HAKIKATNYA KEJAR DUNIA

Posted: Sunday, June 24, 2012 by WZWY in Labels:
0

24 Jun 2012

Dengan izin Allah SWT, saya berkesempatan menghadiri Kuliah Dhuha yang diadakan di Surau Al-Hidayah, Perdana Height. Terima kasih kepada Tuan Haji Abd. Aziz yang memaklumkan pada saya semalam.

Kuliah Dhuha disampaikan oleh seorang tokoh pendakwah bebas, Al-Fadhil Ustaz Abdullah Lutfi. Sejujurnya inilah kali pertama saya bersua dan mendengar kuliah beliau. Ternyata kuliah Ilmu Tafsir Al-Quran yang disampaikan oleh Yang Berbahagia ustaz menarik minat saya dan jemaah lain. Kebetulan pagi ini pula, beliau memulakan tajuk baharu iaitu tafsir surah Al-Mukminun. Mukadimah sahaja memakan masa yang agak lama kerana beliau memperincikan setiap perkara yang disampaikan. Baharu dua ayat, waktu terus pantas berjalan dan terpaksa dihentikan apabila jarum jam sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi.

Siapa mahu dunia, dia akan dapat dunia

Apa yang mahu saya kongsikan di sini sebagaimana yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Abdullah ialah manusia diberi pilihan sama ada untuk mengejar kebahagiaan di dunia atau di akhirat.

Kalau dilihat senario semasa, kebanyakan manusia lebih tumpukan kehidupan di dunia. Keluar kerja diawal pagi dan pulang pada lewat petang. Dan begitulah rutin harian hingga tiada masa untuk mengunjungi rumah-rumah Allah SWT yang berdekatan. Walaupun jarak 100 meter sekali pun, jika hati katakan TIDAK, maka amat berat sekali kedua-dua belah kaki untuk memasuki perkarangan surau atau masjid.

Beliau meminta ahli jemaah membuka kitab tafsir masing-masing dan membaca serta memahami ayat-ayat berikut :

1) Surah Hud, ayat 15 : " Barang siapa mengkehendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, pasti Kami berikan (balasan) penuh atas pekerjaan mereka di dunia (dengan sempurna) dan mereka di dunia tidak akan dirugikan."

2) Surah Hud, ayat 16 : "Itulah orang-orang yang tidak memperoleh, (sesuatu) di akhirat kecuali neraka, dan sia-sialah di sana apa yang telah mereka usahakan (di dunia) dan terhapuslah apa yang telah mereka kerjakan."

3) Surah Al-Isra', ayat 18 : "Barang siapa mengkehendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di (dunia) ini apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian Kami sediakan baginya di (akhirat) Neraka Jahanam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir."

4) Surah Asy-Syura, ayat 20 : "Barang siapa mengkehendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya, dan barang siapa mengkehendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan dapat bahagian di akhirat."

Insya-Allah jadual pengajian Yang Berbahagia Ustaz Abdullah Lutfi selepas ini akan diadakan di Masjid As-Syarif, Pekan Meru (26 Jun 2012) dan Surau Alam Suria (28 Jun 2012). Beliau juga menawarkan kepada saya menulis buku berkaitan apa-apa yang diajarnya sebelum ini kerana beliau maklumkan banyak projek penulisannya terhenti di pertengahan jalan. Insya-Allah, diberikan kemudahan oleh-Nya.

0 Komentar: