YA ALLAH, SEMAKIN JAUH MELANGKAH...

Posted: Sunday, July 24, 2011 by WZWY in Labels:
0

ALHAMDULILLAH DI ATAS KURNIAAN ILAHI, usia saya semakin mencecah 40 tahun. pada 24 Julai 2011 Genap kini 39 tahun diizinkan Allah SWT untuk terus menghirup udara segar di muka bumi ini. Syukur.

Ucapan untuk diri sendiri sebagai tanda penghargaan untuk diri. Saya bukanlah artis atau insan istimewa untuk sesiapa mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR khusus untuk diri saya. di mana-mana blog atau laman web. Cukuplah diri sendiri meraikan diri sendiri.
Kata guru saya, ucapan hari lahir ini yang sesuai ialah SELAMAT PENDEK UMUR. Sekali baca seperti sesuatu yang biadab, tetapi itulah hakikat semakin meningkat usia seseorang, semakin mendekat kepada kematian. Bukan  mendoakan seseorang itu cepat mati, tetapi suatu peringatan untuk diri sendiri dan sahabat handai tentang satu alam lain yang bakal disinggahi sebelum berhimpun di Padang Mahsyar.

TAKAH HIDUP MANUSIA

Kita bermula diciptakan oleh Allah SWT di ALAM ROH. Kembara manusia bermula di sini. Kita tiada jasad dan jantina. Pada ketika ini ROH sangat kenal dan mengakui keesaan Allah SWT sebagai penciptanya. Perjanjian dimeterai di antara manusia dengan Allah SWT sehingga dengan itu manusia telah sanggup untuk memikul amanah sebagai khalifah di muka bumi.

Kemudian kita akan transit di ALAM RAHIM  sebelum dilahirkan ke dunia ini. ALAM RAHIM terletak di dalam perut ibu. Di sini janin dilindungi untuk menjadi seorang bayi.Bayi akan berada di alam ini selama lebih kurang 9 bulan 10 hari. Beberapa proses biologi dan rohani berlaku.

Kemudian tiba saat-saat yang dinantikan oleh sepasang suami isteri. Manusia pun dilahirkan ke ALAM DUNIA ini dan terus menangis. Tangisan ini pula ada makna tersendiri. Tangisan bayi yang lahir ke dunia berpunca daripada gangguan syaitan. Manakala ahli perubatan berpendapat bahawa tangisan ini untuk mengepam oksigen. Apa pun makna, hidup kita dimulakan dengan tangisan. Di ALAM DUNIA inilah manusia itu akan diberi ujian oleh Allah SWT. Kata guru saya, ALAM DUNIA ini diibaratkan sebagai DEWAN PEPERIKSAAN. Manusia terpaksa menjawab 'soalan peperiksaan' yang telah pun 'dibocorkan' oleh Allah SWT.

Buktinya?

Soalan dan jawapan di ALAM KUBUR.

>Siapakah Tuhanmu ? < Allah Tuhanku
>Apakah agamamu ? < Islam agamaku
>Siapakah lelaki ini yang diutuskan kepada kamu? < Dia adalah Rasulullah SAW
>Apa yang kamu lakukan ? Aku membaca Al-Quran, membenarkannya dan beriman kepadanya.

Soalan di Padang Mahsyar

>Ke mana harta yang kamu belanjakan?
>Ke mana ilmu yang kamu gunakan?
>Ke mana umur kamu yang kamu gunakan?
>Bagaimana umur muda kamu habiskan?

Harus ingat! Soalan-soalan itu bukan dijawab secara lisan tetapi perbuatan kita di alam dunia. Dan itulah jawapan ke atas setiap soalan-soalan itu.

Kemudian hidup manusia akan berakhir dengan proses kematian. Kematian ini merupakan proses membawa kita berpindah daripada ALAM DUNIA kepada ALAM BARZAKH. Hakikatnya kehidupan dan kematian adalah sama. Satu proses yang mesti dilalui sebelum berpindah ke alam selepas daripada alam sebelumnya.
SATU LAGI ALAM IALAH ALAM MAHSYAR yang bermula dengan tiupan sangkakala oleh malaikat Israfil. Berlakulah letupan kuat dan semua makhluk dimatikan. Dan tiupan kedua pula untuk menghidupkan semula. Manusia akan dibangkitkan dari ALAM KUBUR menuju Mahsyar. Pelbagai rupa dan cara manusia ke sana ditentukan oleh amalan masing-masing.

Selepas selesai perhintungan di ALAM MAHSYAR, secara ringkasnya manusia akan menuju ke ALAM SYURGA (ATAU NERAKA). Di sinilah kembara manusia akan berakhir. Ia ditentukan oleh setiap amalan di dunia. Besar atau kecil, ia diambil kira. Ada yang 'happy ending' dan ada juga yang berakhir dengan tragedi.

Demikianlah serba sedikit perjalanan kembara kita sebagai HAMBA ALLAH. Sedar atau tidak, kita sudah berada di alam dunia dan akan menuju ke alam selepas ini pula. Lakukanlah segala amalan yang terbaik untuk mengakhirkan hidup kita dengan keputusan 'happy ending', Insya-Allah.

Hanya mampu katakan I LOVE U SO MUCH TO MYSELF. Itulah hakikat sebuah kehidupan aku sebagai sebahagian hamba-Nya yang banyak melakukan dosa. Ampunilah segala dosa-dosaku. Belajar daripada kesilapan-kesilapan lampau. Tiada istilah terlewat selagi roh dan jasad bersatu. Mungkin pada sesetengah manusia sukar memaafkan kesilapan seseorang yang lain. Tapi aku tahu dan diajar ALLAH MAHA PENGAMPUN DAN MAHA MENGASIHANI.

0 Komentar: