PASIR PUTIH, BATU BESAR DAN SANG OMBAK
Posted: Thursday, July 28, 2011 by WZWY in Labels: Motivasi Diri
0
LELAKI ITU KE SINI LAGI...apabila jiwanya resah, apabila dirinya terasa 'hilang' sesuatu dia akan ke sini lagi. Begitulah rutin lelaki ini. Dia tidak mahu mereka melihat dirinya bergenang begini. Dia mahu mereka melihatnya seorang yang kuat dan 'macho'. Lelaki tidak akan tumpah walau setitis air mata. Namun hakikatnya, dia seorang yang tewas. Seingatnnya lapan tahun lampau dia menangis teresak-esak apabila lelaki disayanginya dijemput Tuhan.
Kini lelaki ini saban hari diulit jiwa yang resah. Jiwanya sentiasa meronta, walaupun alam sekeliling memandangnya dalam bahagia. Adakah lelaki ini MUNAFIK? Terus menyimpan segala duka dan lara. Setiap kali diasak permintaan bertubi-tubi. Dia hanya berdiam tanpa mempamirkan apa sebenar dalam jiwanya. Lelaki ini terduduk di atas batu besar itu lagi. Ombak terus menghempas pantai bertali arus. Tanpa kasihan. Lelaki ini memejamkan matanya.
DULU
Hidup dalam dunia tersendiri. Entah apa berlaku di luar sana. Tiada rasa peduli. Ini duniaku. Tiada apa yang perlu difikirkan selain dunianya. Tanggungjawab! Itu bermakna seseorang perlu tanggung dan menjawab setiap apa yang ditanggungnya. Adakah dia mampu atau menjalankan amanah diberi. Ternyata dia hanya peduli dunianya sahaja. Sedar tidak sedar lelaki ini hanyut seketika sehingga Allah 'menjentik'nya dengan suatu 'tsunami' dalam hidupnya. Belum terlewat?
DUIT
Duit bukanlah segala-galanya. Namun segala-galanya mahukan duit. Kalimah itu selalu diulang-ulang oleh lelaki ini. Di sini. Hamparan langit biru menjadi saksi. Dia mendongak sejauh mungkin. Bermohon dan berdoa. Di mana penghujungnya Ya Allah! Ya Allah, aku bermohon sesungguhnya kalau bukan untukku tapi untuk mereka Ya Allah! Mereka perlukannya Ya Allah! Ternyata Ya Allah, inilah yang belum mampu kulunaskan lagi Ya Allah! Ku tahu, Engkau Maha Kaya dan Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Aku bermohon semoga segala kesulitan ini dipermudahkan oleh-Mu Ya Allah!
Ya Allah!
Jiwaku menjerit sendirian Ya Allah! Jika inilah membahagiakan mereka, semoga Engkau perkenankan permintaanku kali Ya Allah! Aku hanya mampu berusaha dan merancang. Selainnya hanya berserah pada-Mu Ya Allah!
Ya Allah!
Aku tahu segala yang berlaku adalah dalam kekuasaan dan perintah-Mu. Segala ujian ini untuk menguji keimananku. Ia juga sebagai hukuman di atas segala dosa-dosaku selama ini. Aku bertaubat pada-Mu Ya Allah! Engkau berikanlah ketenangan kepada mereka di atas semua kemelut yang melanda ketika ini.
BERGENANG LAGI
LELAKI INI TUNDUK. Memerhatikan pasir putih bersih. Terus setia walau dihempas jutaan kali oleh sang Ombak. Aku bukan pasir putih ini. Aku manusia punyai serba serbi kelemahan. Sejauh mana ujian-Mu. Sejauh itu aku terus berlari. Mengejar sesuatu dinamakan KEBAHAGIAAN.
Lelaki ini tewas lagi?
Menggeleng. "Tidak Ya Allah. Aku masih belum mengalah dengan ujian-Mu. Aku masih gagah kerana itulah kurniaan-Mu padaku Ya Allah!
SAMPAI BILA?
Mereka terus mendesak. Bila lagi? Sudah tidak tahan! Jiwa lelaki itu bagai dihempas batu besar. Sampai bila harus bertahan. Bukanlah dia mahukan ini semua. Dia juga seperti lelaki lain, mahukan kebahagiaan hidup dunia dan juga akhirat.
Lelaki itu masih ingat. Visi hidup di dunia ialah memiliki kemudahan dan keselesaan hidup serta memiliki ketenangan dan kebahagiaan (spiritual). Adakah dia belum mencapai visi hidup di dunia ini? Jika katakan tidak, adakah dia tergolong dalam umat yang tidak bersyukur? Tetapi dalam hatinya sentiasa berkata, dia mahukan mereka mendapat keselesaan hidup dan memiliki kebahagiaan.
Syaitan akan sentiasa membisik-bisik agar lakukan sesuatu yang dilbenci Allah. Namun dia masih ingat, dia milik Allah. Pada Allah dia harus bermohon.
MAHU PULANG
Lelaki ini semakin tenang. Mahu pulang dan berhadapan semula dengan mereka. Sanggupkah dia memandang mereka lagi tanpa kebahagiaan. Tapi dia tahu, masih ramai lagi manusia di luar sana yang jauh lebih menderita. Semoga mereka juga sedar dan bersyukur dengan apa yang ada. Apa yang dalam kemampuannya. Insya-Allah akan tiba saat dia dan mereka akan menjejak kaki ke bumi Mekah bersama-sama. Berjalan beriringan dengan tawadhuk dan syukur di atas segala pemberian-Nya.
Lelaki ini semakin melangkah jauh. Tinggalkan pasir putih, batu besar dan sang ombak itu.
Berdoa, "Ya Allah! Permudahkan segala urusanku. Murahkanlah rezekiku. Tingkatkan iman dan takwa kami. Dekatkan kami pada-Mu. Jauhkan rasa tidak bersyukur dalam diri kami di atas segala pemberian-Mu. Kau perkenankanlah doaku Ya Allah."
Hotel Sri Malaysia, Bagan Lalang,
Sepang.
7.08pm