0
ALHAMDULILLAH. Dipanjatkan rasa kesyukuran kerana kita masih diberi ruang di atas muka bumi ini. Sesungguhnya ia adalah nikmat besar yang dikurniakan oleh-Nya.
Persoalannya berapa ramai dikalangan kita sedar ia suatu nikmat dan rahmat Allah?
Jika sedar, apa yang telah kita laksanakan untuk tunaikan kewajipan kita sebagai hamba-Nya. Segala suruhan-Nya, adakah dipatuhi tanpa bantahan. Begitu juga segala larangan-Nya adakah dijauhi tanpa was-was.
Seorang penceramah pernah membangkitkan soalan, "Apakah yang akan kita buat apabila bangun tidur di waktu pagi, mata kita hilang penglihatan atau pun telinga hilang pendengaran atau hidung hilang deria bau?"
Pantas sekali seseorang itu akan rasa gelisah dan dapatkan rawatan secepat mungkin. Mungkin juga menangis dan menadah tangan ke langit. Memohon simpati Allah. Mohon agar segala nikmat itu dikembalikan semula. Nampaknya begitu besar sekali nikmat setiap anggota pada badan kita. Bukan itu sahaja, apa sahaja yang kita alami pada setiap hari adalah nikmat dan rahmat Allah. Tanpa sedar, ramai dikalangan manusia lalai dan ingkar dengan Allah. Lakukan kemaksiatan tanpa rasa malu. Ibadah solat lima waktu dijadikan bahan gurauan semata-mata. Jadikah ini dinamakan BERSYUKUR?
Sempena menjelangnya bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, marilah kita sama-sama muhasabah diri supaya menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya. Jadikan ibadah puasa ini bukan hanya suatu adat semata-mata. Orang berpuasa, kita pun mahu berpuasa. Kita berpuasalah dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan kepada-Nya. Berharap agar puasa kita diterima dan minimakan perkara-perkara melalaikan. Insya-Allah.
Pesan guru, "Jadikan Ramadhan ini sebagai Ramadhan terakhir buat kita."
Ia satu kalimah yang begitu dalam maksudnya. Jadikan ramadhan pada tahun ini sebagai ibadah yang terakhir dan kita tidak bertemu lagi pada tahun selepasnya. Agaknya jika kita tahu perkara ini, adakah kita akan berpuasa sebagaimana orang lain? Pergi kerja, balik kerja. Pergi surau dan balik surau. Berbuka dan bersahur seperti biasa.
Rasanya TIDAK. KIta akan penuhi bulan Ramadhan ini dengan pelbagai ibadah sunat. Malam-malam di bulan Ramadhan dijadikan malam yang penuh makna. Bersujud dengan penuh ketaatan kepada Allah. Air mata bercucuran memohon keampunan-Nya. Segala hal-hal dunia dilupakan seketika.
Salam Ramadhan buat semua pembaca blog yang tidak seberapa ini. Semoga kita akan dapat menjalani ibadah puasa dengan penuh keimanan. Insya-Allah. Sama-sama doakan. Buangkan segala yang keruh. Ambil segala yang jernih. Maaf memaafkan sesama kita. Tekad tujuan hidup dan mati kita kerana ALLAH SWT. Jika kita benar-benar beriman pada-Nya. Kita akan patuhi segala perintah-Nya. Hidup dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersihkan HATI daripada segala sifat-sifat mazmumah.
Cabaran buat diri yang alpa ini.