SEKADAR MENGETUK PAPAN KEKUNCI INI
Posted: Sunday, September 18, 2011 by WZWY in Labels: Motivasi Diri
0
ALHAMDULILLAH PADA SAAT INI masih diberi ruang oleh Allah SWT untuk menghirup udara segar dan menyaksikan kebesaran-Nya.
Entri kali ini tiada tajuk khusus. Cuba biarkan jari-jemari ini mengetuk apa sahaja di papan kekunci kecil ini. Cuma hari ini usus agak sesak sedikit. Bermula pukul 11 pagi hingga ke pukul 10 malam memenuhi hasrat tuan rumah yang mengadakan rumah terbuka.
Rumah Terbuka
Konsep rumah terbuka apabila tiba musim perayaan di negara kita begitu unik sekali. Orang-orang Arab amat pelik sekali apabila melihat umat Islam di negara kita menyambut hari raya sehingga sebulan penuh di bulan Syawal. Ada juga yang terlajak ke bulan Zulhijah. Masih ada rumah terbuka. Rasannya tuan-tuan sudah banyak membaca artikel atau apa jua bahan bacaan yang menyentuh soal rumah terbuka. Bagi saya selagi ia tidak melanggar batas-batas syariat, kita masih berada di jalan baik untuk mengekalkan keharmonian dan mengeratkan lagi tali silaturahim di antara kita. Walaupun konsep rumah terbuka itu dilihat hanya 'pilih=pilih tetamu sahaja'. Kenapa begitu? Kerana hanyaajak rakan sekerja atau teman-teman mereka sahaja. Jiran di sebelah dilupakan. Alasan mudah ialah tidak kenal. Maklumlah hidup di kota. Awal pagi keluar bekerja, dan lewat malam baru pulang. Hidup kita sekarang jadi semacam robot. Itu sahaja rutin harian.
Berpada-pada
Masih ingat perbualan dengan teman-teman tentang tingkah laku atau tabiat di kalangan orang-orang kita yang berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara yang diminati. Apabila rasa bosan ditinggalkan terus. Kalau dalam soal ibadah, pada bulan Ramadhan dipenuhi dengan bermacam-macam solat sunat. Bagus, bukan tidak bagus. Cuma bila menjelang Syawal sahaja. Kehidupan kembali sebagaimana sebelum Ramadan. Mahu solat sunat Dhuha pun susah. Alasan biasa, tiada masa atau terlupa. Ingatan untuk diri sendiri sebenarnya.
Berpada-pada juga dalam perkara-perkara lain seperti melayari laman sosial. Di kebanyakan pejabat sudah awal-awal lagi menyekat segala laman sosial boleh dilayari di kemudahan internet di tempat masing-masing.
Laman sosial seperti yang paling popular ialah Facebook dan Twitter. Ia bagus jika digunakan dengan betul. Dan ia juga melalaikan jika seseorang itu terlalu taksub dan hanya hidup dengan laman sosial semata-mata. Tidak endahkan dunia sekeliling. Berhenti apabila makan atau buat sesuatu keperluan lain. Apa matlamat kita dengan laman sosial ini? Kalau sekadar mengisi masa lapang dan berkongsi idea atau masalah, adakah berbaloi dengan korbankan waktu-waktu emas kita bersama orang terdekat.
Andai kata seseorang yang kita selalu 'chatting' atau bergilir-gilir memenuhi status di mana-mana grup di Facebook hilang dalam dua tiga hari. Mungkin kita akan tertanya-tanya tetapi tidaklah sampai kita sedih sangat hingga bergenang air mata. Kita boleh layan orang lain pula. Tapi apa pula berlaku apabila kita kehilangan orang yang terdekat dengan kita. Orang yang kita tidak hiraukan sangat. Tidak penting dirasakan. Bila Tuhan jemput mereka. Adakah kita berpeluang lagi untuk berbual dengan mereka? Atau pun bila mereka mula menjauhkan diri daripada kita. Hilang segala kemesraan di alam realiti. Padahal orang-orang inilah yang sentiasa bantu dan menyokong kita.
Kesimpulannya, berpada-padalah dan jangan menyesal di kemudian hari. Masa tidak pernah dan sesekali akan berulang lagi.
Ilmu Dan Amal
Beberapa orang teman lama bercerita tentang ilmu dan amal. Mereka persoalkan apabila ada di kalangan para ahli agama yang terlibat dengan perkara-perkara dilarang Allah SWT. Saya hanya diamkan diri kerana mahu melihat apa reaksi mereka. Makin lama saya juga tidak dapat tahan apabila disentuh pula dikalangan guru yang 'suka-suka' menghukum murid-murid sebagaimana yang disiarkan di akhbar-akhbar arus perdana.
Saya cuma katakan tidak semua orang berilmu itu beramal. Dan kedudukan mereka sama aras dengan orang tidak berilmu dan beramal. Ilmu tidak cukup sekadar difahami semata-mata. Malah ia wajib diamalkan. Manafaat ilmu itu akan dapat dirasa jika seseorang itu mengamalkannya. Orang yang mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkannya umpama pokok yang tidak berbuah. Dalam matan Zubat ada ditulis:
"Orang yang berilmu tetapi tidak beramal akan diseksa terlebih dahulu daripada penyembah berhala."
Dia belajar agama. Dia tahu hukum. Dia baca sirah Nabi. Dia belajar tentang fardu Ain. Dia juga belajar dan tahu tentang tanggungjawab sebagai seorang anak, isteri, suami, bapa, ibu, jiran tetangga tetapi malangnya, ia seperti tidak berilmu. Kosong. Segala laku tidak mencerminkan dia orang berilmu. Moga segala kekhilafan saya dan tuan-tuan sebelum ini diampunkan Allah SWT dan berbuat sesuatu lebih baik. Bukan untuk kita sahaja tetapi orang-orang di sekeliling.
Pesan guru, " Melaksanakan ketaatan amat berat kerana ia sesuatu yang tidak disukai oleh hawa nafsu. Namun, orang yang diberi hidayah taufik akan berasa ringan dalam melaksanakan ketaatan."
Allahu akbar! Begitu daifnya saya. Lalai dengan segala apa yang sepatutnya dilakukan. Semoga tuan-tuan juga dapat muhasabah diri. Takat mana kita sekarang.