0
"Alhamdulillah," bisik saya apabila manuskrip terbaru sekuel IMPIAN JUARA akhirnya dapat diserahkan sendiri kepada pihak GISB pada 10 Disember 2010 yang lalu.
Penulisan manuskrip ini antara paling lama ditulis berbanding dua manuskrip sebelumnya. Banyak perkara berlaku yang menyebabkan penulisan manuskrip ini sering terganggu dan memaksa saya peramkannya beberapa kali. Manuskrip ini juga adalah yang paling tebal ditulis. Mungkin apabila cerita sudah sampai penghujung, idea pun datang silih berganti.
Insya-Allah, sekuel IJ ini akan akan berada di booth GISB pada PBAKL 2011 nanti. Semoga dipermudahkan usaha ini.
Secara ringkasnya, kisah Impian Juara 2 sedikit berlainan dengan Impian Juara apabila watak berdepan dengan konflik berbeza dan memerlukan kekuatan emosi untuk atasinya. Kemunculan watak baru iaitu Adam Lee mungkin akan menambah perisa novel ini nanti.
***
Ahli pasukan As-Syabab masih lagi sibuk menerima ucapan tahniah daripada guru-guru lain. Sesungguhnya kejayaan mereka pada tahun ini amat bermakna sekali. Tahun ini merupakan tahun terakhir sebelum Cikgu Nordin bersara wajib pada awal bulan Oktober nanti. Oleh sebab itu, beliau tidak jemu-jemu memberi galakan kepada semua guru dan murid agar bersungguh-sungguh dan mencipta kejayaan.
“Imran.” Satu suara memanggilnya di belakang. Imran berpaling ke belakang. Nora tercegat di belakangnya dan tersenyum.
“Tahniah. Awak memang hebat.” Imran tersenggih mendengar pujian Nora. Walaupun sikap Nora sebelum ini amat menjegilkan Imran.
“Terima kasih. Saya gembira awak dan rakan sekelas lain datang beri sokongan.” Imran tidak sangka Nora dan rakan sekelas lain sanggup datang beri sokongan kepada pasukan As-Syabab.
“Kami sekadar beri sokongan untuk pasukan sekolah kita,” balas Nora pula.
“Saya juga mahu ucapkan tahniah sekali lagi.” Imran kehairanan. Dahinya berkerut.
“Tahniah apa lagi?” Tanya Imran penuh tanda tanya.
“Awak sengaja sembunyikan daripada kami ke?” Imran semakin hairan dan matanya mengecil memikirkan rahsia apa yang disembunyikannya.
“Aidi pun sama. Diam sahaja.” Nora terus berteka-teki. Imran gelisah apabila nama Aidi pula dikaitkan. Walaupun mereka rakan sekelas, namun dia jarang-jarang berbual dengan Aidi. Lagi pun Aidi lebih suka menyendiri daripada bercampur dengan rakan sekelas yang lain.
“Apa maksud awak?” Imran bertanya inginkan kepastian daripada Nora.
Imran terkejut dan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Dia beberapa kali mengorek kedua-dua belah telinganya. Dia tidak pasti sama ada berita yang disampaikan oleh Nora itu satu kebenaran atau sebaliknya. Dia kaku seketika. Jantungnya dirasakan berhenti berdegup. Amarah menyelebungi dirinya ketika ini. Namun Imran menyembunyikan perasaan sebenar di dalam hatinya. Dia hanya mampu tersenyum kelat apabila ditegur guru dan rakan-rakan datang mengucapkan tahniah.
“Betulkah cerita ini?”
***
Saya amat mengharapkan Novel Tarbiah Awal Remaja ini dapat dimanafaatkan oleh semua pembaca novel saya sebagaimana novel-novel terdahulu. Jika ada teguran dan komentar ikhlas boleh dihantar ke kotak email saya di wanzayu@gmail.com. Semoga saya dapat pertingkatkan lagi kemahiran dan hasil penulisan untuk novel-novel seterusnya. Terkini saya sedang merangka Siri Kedua Adib Adibah Penyiasat Cilik. Insya-Allah dapat disiapkan mengikut jadual.
Terima kasih.