0
Entri kali agak berlainan sekali. Kali ini saya cuba sampaikan sesuatu yang 'dekat' dengan kita.
Apa?
KAD KREDIT.
Kenapa?
Ramai dikalangan kita menggunakan kad kredit dalam urusan perbelanjaan harian terutama di stesen minyak. Saya juga lakukan perkara sama sebelum ini. Ia memang 'melegakan' apabila tangki petrol diisi penuh tanpa mengeluarkan wang poket. Benarkah?
Sedar atau tidak kita akan diperangkap dengan bayaran minima setiap bulan.
Bagaimana?
Kita lebih selesa membuat bayaran minima. Contohnya, hutang kad kredit kita ialah RM2000 dan akan membayar RM100 sahaja. Ini bermakna kita masih berhutang dengan bank pengeluar sebanyak RM1900+RM28.50 (caj faedah RM1900 x 1.5%) = RM1928.50.
Malangnya, keburukan membayar cara begini akan menyebabkan kita akan dikenakan caj faedah dan masa yang lebih lama akan diambil untuk menyelesaikan hutang tertunggak ini.
Akibatnya?
Bebanan hutang kita semakin banyak dalam jangka masa yang singkat. Buat masa ini, kebanyakan bank pengeluar mengenakan caj kewangan sebanyak 1.5% sebulan, pada kadar harian dan dikompaun secara bulanan.
Jadi kita perlu sedar bahawa dengan hanya membayar jumlah minima, kita akan mengambil masa yang lebih lama untuk menyelesaikan hutang kad kredit. Hutang pun akan lebih banyak terkumpul. Dengar kadar faedah yang tinggi, kita membayar lebih lagi kepada bank pengeluar jika dibandingkan dengan harga asal barangan atau perkhidmatan yang kita beli dahulu. Tidak muastahil jika kita membeli sebuah televisyen berharga RM1,500 akan meningkat kepada RM3,000 jika kita hanya membayar dengan bayaran minima sahaja. Mungkin kita tidka sedar, tetapi itulah keuntungan yang dijana oleh bank pengeluar.
Oleh itu, kita perlu berhati-hati menggunakan kad kredit kita. Keperluan mendesak sahaja perlu digunakan. Kalau setakat 'suka-suka', dinasihatkan agar jangan guna walaupun bernilai RM100.
Satu perkara lagi JANGAN guna kad kredit untuk mendapatkan pendahuluan wang tunai dari mesin ATM. Setiap kali kita mengeluarkan wang menggunakan kad kredit, kita menambahkan lagi bebanan pinjaman, ditambah dengan yuran pendahuluan wang tunai dan faedah harian yang tinggi.
Saya pernah berjumpa dengan seorang kaki tangan awam yang memiliki lebih lima kad kredit dan semua kad sudah digunakan secara maksima. Bayangkan sekeping kad kredit beliau yang mempunyai had limit RM5000 sudah meningkat hutangnya melebihi RM10000 kerana kegagalannya menjelaskan bayaran bulanan dalam tempoh yang agak lama.
Jadi, beringat-ingatlah. Jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu penjual agar menggunakan kad kredit anda. Kelak kita juga yang tanggung hutang kecuali keperluan terdesak dan mempunyai perancangan pembayaran yang baik.
Wallahualam.