0
PEJAM CELIK, PEJAM CELIK sudah tiba di penghujung cuti sekolah pertengahan tahun. Dipanjatkan puji bagi Allah yang masih memelihara kesejahteraan kita hingga saat ini. Kali ini saya ingin berkongsi suatu perkara penting berkaitan perhubungan kita dengan orang lain. Tidak kira seseorang itu dekat atau jauh, kenal atau tidak kenal dan sesiapa sahaja yang kita jumpa.
Satu perkara yang jelas ialah manusia suka apabila dirinya dihormati dan disayangi. Betulkan? Pasti angguk walaupun sekadar anggukan kecil. Maka ada sebahagian manusia akan menceritakan pelbagai cerita berkaitan kehebatan diri masing-masing.
Untuk apa?
Supaya orang beri perhatian dan menghormati mereka. Ini adalah sesuatu yang lumrah. Kita pun begitu, rasa ingin dihormati dan disayangi oleh orang sekeliling. Mungkin kita tidak sanggup mengangkat diri sendiri dengan cerita-cerita kebaikan dan kehebatan diri kita sendiri.
Kenapa?
Yakin bahawa semua kebaikan itu pasti ada ganjaran daripada Allah dan tidak mengharapkan pujian manusia sekeliling.
Hakikatnya perkara ini tidak perlu kita susah-susah dan peningkan kepala. Saya cuba jelaskan bagaimana orang akan menghargai dan mencintai kita. Saya juga sedang mempraktikkan perkara ini agar diri kita lebih disenangi oleh orang lain. Ia dilakukan mengikut kemampuan diri kita sendiri.
Saya berikan satu contoh kisah supaya ia lebih mudah difahami. Mungkin saudara merasakan bahawa perkara ini biasa-biasa sahaja tetapi kita mungkin abaikan atau tanpa sedar kita sudah lama mengamalkannya.
*****
Sudah masuk hari ketiga Ahmad tidak keluar dari rumah. Kesihatannya tidak mengizinkan apabila disahkan oleh pihak doktor dia menghidapi penyakit gout yang agak teruk. Isterinya pula tiada lesen memandu. Bekalan makanan di dapur hampir kehabisan. Dua tiga orang rakan sekerja menelefon bertanya khabar. Sekurang-kurangnya kesakitan yang dialami rasa berkurangan apabila mendengar ucapan takziah dan doa rakan-rakan agar cepat sembuh.
“Saya harap awak cepat sembuh dan datang bekerja seperti biasa,” kata Razak di hujung talian.
Kemudian Fariz pula menghantar pesanan SMS. “Saya doakan awak tabah dan jangan lupa makan ubat.”
Amirul pula menelefon, “Saya sudah kata awak jangan suka makan udang dan ketam. Kan dah kena gout…hahhaha.”
Syed pula menelefon, “Saya sentiasa doakan awak cepat sembuh. Masih banyak projek kita belum selesai.”
Saya yakin Ahmad akan terkesan apabila rakan-rakan sekerja menelefon dan menghantar SMS kepadanya. Sekurang-kurangnya dia merasakan bahawa dia diberi perhatian oleh rakan-rakan. Namun ia setakat itu sahaja. Ada satu situasi yang membuatkan Ahmad lebih terkesan dan menyebabkan dia bercucuran air mata.
Begini….
Pintu rumah diketuk. Kedengaran salam diucapkan dari luar. Isteri Ahmad bangun dari sisi Ahmad dan mempersilakan seorang lelaki yang dikenali masuk dan duduk di ruang tamu.
Ahmad menyambut salam dengan mengukir senyuman.
“Maafkan saya kerana tidak menelefon dan SMS. Saya berada di luar kawasan. Apabila dapat tahu awak sudah tiga hari terlantar di rumah, saya terus ke mari. Saya pun belum sempat pulang ke rumah,” beritahu Azmin jujur.
Azmin dan Ahmad mula berkenalan selepas syarikat di tempat mereka bekerja menjalinkan kerjasama dalam satu projek sebulan yang lalu.
