Mencari penghujung bahagia atau bahagia di sepanjang kehidupan.
Posted: Sunday, November 20, 2011 by WZWY in Labels: Motivasi Diri
0
HATI KIAN GELISAH. Berbagai usaha sudah diusahakan dan dilaksanakan. Tapi belum ketemui penghujung sebuah kebahagiaan. Namun dia masih tetap tegap di situ. Teruskan perjuangan hidup. Haruskah dia berterus terang. Jiwanya sedang sakit. Harapkan sebuah pengertian.
"Kenapa awak begini?"
"Saya kehilangan," jawabnya jujur.
"Hilang?" Dahi berkerut.
"Awak tidak faham."
"Awak terangkanlah dahulu," pujuk dengan lembut.
Belum ada rezeki
"Saya tiada duit sekarang. Dulu kalau saya kata tiada, sekurang-kurangnya akaun kecemasan saya berbaki lagi. Tapi kini, akaun kecemasan itu juga hampir licin. Saya sendiri takut untuk semak akaun sendiri. Pelikkan?" Dia menyoal pula.
"Apa awak buat sekarang?" Soalnya kembali.
"Bukan saya tidak berusaha, tapi masih belum ada rezeki. Saya solat dhuha walaupun tidaklah hari-hari." Tunduk hampa.
"Baguslah. Sekurang-kurang awak sudah berusaha. Insya-Allah, rezeki awak akan terbentang luas di depan mata." pujuk lagi.
"Entahlah. Ibu saya juga sedang sakit. Saya perlukan wang untuk biayainya."
"Awak sudah berkahwin?"
Angguk.
"Pintalah bantuan isterimu." Berikan satu cadangan.
Menggeleng.
Sukar Untuk Berterus-terang
Tenyata lelaki itu sukar untuk bersembang atau bercerita apa yang dia rasa. Apa yang dia pendam. Apa yang dia mahu. Memang sukar katanya. Dia sudah mencuba tetapi masih belum berhasil. Dia sekurang-kurangnya tidak mahu isterinya tahu, dia tiada wang walaupun untuk bersarapan.
"Kenapa? Bukankah hidup sebagai suami isteri perlu ada bantu-membantu?"
Menggeleng lagi.
Katanya. "Saya tahu awak tidak akan mengerti. Semua perbelanjaan harus saya tanggung sekarang. Walaupun masih ada bahagian isteri yang keluarkan belanja juga. Saya tersilap dulu. Kesannya hingga sekarang. Saya terpaksa tanggung sendiri."
Sambungnya lagi. "Saya tahu isteri saya kecewa kerana gagal tunaikan permintaannya. Nampak seperti saya berkira pasal duit atau dengan anak-anak. Tapi hakikatnya saya mahu bahagiakan keluarga, tapi kemampuan terbatas. Saya sering berdoa agar dilapangkan rezeki dan dikurniakan rezeki."
"Jangan sempitkan makna rezeki."
"Maksud awak?"
"Rezeki bukan hanya soal duit atau harta. Tapi kesihatan, kedamaian, kebahagiaan dan lain-lain juga rezeki."
Angguk. "Saya faham maksud awak. Tapi bila tiada wang, apa ertinya sebuah kebahagiaan jika isteri dan anak-anak kecewa dengan kita."
"Awak mahu bahagia?"
"Iya!"
Erti Bahagia.
"Erti bahagia ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Maksud firman Allah dalam surah al-Ra'ad, ayat 28 iaitu, Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia."
"Entahlah tuan. Saya mahu hati tenang, tetapi ketenangan diragut apabila kocek saya kosong."
"Pintalah pada Maha Pemberi. Insya-Allah akan diberikan oleh-Nya. Jangan putus harap. Jangan cepat kecewa." Nasihat lagi.
"Jadi?"
"Berterus-teranglah pada isterimu agar dia faham situasimu itu. Dia bukanlah seorang yang zalimkan? Dan dia juga mungkin sudi membantu. Pantas bagaimana dia mahu bantu jika kamu terus berdiam begini?"
Diam.
"Baiklah. Sebelum kita berpisah petang ini, saya kongsikan kaedah mencari bahagia menurut Al-Quran yang diturunkan oleh guru saya."
Dia mengukir senyuman.
Pertama : Beriman dan beramal soleh. Janji Allah akan berikan kehidupan yang baik jika kita beramal soleh dan menurut perintah-Nya.
Kedua : Banyak mengingati Allah. Bukan sekadar pada waktu solat lima waktu sahaja. Dalam semua aktiviti seharian, biarlah kita sentiasa ingat Allah. Berzikirkan sentiasa. Berbanding cakap-cakap kosong.
Ketiga : Bersandar harap pada Allah. Jangan sesekali berharap selain Allah.
Keempat : Sentiasa mencari peluang berbuat baik. Ini adalah satu perkara yang kebanyakan manusia gagal laksanakan. Berbuat baik pada orang lain atau makhluk lain. Bersedekah atau mendamaikan di antara manusia.
Kelima : Jangan panjang angan-angan dan meratapi masa silam. Perkara ini harus diambil berat. Kata guru saya, "Fikir tetapi jangan khuatir." Jangan terlalu berangan-angan tentang perkara akan datang yang belum pasti. Sepatutnya apa yang kita laksanakan sekarang menjadi hala tuju pada masa depan.
Keenam : Lihatlah kelebihan diri berbanding kekurangan diri. Jangan fokuskan kelemahan kita selalu atau jangan fikir langsung tentang itu. Tumpu dan usahakan agar kelebihan diri kita lebih menonjol.
Ketujuh : Jangan harapkan terima kasih sesama manusia. Hanya Allah sahaja tempat kita berharap dan meminta. Manusia memang sukar berterima kasih. Jangan fikirkan sangat kebaikan yang sedikit kita lakukan. Kita redha dan harapkan balasan Allah.
Moga ada pencerahan dan manafaat. Nasihat untuk diri sendiri jua agar bertindak segera perbaiki apa kekurangan diri. Walaupun ia tampak sukar. Mohon kekuatan daripada Allah.
Rujukan : Mukmin Profesional. Ust. Pahrol.