Mampukah Rentasi Ujian Hidup

Posted: Saturday, November 26, 2011 by WZWY in Labels:
0

REALITI KEHIDUPAN KITA tidak dapat lari daripada rules of life (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tiada seorang pun manusia yang dapat mengelak daripada perkara yang tidak disenanginya. Ada sahaja perkara dibenci atau kurang disenangi dalam hidupnya. Hidup ini adalah ujian yang menimpa semua manusia. Ujian pula pelbagai seperti kedudukan, harta, kewangan, kesihatan dan lain-lain.

Firman Allah SWT :
Maksudnya :"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun." (Surah al-Mulk 67:2)

Salah percaturan pengurusan kewangan

Semua mahukan kesenangan dan kemewahan hidup. Salah satu visi hidup manusia ialah MEMILIKI KEMUDAHAN DAN KESELESAAN HIDUP. Menurut Islam pun tidak salah kita memenuhi kehendak-kehendak ini bermula di tingkat keperluan. Kita perlukan wang, rumah, kereta dan sebagainya.

Tapi itulah, tidak semua dirancang menjadi kenyataan. Salah seorang lelaki dulu bercita-cita besar dan menyertai pelbagai perniagaan dan pelaburan. Sebab apa? Mahukan kesenangan hidup walaupun sudah berjawatan tetap. Silapnya ialah dia menjadikan modal semua perniagaan dan pelaburan itu dengan cara mudah, BERHUTANG. Banyak jenis peniagaan dan pelaburan diceburi. Allah Maha Berkuasa, semua tidak memberikan hasil yang baik. 

Salah satu cabang diceburi sudah berikan hasil yang baik. Dia dikira agak berjaya dalam pengurusan perdagangan mata wang asing (FOREX), namun hukum Islam pula menjadi halangan untuk terus dia berkecimpung dalam peniagaan ini. Selepas itu, dirasakan peluang untuk dia terus menikmati kesenangan hidup sudah lenyap.

Haruskah lelaki itu berputus harap?

Jawapannya, ALLAH masih ada dan Maha Pemberi. Ini sebahagian UJIAN HIDUP.

Metafora Air Limau dan Luka Di Tangan

Dipetik daripada buku Mukmin Profesional. Air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya terasa. Jadi air limau itu umpama UJIAN HIDUP. Manakala tangan luka tadi ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi sifat-sifat mazmumah seperti takbur, dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, dan sebagainya.

Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang bersedia bersarang di dalam hati. Apabila diujia dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah, dendam dan seumpamanya. Oleh itu, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

Tekanan demi tekanan

Sumber pendapatan terhad banyak mempengaruhi kehidupan manusia. Apatah lagi hidup di bandar-bandar besar. Memang ia menjadi topik hangat sesebuah keluarga. Tiada wang menyebabkan masing-masing bercerai berai. Silap tetap silap apabila ketua keluarga tiada sumber kukuh. Atau pun silap percaturan sebagaimana lelaki di atas tadi. Menyesal memang menyesal tapi haruskah terus dipersalahkan dan ditambah kekusutan yang ada?

Ini adalah UJIAN HIDUP dan kekesalan dan bertaubat itu suatu NIKMAT.

Ada juga yang berpendapat dengan rezeki terhad dan dikategorikan tiada kecukupan untuk menyara keluarga menyebabkan tersekatnya impian untuk memiliki anak yang ramai. Istilah ramai terserah pada pandangan individu. Biasalnya lebih daripada tiga atau lima orang. Terpulanglah. Saya petik daripada kolum soal jawab Dr. Zahazan.

Soalan:

APAKAH maksud rezeki dan adakah rezeki itu semata-mata harta benda dan wang ringgit? Ada orang yang cuba sedaya upaya untuk mencegah kehamilan kerana bimbang tidak mampu untuk memelihara anak dan takut rezeki kurang. Apa pandangan ustaz mengenai perkara ini?

Ros, Kedah.

Jawapan:

Alhamdulillah wassoalatu wassalam ‘ala rasulillah. Rezeki yang Allah kurniakan kepada kita bukanlah semata-mata harta atau benda yang dihasilkan di bumi saja. Rezeki juga berupa kesihatan, kekuatan tubuh, keterampilan atau gerak langkah dalam kehidupan. Mungkin anda pernah menyebut: “Saya tidak dapat memberi sumbangan kerana saya tiada wang.”

Sebenarnya menyumbang boleh dengan pelbagai cara seperti tenaga, ilmu pengetahuan dan lain-lain yang semuanya untuk kepentingan masyarakat. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 3 yang bermaksud: “Dan nafkahkanlah sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.” Maka erti rezeki pada ayat berkenaan iaitu segala apa yang dapat diambil manfaat oleh masyarakat.
Mengenai mencegah kehamilan, Allah SWT berfirman dalam surah al-Israk ayat 31 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah yang memberikan rezeki kepada mereka dan kepada kamu…”.

Firman-Nya lagi dalam Surah al-An’aam ayat 151 bermaksud: “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak kamu kerana kepapaan. (Sebenarnya) Kamilah memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.” Apabila Allah mengurniakan anak, sebenarnya ada rezeki Allah tentukan untuk anak terbabit.

Namun ada manusia yang tidak inginkan anak dengan mencegah kehamilan dengan alasan tidak bersedia dari segi mental dan kewangan. Orang seperti ini biasanya takut hidup susah dan takut kekurangan makan kerana dibebani kehadiran bayi. Mereka tidak sedar dengan melakukannya akan menghalang rezeki mereka dan turut menahan rezeki anak.

Kita banyak melihat orang yang meninggal dunia lalu meninggalkan anak. Hari berganti hari dan zaman pun berubah. Ternyata, anak yatim terbabit mencapai kedudukan yang tinggi dan mencapai puncak kejayaan dalam masyarakat. Mungkin kalau keluar-ganya masih hidup, anak berkenaan tidak akan mencapai kejayaan seperti itu.

Justeru, biarlah takdir Allah berjalan seperti semestinya. Kerjakanlah apa yang lebih utama dan lebih bererti dalam kehidupan ini. Kenyataan membuktikan betapa ramai anak yang hidup dalam pemeliharaan bapanya, gagal sehingga ada yang menjadi penganggur dan meresahkan masyarakat. Sebenarnya urusan rezeki adalah urusan Allah.

Jadi, janganlah kita terlalu takut mengenai rezeki atau kurang makan sehingga sanggup mencegah kehamilan.

Sekiranya kita miskin, mengadulah kepada Allah seperti dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Daud daripada Ibnu Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang tertimpa kemiskinan, kemudian dia mengadu kepada sesama manusia, maka tidak akan tertutuplah kemiskinan itu. Dan sesiapa yang mengadu kepada Allah, maka Allah akan memberinya rezeki baik dengan segera mahupun lambat.” Wallahua’lam

0 Komentar: