0
Seorang lelaki mengadu dia berkecil hati apabila isterinya selalu menghantar SMS atau bercakap dengan bahasa yang agak kasar terhadapnya. Lelaki itu juga semakin merasakan dirinya semakin jauh dengan isterinya. Walau bagaimanapun lelaki itu tidak mahu memutuskan ikatan perkahwinan mereka semata-mata sikap si isteri yang selalu melukakan perasaannya. Dia pun tidak pasti kenapa.
"Yang jelas dia selalu mencari salah saya." Luah lelaki itu.
"Mungkin kamu ada lakukan sesuatu perkara yang menyakitkan hati dia."
"Mungkin juga...tetapi kenapa kebaikan yang saya lakukan itu tidak pernah disebut. Jika saya buat silap sekali sahaja, ia sudah cukup membuatkan dia sakitkan hati saya dengan membaca SMS-nya." Suara lelaki itu semakin merendah. Sebak.
Apa yang seharusnya saudara pembaca lakukan jika berdepan dengan situasi demikian? Adakah membiarkan sahaja atau mengambil jalan mudah, leraikan ikatan perkahwinan itu? Rasanya langkah kedua itu perlu difikirkan dengan lebih wajar lagi.
Apa yang pasti setiap permasalahan itu pasti ada hikmahnya. Percayalah setiap kesulitan itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Kita harus yakin apabila Allah SWT menyayangi kita, Dia akan menguji kita dengan berbagai-bagai perkara. Kita jangan fikir jika orang sentiasa hidup mewah dan seperti tiada masalah hidup itu bermakna Allah lebih sayangkan mereka. Kita harus perbetulkan persepsi kita tentang perkara ini.
Kita juga harus yakin bahawa setiap ujian hidup itu sebenarnya untuk memberi kebaikan buat kita tanpa kita sedari. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.
Nasihat yang boleh diberikan kepada lelaki itu atau sesiapa sahaja mengalami situasi demikian ialah :
1) Perkemaskan lagi hubungan kita dengan Allah SWT. Jaga solat fardhu dan laksanakan perintah-Nya dengan ikhlas.
2) Mendoakan orang lain juga salah satu cara terbaik. Maksudnya kita doakan sesiapa yang dikira bermasalah dengan kita. Contoh lelaki tadi dengan isterinya. Tidak perlu melemparkan kata-kata kesat pada isteri. Banyakkan doa dan terus berdoa agar isteri taid berubah. Setiap hari selepas solat fardhu, doakan buat isteri tadi. Insya-Allah, dalam tempoh tertentu isteri tadi akan berubah. Bersangka baik dengan Allah.
3) Muhasabah diri kita dengan sebenar-benarnya. Kita tidak mampu menipu diri sendiri. Ikhlas untuk berubah jika di pihak kita melakukan apa-apa kesalahan. Buang segala rasa ego dan sewaktu dengannya.
4) Laksanakan ibadah sunat. Ibadah sunat bukan sahaja dapat menampung kekurangan kita dalam ibadah fardhu, tetapi ia akan membuatkan kita semakin dekat dengan Allah.
5) Bersedekahlah. Semakin kita dilanda masalah, semakin banyak kita bersedekah. Ikut kemampuan masing-masing. Bersedekah bukan bermaksud menyumbang wang ringgit semata-mata, tetapi sumbangan idea atau tenaga kita untuk orang lain juga boleh diklafikasikan sedekah.
6) Jangan lupa doakan agar kita diberi kekuatan iman dan permasalahan dihadapi itu dapat selesai dengan cara terbaik.
7) Basahi lidah dengan menyebut zikrullah. Beristighfar banyak-banyak berbanding menyanyikan lagu-lagu yang diminati semata-mata.
Cukup sekadar tujuh perkongsian itu untuk sama-sama diamalkan. Insya-Allah keajaiban akan berlaku ke atas diri kita.
Wassalam.