“Terima kasih kerana sudi datang ziarah saya,” balas Ahmad.
“Cuti awak sampai bila?” Tanya Azmin.
“Seminggu.”
“Bagaimana dengan barang-barang keperluan dapur selama tiga hari ini? Saya masih ingat awak beritahu isteri tidak boleh memandu kereta. Betulkan?”
Ahmad tunduk seketika.
“Begini sahajalah. Beritahu isteri awak agar senaraikan keperluan yang perlu dibeli dan saya akan ke pasar raya selepas ini.”
“Errr…ia tak menyusahkan awak ke?” Ahmad serba salah.
“Saya lebih susah melihat seorang sahabat dalam kesusahan,” jawab Azmin mengukir senyum.
Tiba-tiba Ahmad terasa sebak. Walaupun mereka jarang berjumpa, perhatian Azmin membuatkan dia benar-benar terharu. Di saat ia dalam kesukaran begini, dia hadir memberikan bantuan tanpa disangka-sangka.
Apa komen saudara? Adakah persahabatan mereka selepas ini sebagai rakan pekerjaan atau lebih daripada itu? Saya yakin jika saudara di tempat Ahmad, saudara akan lakukan perkara sama iaitu Azmin menjadi rakan paling akrab selepas ini.
Kenapa?
Jawapannya ialah PERHATIAN.
Jika kita memberikan perhatian yang lebih kepada seseorang, maka orang tersebut akan juga memberikan lebih perhatian dan menghormati kita.
Contoh lain katakan kita sedang berada di dalam satu majlis. Saudara bersalam dengan beberapa orang di majlis berkenaan. Seorang menyambut salam dan tersenyum. Seorang lagi bersalam sambil bercakap di telefon. Seorang lagi bersalam tanpa menoleh ke arah saudara dan terus berbual dengan orang sebelah. Dan akhir sekali seorang bersalam dan memandang tepat ke mata saudara, senyum dan bertanya khabar walaupun belum pernah berjumpa sebelum ini.
Maka, sudah tentu saudara akan rasa lebih selesa berbual dengan tetamu itu. Saudara ambil makanan dan duduk berhampiran orang itu dan berbual-bual.
Kenapa?
Dia memberi lebih perhatian dan apatah lagi saudara pula tidak mengenali sesiapa pun di majlis berkenaan. Apabila kita setiap saat memberi perhatian dan menghargai orang lain dan menampakkan kita memberi perhatian kepada mereka. Maka kita akan menarik perhatian serta simpati orang tersebut. Dan kita juga akan lebih disayangi oleh orang tersebut.
Begitulah yang berlaku semasa Rasulullah SAW sedang berada di atas mimbar untuk berkhutbah. Tiba-tiba datang seorang Badwi. Dia masuk ke barisan solat yang sedang khusyuk mendengar khutbah Rasulullah SAW. Dia melihat ke arah baginda dan berkata, “Wahai Rasulullah, aku adalah orang yang tidak mengetahui tentang agama, ajarkanlah agama kepadaku.” Rasulullah SAW pun turun dari mimbar dan berjalan menuju ke arah lelaki Badwi tersebut. Baginda meminta disediakan kerusi dan duduk berdepan dengan lelaki Badwi itu tadi. Kemudian baginda mengajar tentang Islam kepada lelaki Badwi itu. Apabila sudah faham, lalu baginda menyambung khutbah di atas mimbar.
Inilah bentuk penghargaan dan perhatian yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap orang lain walaupun baginda tidak mengenali orang tersebut. Tanya diri kita pula adakah kita hanya beri perhatian kepada orang dikenali sahaja atau sebaliknya?
Baginda Rasulullah SAW juga akan tidak akan melepaskan tangan semasa berjabat tangan sehingga orang yang berjabat tangan dengan baginda melepaskan dahulu. Subahanallah!
Baginda juga akan memandang wajah dan mendengar dengan serius apabila berbual dengan para sahabat. Allahu akbar!
Sama-sama kita perbaiki diri. Insya-Allah.