BAHAGIA SAMPAI SYURGA

Posted: Saturday, September 10, 2011 by WZWY in Labels:
2

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Zumar ayat ke 73 yang bermaksud, " Dan orang yang bertaqwa kepada Tuhan, mereka akan dibawa ke syurga secara berombong-rombongan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata :"Salam sejahtera ke atas kamu, berbahagialah kamu, silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk)."

Allahu akbar! Entah bagaimana nasib diri saya sendiri, nasib ahli keluarga saya dan nasib tuan-tuan yang dirahmati Allah sekalian. Bagaimana penghujung alam kita nanti? Di alam akhirat, alam yang kekal abadi.
Ayat di atas cukup terang lagi bersuluh mengingatkan kita bahawa orang yang beriman akan masuk ke syurga secara berkumpulan. 

Maksudnya apa?
Orang beriman akan memasuki syurga bukan seorang diri sahaja. Mereka akan membawa masuk sekali anak-anak, isteri, ahli keluarga dan rakan-rakan lain ke syurga Allah SWT.

Bagaimana?
Saling ingat-mengingati satu sama lain. Penuhi jadual harian dengan ibadah kepada Allah SWT. Ibadah bukan hanya di atas bentangan sejadah semata-mata. Kehidupan kita seharian 24 jam adalah ibadah. Bermula doa bangun tidur, persiapan diri, keluar rumah, di atas kenderaan, masuk pejabat dan segala-galanya dimulakan dengan basmalah dan disulami doa-doa serta zikir kepada Allah SWT. Hindari diri daripada sifat-sifat mazmumah. Hindari ponteng kerja, mengumpat, membuang masa, rasuah dan sewaktu dengannya. Maka kita akan sukses sebagai hamba Allah yang sentiasa beribadah kepada-Nya.

Sukarnya!
Memanglah pada peringkat awal ia nampak sukar dan tidak terbuat kerana diri kita sejak bertahun-tahun kekal dengan sifat-sifat yang tidak sepatutnya. Malah ia bagaikan sudah menjadi gam cap gajah melekat keras di hati. Tapi jangan lupa janji Allah, setiap apa dosa yang pernah kita lakukan itu akan diampunkan oleh-Nya. Dengan syarat kita benar-benar insaf dan bertaqwa pada-Nya.

Cabaran BESAR.
Ia bukan mudah bagai dikata untuk membawa kaum keluarga bersama-sama ke syurga. Sedangkan diri kita sendiri masih terawan-awan dibuai angin lalu. Jangan begitu! Kita kena yakin dan tanamkan dalam diri, perbaiki diri dari semasa ke semasa untuk berubah menjadi hamba Allah yang lebih baik. Mulakan dengan menjaga SOLAT. Masih ingat pesan guru saya, " Untuk perbaiki seseorang manusia, perbaikilah HATI nya, dan jika mahu perbaiki HATI, perbaikilah dahulu ibadah SOLAT nya."

Jadi tugas BESAR kita ialah menjaga ibadah solat anak-anak dan isteri. Dan paling penting diri si suami itu sendiri juga. Mulakan dengan ibadah solat berjemaah di rumah. Bersalaman, berpelukan dan akhiri dengan sedikit tazkirah untuk renungan bersama.

Kemudian cuba silau-silau aktiviti masjid atau surau di kawasan sekitar kita. Jenguk-jenguklah pintu masjid atau surau. Jejak kaki ke sana. Sertai majlis ilmu yang diadakan. Bergaullah dengan ahli kariah yang lain. 
Ini sebagai LANGKAH AWAL. Kemudian hiasi almari kaca di rumah dengan buku-buku yang bermanafaat untuk seluruh ahli keluarga. Ada masa terluang, belek dan baca. Kemudian amalkan mengikut kemampuan. Biar sedikit tetapi konsisten.

Doa saya.

Sentiasa doakan Allah berikan kekuatan dalam diri untuk terus berubah menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya. Lakukan segala amalan itu dengan istiqamah dan bukan hanya 'hangat-hangat........... sahaja.' Kita hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakal. Selebihnya HAK ALLAH untuk merencanakan kehidupan kita seterusnya.

Saya hanyalah hamba Allah yang banyak DOSA dan memohon keampunan-Nya. Saya juga bukanlah manusia sempurna dan begitu juga tuan-tuan. Sempurna itu milik Allah SWT. Jadi, jika apa jua kesilapan dan kekhilafan diri sebelum ini, harap dimaafkan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Sesungguhnya HIDAYAH Allah itu satu ANUGERAH.

ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!

Sesungguhnya hamba-Mu ini berdosa. Ampunilah dosa-dosa silamku. Ampuni dosa-dosaku kelmarin dan hari ini. Minta dijauhkan diriku daripada terus memenuhi ruang hidup ini dengan dosa-dosa.

Sebagai manusia, kita sewajarnya saling memaafi. Begitu juga diri kita perlukan kemaafan orang lain di atas sesuatu kesilapan kita. Apa guna memenuhi rasa amarah dalam diri yang menjadi teman syaitan yang dilaknati Allah. Memang pahit dan pedih. Tapi azab lagi api neraka jahanam.

Saya sentiasa berdoa agar rumah ini dan rumah tuan-tuan di luar sana sentiasa disinari cahaya kebahagiaan. Maka sinarilah rumah kita dengan pelita-pelita majlis ilmu di dalam rumah. Insya-Allah pasti, cahaya kebahgiaan itu akan bergemerlapan.

Akhir kalam, impian kita menjadi penghuni SYURGA Allah SWT. Maka laksanakan perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya. Amin.

2 Komentar:

  1. Unknown says:

    Terima kasih kawan ku....itu adalah nasihat yang paling berguna

  1. Unknown says:

    Ia sungguh bermakna....Syabas...