WAHAI ANAKKU SAYANG!

Posted: Tuesday, July 19, 2011 by WZWY in Labels:
0

SEMUA AKAN ANGKAT tangan setinggi yang mungkin bila diajukan soalan,

"Siapa sayangkan anak?" 

Manusia yang tidak normal sahaja akan mendiamkan diri sahaja atau tiada rasa untuk menyayangi anak masing-masing.

Anak-anak adalah permata hati. Seorang ibu sanggup merempuh api yang marak membakar apabila anak kesayangan meraung minta tolong dalam satu kebakaran. Mereka tidak fikirkan keselamatan mereka pada masa itu, tetapi dalam diri, "Anakku! Anakku! Ibu datang." Begitu besar kasih sayang seorang ibu terhadap anak mereka. Tidak kurangnya juga kasih sayang seorang bergelar ayah atau bapa. Mereka sanggup keluar awal-awal pagi lagi mencari nafkah demi membesarkan anak-anak.


KISAH BENAR


Setiap minggu pejabat saya akan dikunjungi oleh para ibu bapa yang datang mengadu atau dipanggil kerana berkaitan masalah disiplin anak-anak mereka. Kebanyakan ibu bapa memberikan kerjasama yang baik. Mereka akur dan tidak cepat melatah walaupun pada awalnya emosi mereka agak terganggu. Apabila diminta masuk, duduk dan tenangkan diri, mereka biasanya boleh berkomunikasi dengan baik.


Seperti biasa kami akan berbincang tentang masalah yang anak-anak mereka hadapi. Di sekolah saya ada beberapa kes agak kerap berlaku. Walaupun begitu masih berada dalam situasi yang terkawal.


Biasanya selepas itu saya akan ajukan beberapa soalan yang kadang kala membuatkan ibu bapa terdiam seketika. Ada juga saya tidak bertanyakan soalan tetapi terus memberikan beberapa cadangan yang sesuai dipraktikkan di rumah.


1) Soalan atau cadangan pertama saya ialah berapa kerap diadakan solat berjemaah di rumah. Solat berjemaah ini sememangnya berkesan untuk merapatkan perhubungan ahli keluarga keseluruhannya. Selepas itu diadakan sedikit tazkirah ringkas. Tidak perlu syarat ayah seorang ustaz, bacalah buku-buku berkaitan dalam bahasa Melayu. Sama-sama mendengar kisah-kisah nabi, sejarah Rasulullah s.a.w, perkara-perkara berkaitan akidah, ibadah dan sebagainya. Mungkin anak-anak mahu bertanyakan soalan, boleh diajukan dan dijawab tenang oleh ayah atau ibu. Alangkah cantiknya suasana demikian walaupun seminggu sekali. Kebanyakan ibu bapa menggeleng. Mungkin belum kesempatan untuk mereka laksanakan. Saya cuma beri cadangan. Insya-Allah ada yang mampu laksanakan.


2) Saya selalu bertanyakan murid-murid yang dibawa ke bilik saya apabila hadapi masalah disiplin. " Berapa kerap ayah atau ibu peluk awak dalam sehari?" Masing-masing menggeleng dan berdiam diri. Maka saya tahu, tidak pernah. "Seminggu sekali?" Masing-masing menggeleng lagi. "Hmm..." Giliran saya pula mengeluh. Peluang untuk saya pula apabila ibu bapa mereka datang 'mengunjungi' saya di sekolah. 

"Anak-anak perlu dipeluk setiap hari atau seminggu sekali."


"Kenapa cikgu?"


"Anak-anak akan gembira dan tenang hati mereka kerana mereka merasakan ibu bapa menyayangi mereka. Mereka juga akan lembut hati. Mudah menerima pelajaran. Kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak akan terjalin dengan begitu utuh sekali. Insya-Allah."


"Saya sibuk cikgu."


"Sesibuk mana pun kita tidak  dapat menandingi kesibukan Rasulullah s.a.w, baginda sibuk dengan urusan agama dan pemerintahan tetapi ada masa untuk bersama keluarga. Betulkan?"


Angguk dan tersenyum.


3) Jika ada kemampuan bolehlah bawa anak-anak berekreasi di mana-mana lokasi menarik. Maklumlah kehidupan di kota ini penuh dengan kebingitan segala bunyi. Suasana juga cukup panas. Jadi sekali sekala, keluarlah ke lokasi air terjun, tanah tinggi atau mana-mana yang sesuai dan di dalam kemampuan masing-masing.


"Hujung minggu pun saya kerja cikgu."


"Saya akui DUIT itu perlu, tetapi DUIT juga bukan segala-galanya berbanding masa depan anak-anak."


"Saya akui perkara itu cikgu."


"Saya cuma berharap ada masa BERKUALITI untuk anak-anak, bukan sekadar masa jumpa di meja makan sahaja."


"Insya-Allah akan diusahakan."


"Sebenarnya apa yang saya cakapkan ini peringatan buat diri saya juga."


"Baik cikgu, saya faham." Tersenyum.


4) Saya disarankan oleh guru saya juga untuk membawa anak-anak ke kedai-kedai buku berdekatan. Ini boleh menanamkan rasa cinta anak-anak kepada dunia buku. Dan jangan hanya tahu bawa anak-anak ke pusat membeli belah sahaja. Selain itu bawa anak-anak ke perpustakaan berdekatan. Ini akan menjimatkan duit ibu bapa juga untuk membeli buku-buku berkaitan.


JANGAN LIBATKAN ANAK-ANAK


Memang tidak dinafikan pasangan suami isteri sentiasa akan diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai perkara yang diluar jangkaan. Biasa berlaku dan banyak didedahkan di dada-dada akhbar tentang pasangan suami isteri yang hadapi kemelut kewangan, tekanan di tempat kerja, masalah keluarga dan pasangan yang beralih rasa cinta terhadap orang lain.


Walau sebesar mana pun masalah ibu bapa, jangan lepaskan segala kemarahan itu terhadap anak-anak. Kasihani mereka. Mereka tidak tahu apa-apa. Jadi jangan jadikan kesilapan atau kenakalan mereka alasan untuk kita membuat hukuman yang 'melampau'. Semoga Allah redha dan menjadikan diri saya juga berada dalam kalangan orang yang sabar. Saya juga doakan begitu untuk tuan/puan. Amin!


Akhir kalam


Saya berharap kita semua sentiasa dilindungi Allah SWT dan sentiasa cekal menghadapi pelbagai pancaroba hidup. Kita sekarang berada dalam satu zaman yang perlukan kekuatan IMAN dan TAKWA. Jangan jauhkan diri serta ahli keluarga kita daripada AL-QURAN. Jangan begitu. Kebanyakan punca gejala sosial ialah datangnya daripada kehidupan seharian tanpa mengenal atau membaca Al-Quran.

0 Komentar: