0
Cuti sekolah masih berbaki lebih kurang 10 hari lagi. Ini pun perancangan yang kelam kelibut, apabila kata putus dibuat sehari sebelum bertolak ke Melaka.
Walaupun masa perjalanan dari Shah Alam ke Melaka sekitar satu jam setengah. Ruang masa pula tidak sesuai.
Selesai 'booking' hotel melalui talian, saya maklumkan kepada isteri bahawa 'confirm' ke Melaka esok. Nasib baik masih ada 4 lagi bilik keluarga yang kosong di Hotel Seri Malaysia.
Suasana di Melaka pada musim cuti sekolah cukup meriah sekali. Lagi pun Melaka adalah sebuah negeri bersejarah dan aktiviti pelancongannya juga begitu aktif sekali. Lokasi pertama berdasarkan permintaan 4 hero ialah ke Melaka Wonderland. Cuaca pun agak panas. Kulit yang sawo matang ini pun sudah 'bersalin' kulit. Tiket masuk pula ialah dewasa RM30 dan kanak-kanak RM25. Peluang diambil sepenuhnya oleh 'tauke' sempena cuti sekolah. Adatlah orang berniaga. Tempatnya pun kira 'okey' dan sesuai untuk seisi keluarga. Mungkin pihak pengurusan boleh fikirkan agar lebih banyak tempat untuk kanak-kanak dan kawasan berteduh yang lebih baik lagi.
"Kita 'check-in' dahulu dan lepas itu kita sambung semula," cadang saya kepada ahli-ahli.
Semua tidak bantah dan setuju.
Masa dua hari memang tidak cukup. Kalau pusing-pusing sekitar Ayer Keroh, bolehlah. Lokasi tetap ialah ke Zoo Melaka dan sepetang di sana. Hero-hero pun mengadu lenguh kaki. Tapi bila ada peluang tunggang kuda, masing-masing gembira dan mahu naik lagi. Tiba waktu malam pula sebelum balik hotel, makan malam dulu di Banda Hilir.
Hari kedua tidak banyak lokasi dilawati kerana ada temu janji dengan rakan lama untuk ke Sijangkang. Kami hanya sempat singgah di Taman Mini Malaysia dan Mini Asean. Seingat saya pernah kunjungi lokasi ini sekitar tahun 1994 bersama-sama rakan kuliah maktab dulu. Cuma sekarang suasana di sini agak menyedihkan kerana kurang penyelenggaraan. Ada rumah yang sudah rosak dan papan tidak berganti baru. Harapan agar tempat ini akan diselia dengan lebih baik lagi. Sayang sekali jika dibiarkan begitu sahaja.
Lokasi terakhir sebelum pulang ke Shah Alam ialah ke Melacca Botanical Garden. Hero-hero pun teruja mahu naik kereta elektrik (Buggy Ride). Anak sulung dan kedua berkeras mahu tunggang sendiri motor elektrik. Tapi tidak dibenarkan kerana belum 'cukup umur.' Kecewa sungguh mereka. Mahu atau tidak sewa kereta dengan empat tempat duduk dengan kadar bayaran RM35 untuk tempoh 30 minit tawaf taman ini. Kalau tunggang motor dengan dua tempat duduk kadar sewa ialah RM18 sahaja.
Cuaca pun terang. Jam pun sudah menunjukkan pukul 1.50 petang. Kiranya sudah terlajak 50 minit daripada jadual asal.
Walaupun masa yang agak singkat. Percutian di Melaka memang menyeronokkan khususnya untuk anak-anak. Cuma perlukan lebih masa lagi untuk lawati tempat-tempat bersejarah pula. Insya-Allah dilain ketika pula. Tempat penginapan di Hotel Seri Malaysia pun berbaloi dengan bayaran dikenakan.
Ingatkan mahu menulis.
Tapi....
Baru mula dua ayat, mata pun buka tutup buka tutup...lama-lama tutup 'netbook'.