Allah Memberi Sebelum Diminta

Posted: Saturday, November 5, 2011 by WZWY in Labels:
0

SESUNGGUHNYA KITA SEBAGAI MANUSIA ini sering lupa dan lalai. Begitulah hakikatnya walaupun ada kurang bersetuju. Kebanyakan manusia akan memberi setelah diminta. Betulkan?

"Kenapa tak minta dengan saya, kalau tak saya boleh bantu awak."

Itulah realiti kita sebagai manusia. Jangan tuding jari pada diri sendiri atau sesiapa sahaja. Itulah asal kejadian kita. Kita sering lalai dan leka.

Sifat Allah pula adalah sebaliknya. Dia memberi walaupun tanpa kita memintanya. Allah itu Maha penyayang dan Maha Pengasih. Kalaulah diminta dahulu barulah Dia memberi, rasanya kita belum tentu akan bernafas ketika ini atau entah apa berlaku kepada kita. Allah memberikan kita rezeki, perlindungan, kesihatan, dan segala-galanya. Andainya kita lupa meminta untuk bernafas pagi tadi, adakah kita bernyawa lagi bila menjelang tengah hari? Ini sebagai contoh bahawa kita sering lupa akan Allah berbanding leka dengan kehidupan di dunia ini.

Sejauhmanakah kita bersyukur?

Ramai di kalangan manusia hari ini begitu sombong dan ego dengan Allah. Sanggup hidup bergelumang dengan dosa. Allah telah larang kita berbuat kemungkaran tetapi ada juga yang degil dan mengulanginya sentiasa. 

Apa nak jadi? Di mana rasa kehambaan kita? Tidak takutkah kita dengan balasan NERAKA Allah? Atau kita ingat bahawa SYURGA dan NERAKA itu tidak wujud?

Allah memberikan kita nikmat berulang-ulang kali tanpa jemu. Bangun pagi kita bernafas seperti semalam. Kita juga diberikan kesihatan. Kita juga masih hidup aman tenteram. Bayangkan pula bila kita bangun pagi, suara kita hilang. Nikmat berkata-kata ditarik balik oleh Allah. Nikmat mendengar juga hilang. Apa yang mampu kita lakukan ketika itu. Saya percaya, kita bermohon pada Allah juga. Mohon keampunan dan dikembalikan nikmat-nikmat itu. Selama ini apa yang kita gunakan dengan kedua-dua nikmat itu?

Bersyukurkah aku?

Sesungguhnya fasa hidup kali ini cukup mencabar. Namun begitu Allah masih berikan kegembiraan dan nikmat-Nya. Sesungguh Dia Maha Penyayang. Hanya terpulang pada kita sahaja untuk mensyukurinya. Rasanya ramai di kalangan kita hadapi kemelut kehidupan yang begitu sulit buat masa ini. Nasihat diberikan pada saya juga sabar dalam bersabar.


Tapi cukup sukar hadapi hidup dengan hilang nikmat kasih sayang.

Tapi cukup sukar hidup dengan bergelumang dengan noda dan dosa pada Allah.

Tapi cukup sukar hidup masih dikelilingi hutang piutang.

Tapi cukup sukar hidup sekadar cukup-cukup makan.

Tapi cukup sukar hidup yang masih dikejar bayang-bayang dosa silam.


Bersyukur kerana diberikan kesedaran oleh Allah dalam kesempatan masih lagi bernyawa. Betapa ramai lagi belum sedar akan dirinya berdosa dan berterusan begitu sampai hujung nyawa. Bersyukurlah aku.

Kita perlukan perancangan semula jika sudah tersilap langkah pada awal-awalnya. Masalah biasa berlaku ialah dihimpit hutang silam. Hutang yang dulu menjanjikan suatu kemewahan hidup. Berapa ramai yang harapkan sesuatu lebih baik tetapi penghujungnya hanya kekecewaan? Itulah realiti yang perlu ditempuhi. Susun atur semula kehidupan. Tiada istilah terlewat. Mohon pada-Nya. Moga segala kesulitan ini menemui penghujungnya. Sinar bahagia pasti di hujung sana. Namun begitu perlulah diiringi dengan usaha, doa dan tawakal pada-Nya. Perancangan perlu bijak.

Semoga kesulitan-kesulitan ini berakhir.

0 Komentar: