan menjadi kayu bakar jahanam."
Ada seorang wanita bertanya, "Kenapa begitu?"
Baginda menjawab, "Kerana kalian lebih banyak mengutuk dan mengingkari suami."
6- Isteri yang solehah juga tidak sama sekali membocori rahsia suami. Isteri adalah wadah rahsia suami, iaitu orang paling dekat dan paling hampir dengan suami. Jelas sekali ia dosa besar dan dilaknati Allah. Boleh rujuk pada ayat 3, surah At-Tahrim.
7- Isteri solehah juga tidak berkhalwat dengan lelaki lain yang bukan mahramnya. Berdua-duanya yang boleh menimbulkan syak wasangka dan hasutan iblis.
8- Sabda Rasulullah SAW, "Tidak dibolehkan manusia bersujud kepada manusia yang lain. Andaikan manusia dibolehkan bersujud kepada manusia yang lain, maka akan kuperintahkan wanita bersujud kepada suaminya. Kerana besarnya hak suami ke atas dirinya." Ini bermakna isteri solehah menyedari tentang hak-hak suaminya.
Alhamdulillah, moga kita dapat manafaat daripada entri tidak seberapa ini. Ini juga peringatan penting buat diri saya yang alpa ini. Mungkin ada sesetengah masih belum tertunai. Maka ia akan dilaksanakan. Tekadkan dalam diri. Berubah menjadi suami yang diredai Allah. Selagi hayat dikandung badan. Jangan putus asa.