Ada Ketikanya Saya Menjadi Takut

Posted: Wednesday, October 5, 2011 by WZWY in Labels:
1

ADA KETIKANYA SAYA MENJADI TAKUT. RISAU DAN PELBAGAI PERASAAN BERMAIN DALAM JIWA.

Kenapa?

Harapan yang saya berikan kepada diri saya sendiri. Mampukah saya menggalas tanggungjawab sebagai seorang penulis yang matlamatnya memandaikan bangsa dengan ilmu duniawi dan ukhrawi. 

Saya hanya mampu belajar dan terus belajar erti menulis yang sebenarnya. Walaupun sudah EMPAT buah manuskrip saya sudah dijadikan novel. Saya masih merasakan ilmu ini belum cukup dan semakin berkurangan. Nasihat teman bukan berkurangan, tetapi ilmu itu sendiri cukup luas dan tidak terjangkau dalam masa singkat. Ia perlukan masa.

Akur.

Cita-cita saya cukup tinggi dalam dunia penulisan yang baru diceburi ini. Tanpa sedar saya sudah bergelar penulis/novelis ini sudah dua tahun. Cepat masa berlalu. Pada mulanya agak kekok. Lama-kelamaan jiwa saya semakin menebal untuk terus menulis. Apatah lagi sifu Tuan Haji Zakaria Sungib berkata, apabila kita menulis bermakna kita meneruskan tradisi ulama. Imam al-Ghazali  mula menulis pada usia 40 tahun dan terus menulis hingga ke akhir hayatnya dalam usia sekitar 54 tahun.

Menulis juga kita dapat menyampaikan ilmu dan tarbiah mengikut kesesuaian zaman. Jadi, tugas ini cukup besar dan bukan sekadar dikenali sebagai seorang novelis atau penulis semata-mata.

Antara paling penting juga dengan menulis, saya dapat meninggalkan legasi untuk generasi kemudian. Buku-buku tulisan saya akan dibaca pada masa-masa akan datang. Insya-Allah. Legasi adalah 'hayat maknawi' seseorang penulis yang akan terus hidup walaupun setelah si penulis meninggal dunia.

Selain itu, saya juga akan mendapat sedikit ganjaran. Dan ia dapat digunakan dalam kehidupan seharian. Antara cita-cita utama saya juga ialah dapat menjejakkan kaki ke tanah suci dengan hasil royalti. Insya-Allah. Ini satu lagi cabaran yang diberikan kepada diri saya sendiri. Mampu atau tidak, saya perlu usahakan selain berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT.

"Penulis bertanggungjawab menunjuk ajar dan mendidik umat mengikut situasi zaman."

Bakat, Minat dan Kesungguhan

Ketiga-tiga perkara inilah yang menjadi tunjang kekuatan pada masa mula-mula saya mencubakan diri untuk menjadi sorang penulis/novelis. Tanpa ada ilmu asas menulis dan ditambah tidak pernah membaca sebarang novel, saya gagahi juga untuk menulis novel pertama.

Pada mulanya saya sama sekali tidak menyedari bakat yang ada, apatah lagi minat. Namun setelah keazaman membara mula meluap-luap keluar dari dalam diri. Impian itu tercapai dan diteruskan hingga kini.

Kenapa diusia ini?

Saya tidak merasakan diri saya pernah terlewat menceburi bidang ini. Ia ada hikmah di sebaliknya. Kenapa baru sekarang? Tidak sebagaimana sahabat Hilal Asyraf yang sudah mencipta nama dalam usia belasan tahun. Itulah rezeki Allah SWT.

Enid Blyton pun mula produktif menulis novel kanak-kanak dan remaja pada awal usia 40-an. Begitu juga saya kan? Itulah yang memberikan saya semangat dan inspirasi. Walau apa jua alasan pun, lewat atau awal sekalipun, saya akan terus menggunakan sebaik-baiknya pemberian Allah ini. Ia suatu amanah.

Saya masih terus belajar dan belajar. Membaca adalah suatu yang wajib. Dan amat berharap projek terbaru ini akan menemui titik akhir penulisan menuskrip sebelum ia dibukukan. Insya-Allah. Ia merupakan harapan besar. Ia juga merupakan projek besar. Dalam suasana sekarang ini, harap Allah akan memberikan kekuatan dan ilham yang bertali arus untuk dicurahkan ke atas kertas putih. Walaupun kalau dikira, semangat semakin melemah dengan apa yang berlaku ini. Saya gagahi juga. Nasib baiklah punyai rakan-rakan dan sifu-sifu penulisan berikan galakan dan sokongan. Jazakallahu khairan!

"Apa pun masalahmu, ia pasti berlalu." 

Izinkan saya berhenti di sini. Tugasan siapkan 'proposal' baru menanti. Semoga dipermudahkan oleh-Nya. 

1 Komentar:

  1. Salam.. Moga segala urusan dipermudahkan Allah taala hendaknya, Insyaallah.. Allah yuftah alaik!