MAJLIS PELANCARAN NOVEL OPS CONTENG

Posted: Thursday, November 17, 2011 by WZWY in Labels:
0

DIPANJATKAN KESYUKURAN KEPADA ALLAH SWT, di atas limpah kurnia-Nya buat kali keempat saya dapat melaksanakan pelancaran novel-novel tulisan saya. Dan kali ini ia agak berbeza kerana pelancaran disempurnakan oleh YDP PIBG, En. Bismimohar Abdullah. Biasanya disempurnakan oleh Guru Besar.

"Terima kasih di atas sokongan tuan."

Saya juga bersyukur kerana berada di bawah pimpinan dua Guru Besar yang sentiasa berikan sokongan di atas segala usaha-usaha penulisan saya. Kalau dulu Guru Besar SK Taman Medan, Cikgu Nordin sentiasa berikan galakan. Kali ini, saya di bawah pimpinan Puan Norhayati Bakri. Seorang Guru Besar yang sentiasa positif dan amat bertolak ansur dengan staf-staf SK PPR Lembah Subang. Alhamdulillah.

Pelancaran novel yang serba ringkas.

Kali ini saya tidak berikan sebarang ucapan. Sekadar meminta En. Bismimohar memotong riben 'bunting' pelancaran. Lagi pun saya tidak mahu mengambil masa lama dalam Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan. Namun begitu, ia berikan kenangan bermakna kepada diri saya.

Kebetulan pada hari ini kami sibuk dengan satu program lain iaitu Majlis Penyampaian Agihan Bantuan Awal Persekolahan yang telah disempurnakan oleh Tuan Haji Karim, Timbalan Penyelaras DUN Kota Damansara. Seramaii 138 orang murid Tahun Enam menerima bantuan tersebut.

Harapan saya dengan OPS CONTENG

Novel kali ini diharapkan dapat teruskan lagi minat para pembaca novel-novel saya sebelum ini. Dan apa yang saya mahukan juga ialah bukan sekadar pujian tetapi teguran membina daripada para pembaca untuk mempertingkatkan mutu hasil karya seterusnya.

Terima kasih buat adik Hafiz Hakimi yang tinggal di Puncak Alam dan memiliki kesemua novel-novel tulisan saya. Semoga lebih ramai lagi pembaca cilik yang membaca novel-novel saya. Semoga nilai-nilai tarbiyah di dalamnya dapat diaplikasikan. Insya-Allah.

Siri Komik di Majalah ASUH

Insya-Allah, jika tiada aral saya bakal menulis komik di dalam majalah ASUH setiap bulan. Bukan  melukis komik ya. Hanya menulis skrip komik. Dan ia masih mengekalkan asas sebuah persahabatan dalam kehidupan seharian kita. Saya akan cuba berikan yang terbaik untuk para peminat majalah ASUH. Siri pertama sudah siap ditulis dan lukisannya sudah pun siap. Tunggu masa untuk muatkan di dalam majalah sahaja. Alhamdulillah.

Kali ini saya akan tampilkan beberapa watak baru bersesuaian dengan tajuk cadangan siri komik ini iaitu GENG 5A. Geng 5A ini ada visi dan misi yang perlu dilaksanakan. Namun begitu ia bukan mudah kerana ada sahaja halangan di depan mereka.

Nantikan keluaran majalah ASUH bulan Januari 2012 ini.

Akhir kalam, terima kasih buat En Bismimohar, barisan pentadbiran SK PPR Lembah Subang, guru-guru dan murid-murid semua. Dan tidak lupa kepada semua para pembaca hasil karya saya di luar sana. Begitu juga ucapan tahniah kepada para ibu bapa yang sudi menjadikan novel-novel saya sebagai bahan bacaan untuk anak-anak. Dan tidak lupa ucapan terima kasih kepada editor Puan Zulina dan seluruh tim GISB.

0 Komentar: