0
Usai solat Asar di salah sebuah masjid di kawasan Subang. Melihat seorang pemuda yang duduk mencangkung sendirian. Tunduk. Entah apa difikirkan. Ketika berjalan menuruni tangga bersebelahannya. Terdengar. "Memang dosa aku dibawa hingga ke akhirat."
Saya tersentak seketika. Berhenti.
"Kenapa tuan berkata demikian?" Tanya mahukan kepastian.
"Entahlah. Memang nasib saya." Jawab ringkas.
Kemudian saya duduk di sebelahnya. Bersalam dan perkenalkan diri. Dia hanya mengukir senyum tawar. Hanya menyebut nama pendeknya. "Amin."
Cungkil Rahsia
Saya tunggu reaksi seterusnya. Diam seketika. Tidak lama dia mula bersuara, "Saya manusia yang berdosa."
Saya menoleh tersenyum. "Semua manusia berdosa."
"Memang, tapi...sampai sekarang dosa saya tidak terampun."
"Macam mana awak tahu?" Saya bertanya.
"Dulu saya pernah menipu adik perempuan saya. Saya pinjam duitnya untuk buka perniagaan di Kuala Lumpur. Tapi..."
Dia mula bercerita.
"Tapi..saya gunakan duit itu untuk bayar hutang-hutang saya." Dia menggeleng.
"Memang kamu sengaja pinjam untuk bayar hutang?" Tanya saya lagi.
Angguk. "Tapi saya terdesak."
Tiada maaf bagimu
Dipendekkan cerita, dia mula menceritakan bahawa kini dia tinggal sebumbung dengan adiknya di sekitar Hulu Selangor. Namun, hubungan mereka dingin. Adiknya masih menyimpan dendam walaupun dia sudah berubah dan membayar hutang-hutang lama. Adiknya menganggap dia sebagai penipu.
"Semasa hari raya tempoh hari, awak tidak bermaafan dengan adik awak?"
"Kami bermaafan. Tapi, adik saya masih menyimpan dendam lama."
Saya diam.
"Saya katakan bahawa saya sudah berubah. Memang dulu saya bayar hutang judi. Tapi sekarang saya sudah insaf."
Saya tersentak. "Hutang judi?"
"Ya, saya mengaku saya dulu tidak solat, suka berjudi tetapi saya bukan penipu." Dia pertahankan diri.
"Macam mana awak boleh berubah?" Saya cuba redakan situasi.
"Setelah kedua ibu bapa kami meninggal dunia pada awal tahun. Saya rasakan seluruh dunia bergoncang. Saya masih banyak dosa yang tidak terampun. Dosa pada ayah. Dosa pada ibu." Kolam mata dia mula bergenang.
"Kini tinggal awak berdua dengan adik awak?"
Angguk perlahan.
Sedikit nasihat.
"Saya bukanlah pakar motivasi. Saya cuma ada sedikit ilmu yang boleh dikongsi dengan saudara. Saya teringat sebuah hadis nabi bersabda," Sesungguhnya Allah berfirman bermaksud : Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolonganKu maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak menganggap bahawa ia suatu yang bebanan. Wahai anak Adam! Sekalipun dosa kamu seperti awan meliputi langit kemudian kamu memohon kepadaKu, nescaya Aku akan mengampuninya. Wahai anak Adam! Jika kamu menemuiKu (selepas mati) dengan kesalahan sebesar bumi, kemudiannya kamu menemuiKu dalam keadaan tidak syirik kepadaKu dengan sesuatu, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan terhadap dosa sebesar bumi itu." (Riwayat Imam Tarmizi)".
Dia pantas menoleh. Matanya membulat. "Betulkah begitu?"
Lantas saya mengangguk. "Allah Maha Pengampun. Mohon pada-Nya dengan sepenuh hati. Taubat nasuha. Kemudian serah diri pada-Nya."
"Bagaimana dengan adik saya?"
"Serah pada Allah. Berdoa agar dia dilembutkan hati dan perasaannya. Paling penting awak mahu berubah."
"Dosa saya besar saudara. Adik saya sangat marahkan saya." Bergenang air matanya.
Saya menepuk bahunya. "Sabar dalam bersabar. Mana mungkin Saidina Umar Al-Khatab dianggap sahabat setia Rasulullah dan pemimpin ulung umat Islam dahulu. Dia juga berasal daripada manusia yang berdosa pada Allah. Namun dia bertaubat dan memeluk agama Allah. Kemudian menjadi pengikut Rasulullah yang digeruni musuh."
"Baru lega hati saya. Terima kasih." Saya menyambut salam perpisahan. Erat genggaman tangannya.
"Sama-sama. Semoga Allah redha."
Dia berlalu dengan deruman motosikal kuasa tinggi. Saya masih termanggu sendiri.
"Bagaimana aku pula? Dosa-dosaku...kesilapan silamku...masih dibayangi dosa silam..entah bila kan luput...adakah bayangan dosa itu hingga ke akhirat jua?" Mengeluh sendiri.
Allahu akbar.